Tuesday, May 11, 2010

Surat Buat Bakal ZawjahKu

Tuesday, May 11, 2010

Bismillahirrahmanir rahim...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam sejahtera buat calon zawjahku yang dihijab pertemuan olehNya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"

Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.

Calon zawjahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."
Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zawjahku. Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zawjahku yang telah dijanjikanNya ,

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.

Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak. Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,

Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah. Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa.

Salam buat teman solehahku...

*hanya sekadar renungan bagi muslimat yang bakal begelar isteri

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Monday, May 3, 2010

Ya Allah

Monday, May 3, 2010



Ya Allah yang membolak balikkan hati,
Tetapkan hati kami dalam agamaMu,
Kekalkan kami dalam ketaatan kepadaMu,
Tsabatkan langkah kami
Kurniakan kami keikhlasan dalam perjuangan menegakkan agama

Ya Tuhan kami,
Kami berlindung denganMu dari kekufuran selepas hadirnya iman,
Kami berlindung dari kesesatan selepas ketaatan,
Kami berlindung dari kegelapan selepas datangnya cahaya hidayahMu,
Kami berlindung dari butanya mata hati kami setelah Kau kurniakannya penglihatan,
Kami berlindung denganMu, dari karat-karat jahiliyyah yang bertandang dalam diri
kami,setelah Kau berikan kami kesempatan untuk menyucikan hati-hati kami.

Ya Rahman, Ya Rahim,
Sesungguhnya Engkau tahu,
Bahawa hati ini telah bersatu, berlindung dalam naungan cintaMu,
Bertemu dalam ketaatan,
Bersatu dalam perjuangan,
Menegakkan syariat dalam kehidupan.
Kuatkanlah ikatan hati-hati kami Ya Allah,
Kekalkan cinta di dalamnya,
Tunjuki kami jalan yang Kau redhai,
Terangi hati kami dengan cahayaMu yang takkan pernah sirna,
Ya Rabbi pimpinlah kami..

wahai sahabat-sahabatku, ana sayang ntum kerna Allah.moga kita terus tsabat! tarik dan ingatkan ana jika ana tersungkur di tengah jalan

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Friday, April 23, 2010

Di Medan Ini Aku Berda'wah

Friday, April 23, 2010

Alhamdulillah buat pertama kalinya memberi tazkirah panjang kepada jemaah surau walaupun sebelum ini kerap memberi tazkirah tetapi tidaklah lama. Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah dan keluarga serta sahabat baginda. Titipan kali ini hanyalah sekadar peringatan pada diri sendiri serta seluruh warga yang duduk di bawah nama perubatan supaya apa yang dikatakan tidak dilupai.

Beberapa kali memikirkan apa yang mampu diri ini beri kepada penyuburan agama. Mungkin boleh dikatakan bahawa mentaliti seorang "doktor" atau "pelajar perubatan" adalah kekangan masa untuk bekerja serta menelaah pelajaran yang ada sehingga lupa matlamat serta tujuan kita diciptakan oleh Allah. Mudah-mudahan di medan perubatan ini diri ini mampu berdakwah.

Manusia sedar akan hakikat mereka diciptakan tetapi sentiasa lupa untuk mencapai matlamat tersebut. Mungkin di zaman ini ramai manusia yang lebih mendahulukan matlamat peribadi yang ingin menjadi itu dan ingin menjadi ini. 2 tujuan kita diciptakan adalah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan menyebarkan agama ini kepada manusia lain supaya sama-sama mendapat rahmat Allah. Moga selepas kita berusaha menyampaikan risalah Allah ini, kita akan mendapat redha, keampunan serta rahmat Allah. Insyaallah. Medan perubatan ini adalah medan yang paling besar dan paling mudah untuk menyampaikan risalah ini. Cuma hati saja yang mahu atau tidak. Jika mahu tidak kira apa yang berlaku, tetap dia akan laksanakan tetapi jika tidak mahu maka terlalu banyak alasan sehingga gagal membuat pilihan yang mana perlu didahulukan.

