Dua hari lepas, semasa makan-makan dengan ahli rumah, timbul perbincangan berkenaan bila dah jadi suami nanti. Biasanya, apabila disebut pasal perkahwinan, orang sibuk membicarakan perihal pasangan yang hendak dikahwininya. Tetapi yang terharunya saya dalam perbincangan tengah makan itu, kami membicarakan bagaimana keadaan diri kami untuk menjadi suami.
“Al-Quran pun tak banyak baca.”
“Masjid pun tak istiqomah pergi”
“Subuh pun liat nak bangun”
“Kekemasan rumah pun susah nak jaga”
Ya. Bagaimana agaknya bila sudah berkahwin? Mungkin orang sibuk berfikir bagaimana mendalamnya cinta mereka kepada pasangan mereka boleh pergi selepas kahwin nanti. Tetapi entah kenapa, saya berfikir apakah aku ini mampu nak didik isteri dan anak? Mampu nak pimpin mereka untuk dapat redha Allah? Mampu nak didik mereka untuk menghala ke syurga?
Kalau kita berhenti pada persoalan mampu atau tidak, sudah bersedia atau tidak, mungkin hingga mati kita tidak akan dapat jawapannya kalau sekadar berfikir-fikir demikian. Maka saya mewujudkan satu persoalan lain yang lebih ‘bumi’ untuk difikirkan.
Seronok bila kahwin. Saya tak pernah nampak lagi orang yang berduka bila hendak berkahwin. Tetapi saya suka, dalam keseronokan perkahwinan, seseorang itu perlu memandang bahawa perkahwinan adalah gerbang kepada dunia yang lebih besar dan panjang. Jangan dilihat bahawa perkahwinan itu adalah Majlis Perkahwinan yang dihadiri ramai orang, tempohnya hanya sehari, disertai pelbagai program dan majlis makan sahaja. Tetapi selepas Majlis Perkahwinan itu wujud satu perjalanan panjang. Dan bukan keseronokan sahaja yang wujud di dalamnya.
Kita akan tinggal dengan pasangan kita dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Tidur dengannya, bangun dengannya, makan dengannya, tinggal bersamanya, dan bila ada masalah serta cabaran kita bersamanya. Dan tiada orang pada saya, bercita-cita berkahwin hanya sehari dua.
Kemudian bila Allah izin dapat anak, dengan anak pun sedemikian. Kita bersamanya dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Dan saya tak rasa ada orang yang nak anak dia mati selepas 2-3 hari.
Bersama mereka. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan entah berapa tahun dalam kehidupan kita. Majoritinya mencecah puluhan.
Bayangkan ya, dalam sepanjang kehidupan kita berumah tangga nanti, kita adalah seorang yang selalu bangun lewat subuh, jarang sungguh membaca Al-Quran, tidak pula menjaga kebersihan, apatah lagi masih suka melakukan dosa, bagaimana agaknya pasangan kita?
Ini adalah tanggungjawab besar selain memberikan nafkah. Menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.
Bagaimana? Tidakkah terasa bahawa berusaha ke arah persediaan adalah sesuatu yang urgen?
Suami, bapa, ketua keluarga, itulah yang paling berat persoalannya di hadapan Allah kelak. Satu perkara yang kita perlu ingat adalah kita akan dibangkitkan di hadapan Allah dan akan dipersoalkan. Maka bagaimana agaknya persediaan kita untuk menjawab persoalan Allah akan hal keluarga kita?
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
-Surah AtTahrim:6-
“Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”
-Surah AzZumar:15-
Adakah kita hendak menjadi orang yang merugikan diri dan keluarganya sekali?
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
-Surah Toha:132-
Dan yang hendak memerintah, pastinya perlu melakukannya bukan?
Tidak. Saya tidak kata demikian. Memang tidak akan ada manusia yang sempurna.
“Ala bro, lepas kahwin nanti baru fikir lah”
Ya. Mungkin boleh. Tetapi bagaimana agaknya kalau terlewat? Baru hendak berubah, anak dan isteri pula telah pekat dengan amal kita sebelum berubah. Bagaimana?
Oho. Maaf. Guru saya kata, hal perkahwinan kena fikir semasa dari tingkatan satu lagi. Ia menjana kematangan. Bukan fikir nak kahwin dengan siapa. Tetapi fikir nak hidup macam mana lepas kahwin nanti.
Maka, apa kata kita jangan lewat-lewatkan usaha kita? Mengapa tidak dari sekarang?
“Ada beza orang yang beriman di awal Islam, dengan orang yang beriman selepas Fathu Makkah.”
Fikir-fikirkan.
“Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
-Surah Toha:132-
"agent of change"
p/s: entry kali ini dipetik dari laman http://ms.langitilahi.com/