Friday, July 22, 2011

Kuasa Rakyat (09/07/2011)

Friday, July 22, 2011

Dalam satu bentuk teori pertukaran pemerintah di zaman demokrasi ini, ada 3 cara yang boleh digunakan:-

1-Pilihan raya (secara undi majoriti)
2-Kuasa tentera
3-Kesepakatan kuasa rakyat

Kenapa pilih cara yang ke-3?

Kebiasaannya di mana-mana negara, sang pemerintah akan sedaya upaya mempertahankan kuasa mereka dengan memanipulasi pilihan raya tersebut. Menjadi kebiasaan si pihak lawan akan diberi tekanan dalam apa juga cara. Orang kata, bukankah pilihan raya kita ini cukup adil? Aku pun tidak pasti. Tapi rasanya belum cukup adil.

Di negara seberang seperti Thailand, kuasa tentera digunakan oleh Raja bagi menukar pemerintahan yang sedia ada. Di Malaysia, kuasa Raja tertakluk pada perlembagaan yang telah digubal (Raja berpelembagaan). Jadi mustahil untuk sang Raja mengeluarkan arahan untuk tenteranya menggulingkan kerajaan yang sedia ada walaupun panglima utama angkatan perang adalah dari Raja-raja Melayu.

Kesedaran dari rakyat adalah contoh yang dipamerkan oleh rakan kita di Mesir (kuasa rakyat). Ia memerlukan kesepakatan semua pihak. Tidak boleh ada walau kelompok kecil yang menentang kebangkitan ini. Inilah dinamakan kesepakatan kuasa rakyat bagi menegur pemerintah. Di Malaysia, kuasa rakyat masih dikira lemah kerana masih tiada kesepakatan yang solid yang mampu dibentuk.

TV 3 ada menyiarkan, "Polis langsung tidak melepaskan sebarang gas pemedih mata pada pukul 11.30am"

Di tempat kejadian, tepat pukul 11.30am, gas pemedih mata pertama telah pun dilepaskan. Sebanyak 8 butir(yang berjaya dikira) telah dilepaskan.

Polis yang baik?

Tidak dinafikan, ada juga polis yang baik. Ada di antara mereka yang membawa garam dan memberikan kepada peserta demonstrasi.

Duduk bersembang dengan seorang abang polis, "Hari ini abang tidak akan menangkap sesiapa pun walaupun ada arahan. Abang nak jalan-jalan saje. Teruskan perjuangan rakyat"

Polis yang ganas?

Jom saksikan





Apa yang best sangat?

Tidak ada apa pun yang best, sakit adalah. Tapi pengalaman itu yang berharga:

1-Berjalan hampir 7 jam diserata Kuala Lumpur
2-Solat Zohor berjemaah di atas jalan raya
3-Mandi hujan beramai-ramai
4-Tolong-menolong dalam melepasi halangan yang dibuat oleh polis
5-dll

Apa yang nak diambil pengajaran?

Apa yang dilalui itulah pengajarannya. Suatu hari nanti, jika negara kita berubah menjadi negara yang berkebajikan, rakyat hidup dengan berkasih sayang, pemimpin sangat berjiwa rakyat dan agama disanjung malah dijulang, aku ingin beritahu kepada anak-anakku bahawa itulah perjuangan 9/7/2011 yang rakyat Malaysia sertai bagi menyelamatkan negara. Jika ini adalah asbab kepada negara mencapai perubahan pemimpin, moga Allah redha dan mengampunkan kami.

Wahai dunia, saksikanlah bahawa kami berusaha bagi menyelamatkan warisan anak cucu-cicit kami, selamatkanlah mereka di masa mendatang. Jom ubah sebelum terlambat. Orang Muda Gang Kita. Memacu kemenangan PRU-13. InsyaAllah.