Jika dilihat di zaman penjajah, antara perkara pertama yang dilakukan adalah membina tempat-tempat rawatan seperti rumah sakit. Ini kerana orang sakit adalah orang yang sangat bergantung harap kepada sesuatu. Maka dengan itu mudahlah penjajah terutama golongan "kristianisasi" menjalankan dakwah mereka. Malah di zaman ini kita masih dapat melihat peninggalan penjajah di hospital-hospital seperti pakaian jururawat. Siapakah yang mahu mengubah semua ini jika tidak kita? Fikirkan bersama wahai sahabat-sahabat.

Medan dakwah perubatan bukanlah seperti medan dakwah politik atau peperangan. Ia lebih menjurus kepada "da'wah bil hubbi" iaitu dakwah dengan cinta. Perlu ada dalam diri para doktor atau pelajar perubatan itu rasa cinta dan cuba mewujudkan rasa cinta pesakit kepada kita atas akhlak kita supaya mudah kita mengajak mereka dekat kepada Allah. Di UKM sendiri ada satu modul khas iaitu modul PPD yang mendidik sifat itu dalam diri kita. Jika kita sedari modul itu adalah satu bentuk "tarbiah" kepada kita. Janganlah kita ambil ia sambil lewa dan mudah. Di sanalah kita belajar tentang "spirituality", "interpersonal skill", "emotional development" yang mana semua itu adalah perkara penting yang mesti ada dalam diri pendakwah.

Di medan ini jugalah terlalu banyak kelebihan yang kita ada untuk berdakwah.

1-Untuk duduk di bawah medan perubatan ini, kebiasaannya adalah orang-orang yang bijak pandai. Jadi gunakanlah kebijaksanaan yang Allah beri kepada kita itu untuk menyampaikan risalah dakwah ini serta berhujah dengan pesakit supaya mereka dapat menerima ajakan kita. Kita tidak mampu membuka hati mereka tetapi Allah lah yang akan memberi rahmat atas itu semua. Kita hanya berusaha sahaja.

2-Kita selalunya akan di datangi oleh mad'u (orang yang hendak didakwah) tanpa perlu keluar mencari mad'u. Keadaan pesakit yang memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada doktor tersebut untuk memberikan rawatan fizikal yang dihadapinya sehinggakan dia membuang sama sekali perbezaan antaranya dengan perawat yang memberikan perkhidmatan itu. Tidak ada lagi perbezaan agama dan warna kulit. Tiada lagi perbezaan fahaman dan parti politik. Tiada lagi perbezaan kasta dan makanan. Semuanya itu dibuang demi untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Perkenalan yang singkat dengan perawat tersebut seolah-olah telah lama dikenalinya sehingga dia sanggup memberitahu segala rahsia yang disimpan selama ini walaupun kepada anak dan isterinya sendiri. Segala rahsia didedahkan kepada orang yang baru dikenalinya yang bergelar doktor tersebut. Segala masalah diceritakan satu persatu agar tuan doktor memberikan rawatan terbaik.

Oleh yang demikian segala prasarana telah luas terbentang dan tersedia, tetapi mengapa kita di medan ini masih tidak mahu atau dapat menjalankannya. Moga kita warga UKM ini bukanlah dari golongan tersebut. Tetapi kena ingat, sebelum menjadi sedorang dai'e dalam ini, diri perlu lengkap dengan ilmu yang seperlunya. Semua itu kebiasaannya hanya kita perolehi di medan kampus.

1-Ilmu perubatan yang baik. Ini penting supaya kita tidak membuat kesilapan ketika memberi rawatan. Apabila pesakit yakin akan kita, maka dengan izin Allah mudahlah kita mendidik jiwan pesakit ini dengan agama.

2-Perlunya ilmu agama. Mungkin kita tidak mempunyai kelas-kelas khas agama seperti di USIM. Oleh yang demikian hadirkanlah diri kita ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh surau seperti ceramah-ceramah, usrah dan forum-forum. Dalam masa yang sama juga perlu ada serba sedikit ilmu didada mengenai agama penganut lain supaya kita dapat mengetahui selok belok yang boleh kita masuki dan sentuh.

Dari sini saya secara peribadi menyimpulkan bahawa medan dakwah di medan kita lebih mudah dan luas berbanding dengan orang lain. Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak. Apabila kita telah menjadi doktor, kebiasaannya kita akan menjadi ketua di dalam kumpulan yang kita pimpin samada besar atau kecil di hospital itu, maka dapatlah kita bentuk dasar dengan kuasa yang kita ada dan seterusnya membentuk suasana islam yang cantik dan sempurna itu. Maka ayuh sahabat-sahabat, mari kita jadi AGENT OF CHANGE dalam medan ini. Dengan izin Allah, kita mampu mengubah masyarakat. Jadilah doktor muslim dan mu'min. Ayuk kita suburkan agama dengan menjadi "PROFESIONAL ULAMA".

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Saturday, April 17, 2010

Dijalan Ini Aku Bernikah

Saturday, April 17, 2010

Nafsu syahwat itu seperti air bah yang turun dari puncak gunung. Barang siapa berdiri menghadangnya, maka ia akan diterjang dan dilumatkan. Barang siapa membiarkannya, maka ia bakal memporak-porandakan negeri dan memusnahkan umat manusia. Orang yang berakal sihat tentu akan membuat jalan untuknya, menggali tanah sedalam-dalamnya dan mengalirkan air bah itu ke sana. Inilah yang diperbuat Islam.

Di jalan apakah anda menikah? Terbentang pula dengan lurus dan amat luas jalan dakwah. Jalan para Nabi dan syuhada, jalan orang-orang soleh, jalan para ahli surga yang kini telah bercengkerama di taman-tamannya:

Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha suci Allah, dan aku tiada Termasuk orang-orang yang musyrik”-Yusuf:108-. Hadzihi sabili, inilah jalanku, yakni ad’u ilallah, aku sentiasa mengajak manusia kepada Allah. Fi’il mudhari’ yang digunakan pada kalimat ad’u ilallah semakin menegaskan bahwa dakwah adalah pekerjaan yang sedang dan akan terus-menerus dilakukan kaum muslimin, yaitu saya, Rasulullah saw, wamanittaba’ani dan orang-orang yang mengikuti Rasullullah saw sampai akhir zaman nanti.

Inilah jalanku, yaitu jalan dakwah, jalan yang membentang lurus menuju kebahagiaan dan kepastian akhir. Jalan yang dipilihkan Allah untuk para Nabi, dan orang-orang yang setia mengikuti mereka. Jalan inilah yang menghantarkan Nabi saw menikahi istri-istrinya. Jalan ini yang mengantarkan Ummu Sulaim menerima pinangan Abu Thalhah. Jalan yang menyebabkan bertemunya Ali r.a dan Fatimah az-Zahra dalam sebuah keluarga.

Di jalan dakwah itulah Nabi saw menikahi Ummahatul Mukminin. Di jalan itu pula para sahabat Nabi menikah. Di jalan dakwah itulah orang-orang saleh membina rumah tangga. Jalan ini menawarkan kelurusan orientasi, bahwa pernikahan adalah ibadah. Bahawa berkeluarga adalah salah satu tahapan dakwah untuk menegakkan kedaulatan di muka bumi Allah.

"Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa"-alAn’am:153-

Menikah di jalan dakwah akan mendapatkan keberuntungan. Di jalan ini para sahabat Nabi melangkah, di jalan ini mereka menikah, di jalan ini pula mereka meninggal sebagai syahid dengan kematian yang indah. Jalan yang tak pernah memberikan kerugian. Justru senantiasa menjadi invesatasi masa depan yang menguntungkan di dunia mahupun akhirat.

Di jalan ini kecenderungan ruhiyah amat mendapat perhatian, akan tetapi tidak mengabaikan material. Di jalan ini syaitan terkalahkan oleh orientasi Rabbani, dan menuntun prosesnya, dari awal sampai akhir, senantiasa memiliki kontribusi terhadap kebaikan dan umat.

Sejak dari persiapan diri, pemilihan jodoh, peminangan, akad nikah hingga walimah dan hidup satu rumah. Tiada yang dilakukan kecuali dalam kerangka kesemestaan dakwah.

“Seandainya seseorang dianugerahi harta Qorun dan fisik Hercules. Lalu dihadiahkan di hadapannya 1000 perempuan jelita berikut segala keistimewaannya, niscaya dia tidak pernah berjumpa dengan kepuasan”

(Dikutip dari buku “Di Jalan Dakwah Aku Menikah”, karya Cahyadi Takariawan)

*adakah aku akan bernikah dijalan ini?
*siapakah bidadari yang bakal aku nikahi?
*apakah cinta yang bakal kami lalui menuntut cinta, redha dan keampunan Allah?

Wallahu'alam=>
"agent of change"


Thursday, April 15, 2010

Menjaga Hati, Raja Diri

Thursday, April 15, 2010

Susahnya menjaga hati. Sedangkan ia adalah tempat pandangan Allah. Ia merupakan wadah rebutan di antara malaikat dan syaitan. Masing-masing ingin mengisi. Malaikat dengan hidayah, syaitan dengan kekufuran. Bila tiada hidayah, ada ilmu pun tidak menjamin dapat selamat, sekalipun ilmu diperlukan. Susahnya menjaga hati. Bila dipuji, ia berbunga. Terasa luar biasa. Bila dicaci, aduh sakitnya. Pencaci dibenci. Bahkan berdendam sampai mati. Bila berilmu atau kaya, sombong mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu, rendah diri pula dengan manusia. Adakalanya kecewa. Kemuncaknya putus asa.

Pada takdir yang menimpa, kita susah untuk redha. Ujian yang datang, sabar tiada. Jiwa menderita. Melihat kelebihan orang lain, hati tersiksa. Kesusahan orang lain, hati menghina. Bahkan terhibur pula. Suka menegur orang, tapi bila ditegur hati luka. Aduh susahnya menjaga hati. Patutlah ia dikatakan raja diri. Bukankah sifat sombong pakaian Raja?!

Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang membuat kesalahan kepada kita. Bukan mudah tidak membalas terhadap orang yang menganiaya dan memfitnah kita. Sedangkan mereka menyusahkan kita, dan kita pun menderita dibuatnya. Tidak mudah menahan perasaan hati agar tidak berbunga ketika ada orang memuji kita. Apakah kita boleh menolak pujian itu dengan rasa hati bahwa kita tidak layak menerimanya? Tidak mudah, biasanya hati sedap dan berbunga rasanya.

Apabila kita berhadapan dengan orang serba istimewa, ada yang kaya, berjawatan tinggi, tinggi ilmunya sedangkan kita orang biasa saja, biasanya kita inferiority complex dibuatnya, malu pun timbul. Dapatkah kita merasa biasa saja, tidak terasa apa-apa?

Yang penting kita dengan Tuhan ada hubungan senantiasa, takut dan cinta (bukankah itu takwa?). Terasa bahagia dengan Tuhan, rasa senang denganNya yang lain tidak ada erti apa-apa. Apakah mudah hati kita menahan derita bila mendapat bala bencana atau sahabat tidak sehaluan dengan kita atau melebihi kita ? Tidak mudah, biasanya hati kita derita dibuatnya. Kita rasa kecewa, kita rasa orang yang malang hidup di dunia. Kita tidak dapat hubungkaitkan dengan hikmah dan didikan Tuhan kepada kita. Bahkan biasanya selalu saja jahat sangka dengan Tuhan yang melakukannya. Hati kita rasa bahwa tidak semestinya Tuhan menyusahkan kita.

Begitu jugalah kalau kita orang istimewa, berilmu, berjabatan tinggi, kaya! Biasanya rasa megah datang tiba-tiba, sombong pun berbunga, mulailah kita menghina. Hidup kita pun mulailah berubah, sebelumnya beragama lupa agama. Kalau dahulu dapat bergaul dengan orang biasa, sekarang kawan kita golongan atas saja . Hendak bergaul dengan orang biasa seperti dahulu rasa jatuh wibawa.

Begitulah hati manusia sentiasa berubah-ubah apabila berubah keadaan. Karena itulah kita disuruh berdoa: “Ya Allah tetapkanlah hati kami di atas agamaMu, dan mentaatiMu.”

Wallahu'alam=>
"agent of change"
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates