Tahniah dan takziah juga kepada adik-adik yang menerima tamparan kegagalan. Hakikatnya Allah terlalu sayang kepada kita hinggakan DIA memberi ujian ini kepada kita. Mulut mudah untuk berkata sabar, telinga mudah untuk menerima nasihat dan sokongan semangat, tetapi "rahsia hati" hanya sang pencipta yang mengetahui. Kadang-kala bila berlaku kegagalan dalam kehidupan kita, akan hadir sahabat atau mana-mana kawan yang mendapat "hadiah kejayaan" mengucapkan erti "zahir" sabar kepada kita. Bosan mendengar kata-kata manis tanpa roh itu. Memupuk erti sabar ini bukanlah boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Sejak dari awal lagi ia perlu dipupuk. Emotional Quotient (EQ) perlulah diajar untuk sentiasa bertenang dan menerima hakikat walau dalam apa juga keadaan. Pembentukan Spirituallity dalam diri perlulah diasah sejak dari awal lagi supaya diri tidak lupa kepada sang pencipta walau dalam apa juga "hadiah" yang kita terima. Abu Bakar As-Siddiq "mengetuk" jiwanya untuk mendidik dirinya dengan zikir-zikir yang lembut dan mendayu-dayu kerana dia merupakan insan yang lembut jiwanya, sedangkan Saidina Ali "memukul" jiwanya dengan zikir-zikir yang bernada keras untuk melatih jiwanya kerana dia seorang yang "keras". Jadi bagaimanakah cara kita membentuk jiwa kita??. EQ dan SQ adalah 2 elemen utama dalam pembentukan nilai jati diri, akhlak, dan juga kejayaan dalam diri kita. IQ manusia adalah hadiah kekal Allah kepada semua manusia yang tidak boleh diubah walau dengan sebarang latihan, tetapi EQ dan SQ boleh dilatih dan dipertingkatkan. Boleh saya sifatkan bahawa sistem pendidikan negara kita ketika ini lebih tertumpu kepada kejayaan IQ. Ini tidak adil. Dunia kita rosak atas kejayaan manusia yang mempunyai IQ diri yang rosak. Insyaallah saya akan menulis berkaitan "Rosaknya Dunia" yang menjurus kepada kaitan IQ, EQ dan SQ dalam tulisan akan datang.
Jadi pesan saya untuk diri saya sendiri, sahabat dan adik-adik saya, sentiasalah bersabar kerana sabar itu permulaan bagi redha. Untuk mengejar redha Allah, perlulah didahului dengan redha kita terhadap segala pemberian dan perancangan Allah.
Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan segala "kejayaan" mahupun "kegagalan" yang diberikan oleh Allah kepada kita. Mungkin kedua-duanya tanda murka Allah kepada kita, mungkin juga ujian bagi keimanan kita, dan mungkin jua hadiah kasih Allah kepada kita atas segala pengorbanan kita untuk agamanya sebelum ini. Jangan terlalu bersedih atas kegagalan dan jangan terlalu gembira atas kejayaan. Kita akan dipertanggungjawabkan atas segala apa yang kita telah dapat. Kejayaan dunia bukan satu jaminan yang pasti untuk membeli "trofi" syurga Allah. Wallahu'alam=>
1 comments:
syukran atas peringatan.
"Bersabar dengan musibah pertama"
Post a Comment