Buat Dr Lo' Lo'

Aku lupa samada akhir tahu lepas atau awal tahun ini, aku ada bertemu dengan Dr Lo' Lo'. Ketika itu aku diarahkan membuat kerja teknikal bagi satu program. Setibanya Dr Lo' Lo' ketapak program (dalam tengahari), aku dan seorang lagi sahabat diminta untuk membantu Dr Lo' Lo'. Ketika itu Dr Amin pun ada sama. Aku ambilkan kerusi untuk Dr Lo' Lo' duduk dan sahabat lagi seorang ini ambilkan air. Dr Lo' Lo' kelihatan sangat uzur. Beliau datang dengan tongkat. Anak lelakinya sentiasa memautnya.

"Terima kasih adik", kata Dr Lo' Lo'

Beliau perasan yang aku memandangnya dengan penuh sayu. "Selagi kuat kaki ini melangkah, saya akan teruskan", tiba-tiba beliau bersuara sambil melihat aku. Aku cuma senyum melihatnya kembali.

Selepas itu aku terus menyambung tugasku. Hebat. Sungguh hebat. Itulah semangat sang pejuang. AlFatihah buat Dr Lo' Lo'. Moga Allah redha akannya dan mengampunkannya. Ameen.

Wallah'alam=>
"agent of change"

Sunday, July 3, 2011

Himpunan "BERSIH"

Sunday, July 3, 2011

Alhamdulillah Maha Suci Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Di dalam sedikit kesempitan waktu yang dipenuhi aktiviti di posting O&G, aku dan seorang rakan sempat merancang untuk menjalankan satu projek indirect interview dengan rakan-rakan perubatan tahun 5. Tujuan projek pemerhatian ringkas ini dijalankan adalah bagi melihat dan meninjau pandangan-pandangan pelajar perubatan berkenaan "Himpunan BERSIH" yang akan berlangsung pada 9 Julai 2011 ini. Berikut adalah hasil pemerhatian kami.

Jumlah responden : 24 orang = 13 Melayu+10 Cina+1 India (9.38% pelajar tahun 5)
Responden yang memberi pandangan positif : 17 orang (70.83%)
Responden yang tidak bersetuju : 7 orang (29.17%)

Mengikut statistik ringkas, bagi sesebuah kajian itu dianggap significant atau tidak, ia memerlukan 5% responden dari jumlah populasi. Jumlah pelajar perubatan tahun 5 adalah 256. orang Jumlah responden adalah >5%. Jadi keputusan kajian ini boleh dianggap significant.

Ayuh semarakkan sokongan anda kepada Pilihanraya yang lebih TELUS dan BERSIH. Jika di Mesir, negaranya mempunyai Dataran Tahrir. Di Malaysia kita memiliki Dataran Merdeka. Jauhi provokasi melampau. Ayuh sokong ke arah Negara Berkebajikan.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

p/s : mana-mana pihak boleh menerima atau menolak pandangan di atas. Tidak perlu ada rasa dendam atau marah. Berlapang dada dalam menerima keputusan. Terima kasih kepada rakan-rakan yang meluangkan masa berbual dengan kami. Maaf jika kami mengganggu masa belajar/makan/rehat anda. Peace yo!!!

Wednesday, June 1, 2011

Muhasabah Cinta: Marah

Wednesday, June 1, 2011

Aku masih ingat kata seorang ustaz di dalam satu ceramah. Katanya "Marah itu panas. Panas itu dari api. Syaitan itu diperbuat dari api". Aku merenung pada hakikat perkara itu. Jika bahasa yang paling molek dalam ahli gerakan Islam adalah "masalah hati", "sakit hati" dll. Pada pandangan aku secara peribadi, semua perkara-perkara yang membabitkan perkara hati yang bersifat buruk ini ada rasa "maran"nya.

Suatu hari seorang sahabat datang berjumpa dengan Ali r.a. Beliau bertanya kepada Ali "Apakah benda yang paling kuat sekali?". "Api", Ali r.a menjawab kerana api itu panas dan boleh membakar.

"Adakah benda yang lebih kuat daripada api?", tanya sahabat. "Ada iaitu air", kata Ali r.a kerana air dapat memadamkan api.

Sahabat bertanya lagi, "Apakah yang lebih kuat daripada air?". Ali r.a menjawab "Awan". Ini kerana awan yang menurunkan hujan (air).

"Selain awan, apakah benda yang lebih kuat daripadanya?", soal sahabat. "Angin", jawab Ali r.a kerana angin mampu menggerakkan awan dan ia juga mampu mengumpulkan awan.

"Jika begitu, pasti ada benda yang lebih kuat daripada awan. Apakah ia?", sahabat bertanya. Ali r.a menjawab "Manusia". Ini kerana manusia boleh menghirup udara (angin) dan boleh menghembus dan mengeluarkan ia semula.

Sahabat bertanya lagi, "Apakah yang lebih kuat daripada manusia?". "Mengantuk", jawab Ali.r.a kerana orang yang mengantuk tidak dapat berbuat apa-apa. Hatta sekuat mana sekalipun orang itu, apabila dia mengantuk pasti dia tidak mampu berbuat apa-apa.

"Apakah benda yang lebih kuat dari mengantuk?", tanya sahabat. Ali r.a menjawab, "Risau". Risau biasanya akan menyebabkan seseorang tidak boleh tidur.

"Jika begitu, apakah perkara yang lebih kuat dari risau?", tanya sahabat. "Zikrullah", Ali r.a menjawab. Zikrullah tidak bererti berzikir, tetapi ia adalah maqam di mana seseorang hamba yang akan sentiasa mengingati TuhanNYA dalam setiap denyut nadi dan setiap apa ketentuan yang berlaku ke atasnya.

Dari cerita di atas, pasti setiap dari kita ada kesimpulan masing-masing. Cuma dari sudut aku, ingin aku katakan bahawa setiap sesuatu kejadian itu adalah ketentuan Allah. Mungkin kita sedar atau tidak, dalam keadaan kita marah, kita akan mengeluh "kenapalah si fulan itu buat aku macam ini", "kenapa Allah datangkan si fulan itu pada aku", "dia ini selalu buat aku marah" dll. Sedar atau tidak ucapan kita itu adalah satu bentuk ucapan dan persangkaan buruk yang sangat bahaya kepada Allah.

Mungkin kita boleh bertanya pada diri, siapa kita untuk membenci seseorang. Kerana orang itu adalah makhluk ciptaan Allah juga. Dan Allah menghadirkan dia dalam hidup kita pasti bersebab. Tidak kiralah kehadiran dia akan membawa kegembiraan atau kedukaan bagi kita. Di sana Allah ingin mengajar kita erti syukur dalam setiap hal dan redha akan ketentuannya.

Kita mengambil satu contoh masyarakat kita. "Ish hujan pulak. Susahlah hendak main macam ini" atau "Kenapa panas sangat hari ini? Susah hendak keluar berjalan-jalan". Sedarkah kita ucapan kita itu boleh menyebabkan kita menjadi kufur dan mempersoalkan setiap kejadian yang Allah berikan. Hujan dan panas pasti ada hikmahnya.

Mengambil satu contoh lagi. "Kenapa lama sangat tidak hujan. Panasnyalah" atau "Bilalah hujan hendak berhenti. Asyik hujan saja". Dalam keadaan panas kita mengharapkan hujan tetapi dalam keadaan hujan kita mengharapkan panas pula. Tidakkah pelik manusia ini. Mempersoalkan sesuatu dan tidak lama kemudian mengharapkan ia datang kembali.

Begitu juga kehadiran seorang insan dalam hidup kita. Telah Allah tetapkan kehadirannya bagi kita. Dari satu sudut penghayatan Qada' dan Qadar Allah, kita selalu berbicara yang kita redha dan yakin akan ketentuannya. Tetapi dari sudut perbuatan samada langsung atau tidak langsung, kita cuba menafikannya.

Kadang-kadang mulut mudah mengatakan "ok" atau aku terima ketentuan ini. Pada hakikat ia masih menipu diri sendiri dan masih tidak redha akan perkara yang terjadi kepadanya itu. Jadi di mana erti "penghayatan" pada Islam yang selalu diwar-warkan.

Benar faktor utama penyebab kemarahan seseorang adalah berpunca dari kedua-dua pihak. Tidak dinafikan bahawa setiap orang WAJIB menjaga tingkah laku, tutur kata agar dapat menjaga perasaan orang lain.

Isu yang ingin dibincangkan di sini adalah berkaitan amarah dan kemaafan. Mengapa manusia ini sukar untuk memaafkan seseorang? Adakah seseorang itu tidak pernah membuat orang lain marah kepadanya? Apakah yang dia harapkan setelah membuat orang lain marah terhadapnya? Tepuk dada dan tanya iman.

Menyingkap sirah junjungan Nabi S.A.W, di dalam kisah jalan dakwah baginda. Ketika Nabi S.A.W lalu di sebuah rumah seorang wanita kafir yang tua untuk ke masjid, baginda selalu diperlakukan dengan perkara buruk. Baginda disimbah dengan air najis, sampah dll. Baginda juga selalu dicemuh dengan kata-kata kesat oleh wanita tua itu. Suatu hari baginda melalui jalan yang sama untuk ke masjid. Baginda merasa pelik kerana tiada sebarang gangguan yang baginda terima. Hari berganti hari. Lalu baginda bertanya kepada masyarakat di situ ke mana perginya perempuan tua itu. Lalu masyarakat memberitahu yang wanita itu sedang sakit. Lalu baginda datang menziarahinya tanpa sedikit pun dendam dihati. Akhirnya wanita tua itu memeluk Islam atas pekerti mulia baginda.

Persoalanny, jika kita di tempat baginda, apakah tindakan kita? Bagaimanakah perasaan kita ketika itu?. Tepuk dada dan tanya iman. Banyak dikalangan kita tahu akan cerita dan teladan baginda ini, tetapi mengapa kita tidak mahu ikut?

Ingatan buat diriku yang hina ini, jika ada orang membuat kita marah maka berSABARLAH. Jika tidak mampu bersabar lagi, berSABARlah atak kesabaran kita. Jika tidak mampu juga bersabar, perlulah kita berSABAR atas kesabaran-kesabaran kita. Yang kedua, contohilah pekerti baginda yang sentiasa meMAAFkan ummatnya. Bukan payah untuk memberi kemaafan. Tetapi manusia ini penuh dengan rasa EGO menyebabkan sukar memberi kemaafan. BerSYUKURlah di atas hadirnya seseorang yang membuat kita marah itu kerana itu adalah tanda Allah masih ingat kita dan mahu kita menyerahkan diri sepenuhnya kepadaNYA, redha dan ikhlas atas ketentuannya dan mungkin itu ujian Allah bagi meningkatkan darjat hambanya. Ingatlah mungkin kita juga pernah membuat orang lain marah dan ini merupakan kifarah Allah dan ingtan Allah bagi kita. Jagalah tingkah laku sebaiknya agar kita dapat megurangkan kesilapan yang boleh mengguris hati orang lain. Ambillah pengajaran dari peristiwa itu dalam sudut yang POSITIF agar kita dapat melihat hikmahnya.

Allah tegur kita sebagai manusia dalam pelbagai cara. Mungkin teguran Allah ini ingin memberitahu bahawa Allah juga marah dengan tindak tanduk kita. Tetapi jangan kita lupa akan sifat Allah yang agung iaitu MAHA PENGAMPUN atas segala kesilapan hambanya. Ambillah kesucian sifat Allah ini dan terapkan dalam diri agar kita menjadi seorang yang lebih mudah memaafkan orang lain.

Secara peribadi aku ingin memohon maaf kepada semua yang pernah aku kenali. Aku khuatir ini adalah tulisan terakhir aku. Mohon maaf dari lubuk hati jika pernah terguris.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Friday, May 27, 2011

Menjejak Dosa Di Alam FACEBOOK

Friday, May 27, 2011

Oleh:Ust Zaharuddin Abd Rahman

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya.Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Adadilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingk an wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan taggingkepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian

"agent of change"

Tuesday, May 24, 2011

Peringatan Buat Sang Wanita

Tuesday, May 24, 2011

Untuk renungan bersama....

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.

Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
(1) Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
(2) Semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.Oleh itu, wanita perlu tahu
mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
(3) Semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.
(4) Semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Wallahu'alam=>
"agent of change"
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates