Tuesday, May 3, 2011

Menimba Sebanyak Mungkin Pengalaman & Ilmu

Tuesday, May 3, 2011

MOGA ALLAH MEREDHAI

Pertama sekali aku ingin mengucapkan tahniah kepada sahabatku Redhuan a.k.a Cip dan Suhana a.k.a Susan atas pernikahan kalian. Lama sudah kalian menanti akan halalnya diri kalian antara satu sama lain. Moga pernikahan ini akan memperteguhkan serta melengkapkan iman kalian serta mendapat redha Allah.

Waktu wali (ayah Susan) melafazkan kata menyerahkan amanah menjaga anak perempuan sulongnya kepada Cip, hati aku cukup begetar mendengarnya. Aku pun tidak pasti mengapa. Apa yang aku lihat, raut wajah Cip yang berubah dalam keadaan gembira dan risau dan air mata Susan yang mengalir.

Aku nak berpesan pun rasa belum layak sebab masih bujang. Tapi secara teorinya, liku-liku hidup berumah tangga ini banyak mehnah dan tribulasinya. Jadi kayuhlah ia bersama dengan taqwa dan sabar. Moga ia menjadi peningkat kepada keimanan. Moga ia menjadi kekuatan dalam gerak kerja dakwah dan jemaah. Insyaallah.

ERTI SABAR DAN IKHLAS

Alhamdulillah sekali lagi berkesempatan mengikuti Kem Anti Zina bersama-sama sahabat di dalam Team 3i. Pernah aku mengimpikan duduk dengan orang-orang yang sanggup menginfakkan masa dan harta mereka untuk jalan ini. Alhamdulillah akhirnya aku ketemui. Cukup hebat Kak Esah yang sanggup datang dari Johor membantu dalam pembangunan remaja idaman ummah, team-team fasilitator yang diketuai oleh Kak Aishah yang lebih dahulu mengenal erti sabar dan ikhlas dalam berjuang, dan 2 orang sahabat yang baru balik dari Pahang atas urusan tertentu bagi membantu menjayakan pembentukan remaja idaman ummah ini. Alhamdulillah.

Pengalaman yang pasti akan aku rindui dan ingat sampai bila-bila. Mudah-mudahan bila aku sudah memejamkan mata nanti, anak-anak aku akan membaca titipan cerita di dalam blog ini dan menjadikan mereka yang aku ceritakan di atas tadi sebagai inspirasi dakwah terdekat. Muhammah Rasulullah adalah contoh yang perlu diikuti sampai bila-bila.

Perjalanan aku bermula seawal 7.30 pagi bersama 4 orang sahabat yang lain. Pada hari itu (Sabtu), ada beberapa pertindihan jadual bagi diriku. Tetapi apakan daya, perlu mengorbankan di antaranya untuk mendapatkan sesuatu yang lain. 2 daripadanya aku terpaksa menolak dalam hati yang berat. Jika ikut hati, hendak saja aku buat semua. Tapi aku tidak mampu. Bermula perjalanan ke rumah Susan bagi menghadiri pernikahan beliau dan Cip. Alhamdulillah, Allah telah melapangkan perjalanan kami tanpa sebarang masalah. Rasa sekejap sahaja telah sampai ke destinasi. Kami terpaksa menaiki kereta kerana ingin menghadiri beberapa program yang lain. Kami sempat sampai dan menyaksikan lafaz akad yang dilafazkan. Setelah itu kami makan dan langsung beransur untuk ke program seterusnya.

Pada asalnya, aku meminta Naqibku (Faizuddin a.k.a Pai) menghantar hingga ke Ijok. Tetapi dia dan beberapa sahabat lain ada keperluan mereka sendiri yang perlu dikejar. Slot aku dijadualkan pada petang itu. Jadi aku meminta untuk dihantar ke komuter Putra. Di dalam hati sentiasa berdoa supaya aku akan sempat sampai sebelum slot aku kerana itu tanggungjawab aku. Allah Maha Hebat, perjalananku sangat mudah. Komuter yang aku naiki tidaklah begitu sesak walaupun ketika ingin membeli tiket, keadaan sangat kucar-kacir. Sehingga berlaku pergaduhan mulut antara beberapa orang. Mudah saja aku mendapat tiket. Aku turun di Sg Buloh lalu menaiki bas ke Ijok. Ini jalan-jalan yang selalu aku lalui. Jadi tidaklah aku lokek. Apa yang menariknya, kali ini aku mudah saja mendapatkan bas. Jika sebelum ini, jangan cakaplah, sangat sukar mendapatkan bas.

Setibanya di stesen bas Ijok, aku menaiki teksi untuk ke Unisel. Subahanallah, pemandangan alam yang sangat sejuk dan menarik di sana. Aku tiba di sana sekitar 5.45 petang. Alhamdulillah ketika itu aku sudah menunaikan solat jam'a. Program telah bermula sekitar 11 pagi. Jadi ketika aku sampai, sesi latihan dalam kumpulan (LDK) sedang dijalankan. Modul yang aku syorkan ketika itu sedang dipraktikkan oleh para fasilitator. Lebik kurang 6.15 petang, kami berhimpun semula di dalam dewan. Aku berpasangan dengan Nurul bagi mennyatakan resolusi modul tersebut. Tetapi ketika itu, aku merasakan tidak mampu untuk membuat resolusi terbaik. Mungkin melihat keadaan adik-adik tersebut yang sangat "dahsyat". Di sinilah kesabaran kami teruji. Dengan izin ketua fasilitator, aku menukarnya kepada slot muhasabah.

Sangat mengharukan malah tidak mampu untuk terkejut lagi. Ketika sesi muhasabah tersebut, kami ada bertanyakan siapa yang solat 5 waktu? Hanya 8 orang dari 75 orang peserta yang mengangkat tangan. Kabanyakan mereka solat 2 atau 1 waktu sahaja. Malah ada yang mengaku tidak solat. Bila ditanyakan, siapa yang selalu solat Suboh, maka ada 4 orang sahaja yang mengangkat tangan. Solat Zohor dan Asar antara solat yang paling banyak di antara mereka laksanakan. Tetapi solat Suboh dan Isya' adalah yang sangat sedikit. Maka bermulalah misi memberi tekanan berkaitan solat selepas itu. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendekatan kami. Tetapi mari sama-sama kita hadir ke program-program sebegini. Barulah ketika itu kita tahu keperluan cara yang sepatutnya digunakan.

Aku adalah sedikit pengalaman dalam menjadi fasiliator ini. Jika berhadapan dengan adik-adik sekolah rendah, biasanya mereka ini banyak main. Tetapi mereka masih boleh dikawal jika diberi sedikit gertakan. Bila berdepan dengan adik-adik di sekolah menengah, kita berhadapan dengan gejolak ego remaja yang sangat hebat. Mereka rasa mereka sudah cukup hebat dan besar. Tetapi pada hakikat, aku juga pernah melalui jalan ego seperti itu. Tidak perlu terkejut jika kebanyakan kes juvana berlaku pada golongan remaja seperti ini. Jika berdepan dengan pelajar IPT atau atas 18 tahun, mereka ini lebih matang walaupun masih ada sisa-sisa ego yang tertinggal. Mereka ini lebih mudah diatur dan diberi pencerahan. Hati mereka lebih terbuka dan mereka mampu berfikir samada perkara itu baik atau tidak.

Pada malamnya, aku digandingkan bersama 2 orang yang sangat aku hormati kerena ilmu dan pengalamannya. Mereka ini cukup hebat iaitu Ustazah Wan dan Kak Afifah. Slot ini adalah slot perkongsian pengalaman antara kami dengan adik-adik. Di sinilah kami mengajar erti laluan yang sangat berliku kepada mereka. Jalan-jalan ini perlu dilalui dengan berhati-hati. Kami cuba menyentuh hati mereka dengan sedikit keinsafan dengan izin Allah.

Apa yang paling menarik, ketika seorang ibu tunggal berkongsi sejarah keluarga dan kisah hidup remajanya dengan kami. Runtun hatiku mendengarkannya. Aku melihat kakak-kakak fasilitator menitiskan air mata bersama adik-adik. Air mata aku hampir saja jatuh. Tapi aku perlu mengawalnya kerana aku perlu megawal sesi tersebut. Jika nak di ceritakan, ketika datangnya adik-adik ini, sangat susah untuk diatur. Malah sentiasa saja kesabaran kami dicabar. Tetapi setelah sesi tersebut, dengan kuasa Allah kami dapat melihat sedikit perubahan dari adik-adik ini. Mereka dapat diatur dengan lebih mudah berbanding sebelumnya.

Setelah itu kami berehat. Malam itu berlaku pergaduhan di dalam kawasan peserta laki-laki. Tetapi kami para fasilitator lelaki tidak sedar akan hal itu kerana terlalu letih. Kami hanya tahu ketika kami mengejutkan mereka untuk solat Suboh. Mudah-mudahan Allah mengampunkan adik-adik yang membuat kacau tersebut.

Pagi hari ahad dimulakan dengan senaman yang diketuai oleh Akhi Firdaus. Selepas itu kami ber"jogging" menuju ke dewan untuk bersarapan. Pagi Ahad yang hening itu, kami jalankan program explore Unisel yang diketuai oleh Akhi Azizi merangkap ketua program. Adik-adik sangat gembiran dengan program tersebut.

Ukhti Ziana mengambil slot selepas itu bagi meredakan kepenatan adik-adik tersebut. Permainan teka-teki telah digunakan. Perkara yang sangat menghiburkan. Malah ada juga teka-teki yang aku sendiri tidak tahu akan jawapannya. Setelah itu, aku dan Ukhti Fizah mengambil slot muhasabah semula. Yang menariknya, Ukhti Fizah mampu membuatkan 2 orang adik laki-laki yang "otai" kehadapan dan memutuskan cinta mereka tanpa paksaan bersaksikan seluruh rakan. Ia telah disambut dengan lafaz ameen oleh rakan-rakan yang lain. Ukhti Fizah menceritakan tentang berkuasanya Allah. Yang patut dicintai adalah Allah. Bukan manusia yang tidak mempunyai apa-apa. Seterusnya aku mengambil slot bagi menunjukkan kekuasaan Allah dengan menunjukkan gambar pesakit yang menghadapi penyakit kelamin. Ada antara adik-adik yang malu, tidak mahu melihat dan takut. Tapi jika ini perkara yang terbaik, kami harus melakukannya.

Selesai solat Zohor dan berkemas untuk pulang, Kak Farah pula mengambil slot matlamat diri. Slot yang menarik. Mudah-mudahan adik-adik ini semakin sedar. Apa yang aku nampak, kebanyakkan mereka telah mula meletakkan Allah sebagai tujuan. Mudah-mudahan ia berkekalan. Ya Allah lindungilah adik-adik tersebut. Bantulah mereka untu berubah.

Slot terakhir diambil oleh Kak Aishah. Slot resolusi dan muhasabah terakhir. Di sini timbul kekaguman melihat Kak Aishah menggunakan bahasanya memukul jiwa adik-adik ini. Aku sendiri rasa sedar dengan kata-kata dan video-video yang dimainkan. Kami akhiri program dengan lafaz ikrar yang diketuai oleh adik Abu Hurairah.

Dan kami pun berangkat pulang. Jujur aku katakan yang aku pasti merindui pengalaman itu. Ya Allah satukanlah kami di dalam syurgaMu. Berkatilah serta ampunilah kami. Kepada team 3i, kalian adalah yang terbaik.

Sabar atas sabar dalam melenturkan hati adik-adik ini. Itulah yang terbaik. Tidak perlu gusar, takut dan sedih, kerana kami cuma menyampaikan tetapi yang mengubah dan memberi hidayah adalah Allah.

PELUANG YANG DATANG

Esok (Rabu) ada 2 perkara bersejarah dalam hidup aku. Tapi mungkin aku akan melepaskan salah satu daripadanya. Aku memilih untuk menghadiri wawancara di Malaysia Hari Ini bersama Prof Harlina.

Aku masih ingat, ketika akhir tahun 2004, aku ada menulis beberapa impian aku. Satu daripadanya adalah ingin memberi ceramah atau forum untuk masyarakat. Alhamdulillah langkah itu sedang dicipta. Dan satu lagi adalah masuk rancangan television bagi memberi manfaat kepada orang lain. Alhamdulillah ia akan tercapai.

Mohon doa dari semua. Moga aku istiqamah dalam jalan ini.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates