Friday, June 4, 2010

Gagasan Rakyat Malaysia Menentang Israel

Friday, June 4, 2010


ChargĂ© d’Affaires
Kedutaan Amerika, Malaysia
Mr. Robert G. Rapson


MEMORANDUM KEPADA AMERIKA SYARIKAT MENGENAI GAGASAN RAKYAT MALAYSIA MENENTANG ISRAEL


MAKA persaksikanlah pada hari ini, dengan perhimpunan raksasa rakyat Malaysia di hadapan pagar kedutaan kamu yang berkunci, bahawa inilah harinya kami mengisytiharkan yang kami tidak akan lagi bertolak ansur dengan kerajaan kamu yang mendokong, melindungi dan memanjakan negara jahanam Israel.


Kami amat terkejut dengan sikap pipi tak mancung hidung tersorong-sorong kerajaan kamu hingga ke tahap memalukan Presiden kamu sendiri dalam “lintas langsung” siaran televisyen berbayar bila mana binatang bernama Netanyahu memarahi, membuat muka serta memalingkan diri bila mana Tuan Obama mengesyorkan perbincangan mengenai mandian berdarah oleh Israel di atas kapal “MV Mavi Marmara” di Lautan Mediterranean. Rakyat kamu memilih Obama untuk memimpin Amerika dan sekarang Israel telah memalukan kamu bagaikan anjing yang terselit ekor di kedua-dua celah kakinya.


Apa yang bermain di kepala mu, Amerika? Yakni kamu – kononnya suatu kuasa besar – jadi pengecut dengan bayi kamu bernama Israel, yang kini mengigit tangan kamu dan menunjukkan taringnya?


Kami, rakyat Malaysia demokratik yang sering berdiri menegakkan idealisme sebuah masyarakat yang bebas, tidak dapat menahan diri melainkan ketawa kerana kebodohan dan ketidaktentuan Amerika. Kamu tidak lagi menjadi model dunia merdeka sepertimana yang kamu mahu kami percayai.


Respons kamu yang seolah-olah dibius mengenai pembunuhan membuta-tuli orang awam – 19 orang di mana Israel cuba kurangkan dengan 10 kematian setelah membuang tubuh-tubuh sebahagiannya masih bernyawa ke dalam Lautan Mediterranean – daripada atas kapal “MV Mavi Marmara” pada 31 Mei telah menandakan bahawa hari pembalasan telah tiba untuk Amerika dan masyarakatnya yang terkeliru, sebagai sebuah negara yang besar dan pernah disegani kini jatuh melutut kerana kesilapan dirinya sendiri – yakni penciptaan raksasa gila dan rakus bernama Israel.


Kami, warga Malaysia pelbagai agama dan bangsa hari ini berdiri dalam solidariti bagi mendeklarasikan di depan kamu bahawa kami sekali-kali TIDAK PERNAH dan TIDAK AKAN membiarkan tragedi malang di lautan lepas oleh lanun oleh Israel itu berlalu saja tanpa balasan. Ingat kata-kata ini!


Kami akan pertanggungjawabkan kamu kerana Amerika adalah penyokong dan tukang dana No. 1 untuk Israel. Kamu memalukan diri sendiri dengan bersekongkol dengan negara berisi pengganas ini dan kami tahu kamu akan kecundang akibatnya. Masyarakat sampahan bernama Israel ini membawa malu kepada ketamadunan abad ini dan tindakan sembrononya terhadap 600 penumpang kapal relawan kemanusiaan daripada lebih 50 buah negara pada Mei 31, 2010; menembak sesuka hati dengan peluru hidup, menembak dari jauh, menembak jarak dekat, menggunakan kekerasan dengan menendang, memukul dan memijak mereka, sebenarnya itulah apa yang tentera KAMU mengajar untuk diperlakukan ke atas rakyat Palestin, Iraq, Pakistan, Filipina, Thailand dan Afghanistan.


Sekarang kamu tidak teragak-agak melakukan perkara yang sama ke atas misi kemanusiaan daripada 50 buah negara, ramai di antara mereka adalah sekutu kepada kulit putih Amerika sendiri , kerana kebelakangan ini kamu sudah buta warna dek penangan Israel. Dan ini adalah kesilapan terbesar kamu! Kini mereka ini memusuhi kamu.


Pegang janji kami – bahawa kami rakyat Malaysia akan tetap bertahan dan terus lawan dan lawan beriringan dengan semua masyarakat bertamadun sedunia sehinggalah rakyat Palestin memperolehi kembali tanahair mereka dan Israel dimusnahkan. Pada ketika itu Amerika akan kepupusan kehormatan, maruah dan sumber yang mengakibatkan kamu menyertai Israel yang ganas itu serta pendokongnya yang juga semakin pupus. Dunia kini tersedar besarnya kesilapan Amerika dengan mendokong biawak hidup Israel sepanjang beberapa dekad, dan kini dunia sedang menentang kamu, Amerika.


Kami, selaku gagasan masyarakat bertamadun mewakili suara hati rakyat Malaysia pada hari ini:


Menyangkal kewujudan negara teroris bernama Israel


Membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam semua bentuk


Membantah serangan ganas ketenteraan ke atas orang awam di atas kapal “MV Mavi Marmara”


Menuntut diadakan penyiasatan menyeluruh dan timbang tara terhadap kematian dan penghospitalan mangsa relawan kemanusiaan


Memastikan setiap penumpang kapal dapat dikenalpasti status mereka kini


Memulangkan mereka sama ada hidup ataupun mati kepada waris masing-masing


Siasat penculikan oleh Israel terhadap penumpang-penumpang tertentu dari atas kapal dengan tujuan interogasi dan penyiksaan


Mempertanggungjawabkan sepenuhnya kerajaan Israeli ke atas kehilangan nyawa, kargo yang dirampas, barang pemilikan peribadi para relawan, serta imbuhan kewangan kepada semua relawan dan mereka yang terbunuh oleh tentera Israel


Tegaskan pemulangan semula dengan kadar segera semua kapal dan bantuan yang disasarkan ke Gaza


Meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjalankan siasatan teliti bagaimana Israel dibenarkan melanggar undang-undang sedangkan flotilla berkenaan menepati kesemua perundangan maritim dan memenuhi sepenuhnya Resolusi 1860 PBB (2009), yang termasuk:


a) merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membekalkan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuklah makanan, bahan bakar dan bantuan perubatan
b) mempermudahkan proses dan penghantaran bantuan
c) seruan agar mendapatkan sokongan untuk melenyapkan kesengsaraan kemanusiaan dan kelemahan ekonomi di Gaza


Kami mahu agar pengisytiharan ini disampaikan secara peribadi ke meja Tuan Barrack Obama agar dia tahu bahawa orang Palestin sudah memenangi kawan-kawan baru dari SELURUH PELUSUK DUNIA sejak peristiwa “MV Mavi Marmara”. Beritahu Presiden kamu bahawa kami warga Malaysia beserta negara-negara bermaruah seluruh dunia akan terus menganjurkan dan mendana flotila-flotila berikutnya biar apa pun yang akan terjadi.


Ini kerana kami tidak sembunyikan ekor di celah kelangkang kami seperti kamu bila berdepan dengan Israel.

Zulkifli Mohd Nani,
Pengerusi,
Crisis Management Team
for Life Line For Gaza, Malaysia


p/s: mudah-mudahan ini merupakan salah satu titik penyatuan umat manusia terutama Islam diserata dunia.


Wallahu’alam

“agent of change”

Monday, May 24, 2010

Baitul Muslim: Bersedia Menjadi Suami

Monday, May 24, 2010

Dua hari lepas, semasa makan-makan dengan ahli rumah, timbul perbincangan berkenaan bila dah jadi suami nanti. Biasanya, apabila disebut pasal perkahwinan, orang sibuk membicarakan perihal pasangan yang hendak dikahwininya. Tetapi yang terharunya saya dalam perbincangan tengah makan itu, kami membicarakan bagaimana keadaan diri kami untuk menjadi suami.


“Al-Quran pun tak banyak baca.”


“Masjid pun tak istiqomah pergi”


“Subuh pun liat nak bangun”


“Kekemasan rumah pun susah nak jaga”


Ya. Bagaimana agaknya bila sudah berkahwin? Mungkin orang sibuk berfikir bagaimana mendalamnya cinta mereka kepada pasangan mereka boleh pergi selepas kahwin nanti. Tetapi entah kenapa, saya berfikir apakah aku ini mampu nak didik isteri dan anak? Mampu nak pimpin mereka untuk dapat redha Allah? Mampu nak didik mereka untuk menghala ke syurga?


Kalau kita berhenti pada persoalan mampu atau tidak, sudah bersedia atau tidak, mungkin hingga mati kita tidak akan dapat jawapannya kalau sekadar berfikir-fikir demikian. Maka saya mewujudkan satu persoalan lain yang lebih ‘bumi’ untuk difikirkan. “Sudahkah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi suami yang baik?”


Realiti sebuah pekahwinan


Seronok bila kahwin. Saya tak pernah nampak lagi orang yang berduka bila hendak berkahwin. Tetapi saya suka, dalam keseronokan perkahwinan, seseorang itu perlu memandang bahawa perkahwinan adalah gerbang kepada dunia yang lebih besar dan panjang. Jangan dilihat bahawa perkahwinan itu adalah Majlis Perkahwinan yang dihadiri ramai orang, tempohnya hanya sehari, disertai pelbagai program dan majlis makan sahaja. Tetapi selepas Majlis Perkahwinan itu wujud satu perjalanan panjang. Dan bukan keseronokan sahaja yang wujud di dalamnya.


Kita akan tinggal dengan pasangan kita dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Tidur dengannya, bangun dengannya, makan dengannya, tinggal bersamanya, dan bila ada masalah serta cabaran kita bersamanya. Dan tiada orang pada saya, bercita-cita berkahwin hanya sehari dua.


Kemudian bila Allah izin dapat anak, dengan anak pun sedemikian. Kita bersamanya dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Dan saya tak rasa ada orang yang nak anak dia mati selepas 2-3 hari.


Bersama mereka. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan entah berapa tahun dalam kehidupan kita. Majoritinya mencecah puluhan. Kalau tak berusaha untuk bersedia, apakah akan terjadi sepanjang pengharungan alam yang panjang itu?


Suami adalah contoh


Bayangkan ya, dalam sepanjang kehidupan kita berumah tangga nanti, kita adalah seorang yang selalu bangun lewat subuh, jarang sungguh membaca Al-Quran, tidak pula menjaga kebersihan, apatah lagi masih suka melakukan dosa, bagaimana agaknya pasangan kita?


Ini adalah tanggungjawab besar selain memberikan nafkah. Menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.


Saya tidak dapat membayangkan kita bangun lewat Subuh dan isteri ikut bangun lewat sama kerana kita tak bangun awal Subuh. Anak juga kemudiannya terbiasa bangun lewat Subuh sebab kita tak kejutkannya Solat Subuh.


Saya tidak dapat membayangkan kita jarang sungguh membaca Al-Quran sehingga isteri pun rasa tidak mengapa tidak membaca Al-Quran. Anak juga kemudiannya rasa susah hendak suka dengan Al-Quran sebab kita pun jarang membaca Al-Quran.


Saya tidak dapat membayangkan kita masih suka buat dosa, jauh daripada Allah, sehingga isteri pun nanti rasa tidak kisah atas hal yang sama kerana merasakan itu perkara biasa. Anak juga kemudiannya rasa yang dosa itu bukan dosa sebab dia melihat kita melakukannya seakna itu perkara halal dan mendapat pahala sahaja.


Bagaimana? Tidakkah terasa bahawa berusaha ke arah persediaan adalah sesuatu yang urgen?


Yang akan dipersoal di akhirat


Suami, bapa, ketua keluarga, itulah yang paling berat persoalannya di hadapan Allah kelak. Satu perkara yang kita perlu ingat adalah kita akan dibangkitkan di hadapan Allah dan akan dipersoalkan. Maka bagaimana agaknya persediaan kita untuk menjawab persoalan Allah akan hal keluarga kita?


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

-Surah AtTahrim:6-


Bagaimana pula kalau kita yang menjadi penyebab mereka ke neraka? Bukankah itu menyedihkan?


“Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

-Surah AzZumar:15-


Adakah kita hendak menjadi orang yang merugikan diri dan keluarganya sekali? Ketahuilah. Kahwin itu bukan sekadar majlis perkahwinan, dan tanggungjawabnya bukan sekadar nafkah.


“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

-Surah Toha:132-


Dan yang hendak memerintah, pastinya perlu melakukannya bukan?


Memang kalau nak tunggu sempurna tak akan sempurna


Memang kalau sekarang kita tanya diri kita, apakah aku telah sempurna untuk berkahwin, nak jadi contoh, memang tak akan kita mampu jawab sempurna. Jadi, apakah kita tidak boleh berkahwin sebelum sempurna?


Tidak. Saya tidak kata demikian. Memang tidak akan ada manusia yang sempurna. Tetapi setahu saya, ada manusia yang berusaha ke arah kesempurnaan itu. Sebab itu, persoalan yang saya timbulkan adalah, apakah kita telah berusaha untuk bersedia?


Semasa bujang kita mula jaga kekemasan, semasa bujang kita sudah usaha menyelesaikan hal Bangun Subuh, semasa bujang kita usaha memperkuatkan hubungan dengan Allah, semasa bujang kita usaha biar diri cinta dengan Al-Quran dan kebaikan, semasa bujang kita sudah usaha meninggalkan dosa-dosa dan memperkemaskan banyak amalan.


Apakah kita telah berusaha membiasakan diri kita untuk menjadi contoh?


Penutup: Saya percaya bahawa rumah tangga yang terbaik, adalah yang Allah redha


Saya percaya bahawa, rumah tangga yang terbaik adalah yang mendapat keredhaan Allah SWT. Dan saya pula percaya bahawa manusia tak akan mampu menjadi baik tanpa usaha. Sebab itu saya kira, hendak membina rumah tangga yang baik, maka manusia perlu berusaha untuk bersedia.


“Ala bro, lepas kahwin nanti baru fikir lah”


Ya. Mungkin boleh. Tetapi bagaimana agaknya kalau terlewat? Baru hendak berubah, anak dan isteri pula telah pekat dengan amal kita sebelum berubah. Bagaimana? Mengapa bila dikurniakan masa ketika bujang, tidak kita gunakan?


“ala, benda ni benda dah kahwin la bro. Pelajar-pelajar kena fikir belajar aja”


Oho. Maaf. Guru saya kata, hal perkahwinan kena fikir semasa dari tingkatan satu lagi. Ia menjana kematangan. Bukan fikir nak kahwin dengan siapa. Tetapi fikir nak hidup macam mana lepas kahwin nanti.


Maka, apa kata kita jangan lewat-lewatkan usaha kita? Mengapa tidak dari sekarang? Saya teringat kata-kata seorang ulama’:


“Ada beza orang yang beriman di awal Islam, dengan orang yang beriman selepas Fathu Makkah.”


Fikir-fikirkan.


“Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

-Surah Toha:132-


Wallahu'alam
"agent of change"

p/s: entry kali ini dipetik dari laman http://ms.langitilahi.com/

Saturday, May 22, 2010

Jodoh Dan Takdir

Saturday, May 22, 2010


Selalu aku berdoa kepada Yang Maha Esa
Moga dikurnia seorang ratu di jiwa
Tempat untuk kuluahkan segala rasa
Perasaan yg tersimpan seribu satu makna


Di kala aku keseorangan
dia penghibur dan jua peneman
hati yg sayu tidak kesepian
duka dan lara tiada keresahan


Ya Allah tidak ku pinta yg menawan
tidak kuharap yg hartawan
bukan jua kerna kedudukan
cuma kudamba insan yang sepadan


Kasihnya sejati bukannya kerna paksaan
biarpun derita yg menjadi rintangan
ketulusannya yg tiada bandingan
tercipta ayu indahnya peribadi insan

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates