Wednesday, June 1, 2011

Muhasabah Cinta: Marah

Wednesday, June 1, 2011

Aku masih ingat kata seorang ustaz di dalam satu ceramah. Katanya "Marah itu panas. Panas itu dari api. Syaitan itu diperbuat dari api". Aku merenung pada hakikat perkara itu. Jika bahasa yang paling molek dalam ahli gerakan Islam adalah "masalah hati", "sakit hati" dll. Pada pandangan aku secara peribadi, semua perkara-perkara yang membabitkan perkara hati yang bersifat buruk ini ada rasa "maran"nya.

Suatu hari seorang sahabat datang berjumpa dengan Ali r.a. Beliau bertanya kepada Ali "Apakah benda yang paling kuat sekali?". "Api", Ali r.a menjawab kerana api itu panas dan boleh membakar.

"Adakah benda yang lebih kuat daripada api?", tanya sahabat. "Ada iaitu air", kata Ali r.a kerana air dapat memadamkan api.

Sahabat bertanya lagi, "Apakah yang lebih kuat daripada air?". Ali r.a menjawab "Awan". Ini kerana awan yang menurunkan hujan (air).

"Selain awan, apakah benda yang lebih kuat daripadanya?", soal sahabat. "Angin", jawab Ali r.a kerana angin mampu menggerakkan awan dan ia juga mampu mengumpulkan awan.

"Jika begitu, pasti ada benda yang lebih kuat daripada awan. Apakah ia?", sahabat bertanya. Ali r.a menjawab "Manusia". Ini kerana manusia boleh menghirup udara (angin) dan boleh menghembus dan mengeluarkan ia semula.

Sahabat bertanya lagi, "Apakah yang lebih kuat daripada manusia?". "Mengantuk", jawab Ali.r.a kerana orang yang mengantuk tidak dapat berbuat apa-apa. Hatta sekuat mana sekalipun orang itu, apabila dia mengantuk pasti dia tidak mampu berbuat apa-apa.

"Apakah benda yang lebih kuat dari mengantuk?", tanya sahabat. Ali r.a menjawab, "Risau". Risau biasanya akan menyebabkan seseorang tidak boleh tidur.

"Jika begitu, apakah perkara yang lebih kuat dari risau?", tanya sahabat. "Zikrullah", Ali r.a menjawab. Zikrullah tidak bererti berzikir, tetapi ia adalah maqam di mana seseorang hamba yang akan sentiasa mengingati TuhanNYA dalam setiap denyut nadi dan setiap apa ketentuan yang berlaku ke atasnya.

Dari cerita di atas, pasti setiap dari kita ada kesimpulan masing-masing. Cuma dari sudut aku, ingin aku katakan bahawa setiap sesuatu kejadian itu adalah ketentuan Allah. Mungkin kita sedar atau tidak, dalam keadaan kita marah, kita akan mengeluh "kenapalah si fulan itu buat aku macam ini", "kenapa Allah datangkan si fulan itu pada aku", "dia ini selalu buat aku marah" dll. Sedar atau tidak ucapan kita itu adalah satu bentuk ucapan dan persangkaan buruk yang sangat bahaya kepada Allah.

Mungkin kita boleh bertanya pada diri, siapa kita untuk membenci seseorang. Kerana orang itu adalah makhluk ciptaan Allah juga. Dan Allah menghadirkan dia dalam hidup kita pasti bersebab. Tidak kiralah kehadiran dia akan membawa kegembiraan atau kedukaan bagi kita. Di sana Allah ingin mengajar kita erti syukur dalam setiap hal dan redha akan ketentuannya.

Kita mengambil satu contoh masyarakat kita. "Ish hujan pulak. Susahlah hendak main macam ini" atau "Kenapa panas sangat hari ini? Susah hendak keluar berjalan-jalan". Sedarkah kita ucapan kita itu boleh menyebabkan kita menjadi kufur dan mempersoalkan setiap kejadian yang Allah berikan. Hujan dan panas pasti ada hikmahnya.

Mengambil satu contoh lagi. "Kenapa lama sangat tidak hujan. Panasnyalah" atau "Bilalah hujan hendak berhenti. Asyik hujan saja". Dalam keadaan panas kita mengharapkan hujan tetapi dalam keadaan hujan kita mengharapkan panas pula. Tidakkah pelik manusia ini. Mempersoalkan sesuatu dan tidak lama kemudian mengharapkan ia datang kembali.

Begitu juga kehadiran seorang insan dalam hidup kita. Telah Allah tetapkan kehadirannya bagi kita. Dari satu sudut penghayatan Qada' dan Qadar Allah, kita selalu berbicara yang kita redha dan yakin akan ketentuannya. Tetapi dari sudut perbuatan samada langsung atau tidak langsung, kita cuba menafikannya.

Kadang-kadang mulut mudah mengatakan "ok" atau aku terima ketentuan ini. Pada hakikat ia masih menipu diri sendiri dan masih tidak redha akan perkara yang terjadi kepadanya itu. Jadi di mana erti "penghayatan" pada Islam yang selalu diwar-warkan.

Benar faktor utama penyebab kemarahan seseorang adalah berpunca dari kedua-dua pihak. Tidak dinafikan bahawa setiap orang WAJIB menjaga tingkah laku, tutur kata agar dapat menjaga perasaan orang lain.

Isu yang ingin dibincangkan di sini adalah berkaitan amarah dan kemaafan. Mengapa manusia ini sukar untuk memaafkan seseorang? Adakah seseorang itu tidak pernah membuat orang lain marah kepadanya? Apakah yang dia harapkan setelah membuat orang lain marah terhadapnya? Tepuk dada dan tanya iman.

Menyingkap sirah junjungan Nabi S.A.W, di dalam kisah jalan dakwah baginda. Ketika Nabi S.A.W lalu di sebuah rumah seorang wanita kafir yang tua untuk ke masjid, baginda selalu diperlakukan dengan perkara buruk. Baginda disimbah dengan air najis, sampah dll. Baginda juga selalu dicemuh dengan kata-kata kesat oleh wanita tua itu. Suatu hari baginda melalui jalan yang sama untuk ke masjid. Baginda merasa pelik kerana tiada sebarang gangguan yang baginda terima. Hari berganti hari. Lalu baginda bertanya kepada masyarakat di situ ke mana perginya perempuan tua itu. Lalu masyarakat memberitahu yang wanita itu sedang sakit. Lalu baginda datang menziarahinya tanpa sedikit pun dendam dihati. Akhirnya wanita tua itu memeluk Islam atas pekerti mulia baginda.

Persoalanny, jika kita di tempat baginda, apakah tindakan kita? Bagaimanakah perasaan kita ketika itu?. Tepuk dada dan tanya iman. Banyak dikalangan kita tahu akan cerita dan teladan baginda ini, tetapi mengapa kita tidak mahu ikut?

Ingatan buat diriku yang hina ini, jika ada orang membuat kita marah maka berSABARLAH. Jika tidak mampu bersabar lagi, berSABARlah atak kesabaran kita. Jika tidak mampu juga bersabar, perlulah kita berSABAR atas kesabaran-kesabaran kita. Yang kedua, contohilah pekerti baginda yang sentiasa meMAAFkan ummatnya. Bukan payah untuk memberi kemaafan. Tetapi manusia ini penuh dengan rasa EGO menyebabkan sukar memberi kemaafan. BerSYUKURlah di atas hadirnya seseorang yang membuat kita marah itu kerana itu adalah tanda Allah masih ingat kita dan mahu kita menyerahkan diri sepenuhnya kepadaNYA, redha dan ikhlas atas ketentuannya dan mungkin itu ujian Allah bagi meningkatkan darjat hambanya. Ingatlah mungkin kita juga pernah membuat orang lain marah dan ini merupakan kifarah Allah dan ingtan Allah bagi kita. Jagalah tingkah laku sebaiknya agar kita dapat megurangkan kesilapan yang boleh mengguris hati orang lain. Ambillah pengajaran dari peristiwa itu dalam sudut yang POSITIF agar kita dapat melihat hikmahnya.

Allah tegur kita sebagai manusia dalam pelbagai cara. Mungkin teguran Allah ini ingin memberitahu bahawa Allah juga marah dengan tindak tanduk kita. Tetapi jangan kita lupa akan sifat Allah yang agung iaitu MAHA PENGAMPUN atas segala kesilapan hambanya. Ambillah kesucian sifat Allah ini dan terapkan dalam diri agar kita menjadi seorang yang lebih mudah memaafkan orang lain.

Secara peribadi aku ingin memohon maaf kepada semua yang pernah aku kenali. Aku khuatir ini adalah tulisan terakhir aku. Mohon maaf dari lubuk hati jika pernah terguris.

Wallahu'alam=>
"agent of change"
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates