Thursday, March 24, 2011

Renungan

Thursday, March 24, 2011

1: Ini Bukan Aku

Tidak aku ketahui, mengapa aku rasa seperti tidak selesan dalam sebulan ini. Di hadapan rakan-rakan aku masih mampu tersenyum, masih mampu gelak bersama-sama, masih mampu main bersama-sama tapi hakikatnya aku cuma berlakon di hadapan kalian semua. Maafkan aku, bukan niat hati untuk berkelakuan sedemikian. Tapi akhir-akhir ini aku buntu dengan perkara yang aku sendiri tidak pasti. Aku cuma berlakon sahaja di hadapan kalian. Nampak macam kuat tapi hakikat di sebaliknya. Maafkan aku.

Begitu juga terhadap diri sendiri. Aku cukup kuat "menipu" diri aku sendiri. Aku tidak tahu apa sebabnya. Puas mencari jawapan, tetapi tidak ketemui. Tidak tipu bahawa dalam sebulan ini, setiap pagi aku bangun, tapi cukup malas untuk mendirikan solat Tahajud. Malah aku lebih selesa tidur semula dari bangun solat. Mengapakah? Hanya zikir menitip dibibir, dan selepas itu tidur semula. Allah hinanya aku. Lemahnya aku ini. Mungkin ENGKAU sedang membolak-balikkan hatiku ini. Mungkin terlalu banyak dosa yang aku buat. Tidak mampu aku berselindung, banyak saat masaku yang aku lupa padaMu.

Aku menulis di sini bukan untuk meminta simpati, cuma mudah-mudahan akan ada orang yang mampu memberi penyelesaian. Rasa tidak sanggup menceritakan pada teman-teman lain kerana tiap mereka sendiri ada masalah yang mereka hadapi. Ya Allah moga aku jumpa jalan penyelesaian yang mana permasalahannya sendiri aku masih belum jumpa. Bantu aku. Aku tidak kuat ya Allah. Aku hanya "menipu" di hadapan mereka. Maafkan aku teman. Ampunilah aku ya Allah.

2: Jawapan Buat Adik-adik Usrahku

"Assalamualaikum, atuk oh atuk", bunyi handphone aku.

"Oh ada sms sampai. Siapalah yang hantar malam-malam ni", benak hatiku.

"Sms dari a*** rupanya", kataku dalam kerungsingan.

"Salam abg. Apa khabar? Maaf mengganggu. Nak tanya, macam mana abg jaga tahajud?", pertanyaan a*** dalam smsNya.

"Astaghfirullah, berat soalan ni. Hampir sebulan aku sendiri tidak berdiri dan sujud ditikar sejadah menghadapnya. Solat Suboh pun sahabat-sahabat serumah yang kejutkan", sentakku dalam hati.

"Macam mana nak jawab ni ye?", fikiranku melayang.

"Wslm akhi. Alhamdulillah baik-baik saja ................................ Selebihnya ana jawab dalam blog ana ye=>", jawabku melalui sms.

Ini ada beberapa pilihan yang aku pernah terima dan pelajari dari ustaz dan sahabat-sahabat:

1-Andai berkemampuan, lakukanlah 8 rakaat solat sunat (ini adalah sunnah baginda Nabi s.a.w, para sahabat-sahabat baginda dan orang-orang hebat)
2-Jika terlalu malas, lakukanlah solat sunat Tahajud 2 rakaat serta solat sunat Witir 1 rakaat
3-Andai tidak berkemampuan atau terlalu malas untuk bangun solat, berZIKIRlah walau dalam keadaan baring. Jangan dipersia-siakan bangunmu untuk mengejar ganjaran Allah walau 5 minit sebelum solat Suboh.
4-Jika susah untuk bangun, lakukanlah solat sunat Hajat (sebarang solat sunat) bersama solat Witir sebelum tidur. Pasanglah niat untuk bangun Tahajud (mudah-mudahan dapat bangun)

Bangunnya insan disepertiga malam adalah hasil hidayah dari Allah. Tanpa hidayah Allah, betapa inginnya kita untuk solat malam, pasti tidak terdaya.

Jika kamu bangun atas keterpaksaan/ dalam kemalasan/ untuk menunjuk-nunjuk/ sebagainya yang buruk, lebih baik kamu tidur. Kamu hanya menipu dan membuat diri kamu penat sahaja berdiri solat. Jadi betulkan niat dan bangun dengan tujuan mengabdikan diri kepada pencipta. Ikhlas adalah rahsia Allah. Aku sendiri tidak tahu setiap langkahku adalah ikhlas atau tidak.

"Naqib ana pernah berpesan, indicator kita bersih atau kurang dari dosa seharian itu adalah pada mampunya kita bangun untuk Tahajud dan solat Suboh berjemaah. Wallahu'alam", tambah sms ku pada a***. Walaupun tiada nas yang sahih, tapi aku mampu percaya akan hal ini kerana hidayah Allah hanya akan dekat pada mereka yang bersih dan dekat dengan Allah sahaja.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Sunday, March 6, 2011

Sukarnya Ikhlas

Sunday, March 6, 2011


Membersihkan dan memurnikan perbuatan daripada segala macam kesenangan duniawi bukanlah persoalan ringan seperti yang diduga banyak orang.

Perbuatan semacam itu memerlukan perjuangan sungguh-sungguh dengan mengalahkan sifat ego dan membuang segala kesenangan peribadi yang bersifat sementara.

Selain itu, juga diperlukan pengawasan yang ketat... tehadap setiap lubang yang dapat dimasuki oleh syaitan. Setelah itu, seseorang harus berusaha keras menyucikan jiwa daripada faktor-faktor yang mendatangkan riya’, sifat gila jawatan, dan suka populariti.

Kerana demikian sukarnya melakukan perbuatan dengan niat ikhlas, maka wajar jika ada seorang ulama, ketika ditanya tentang amalan yang paling berat dilaksanakan, menjawab bahawa amal perbuatan tersebut adalah ikhlas.

Ulama lain berkata, “ membersihkan niat daripada segala macam campuran itu lebih berat bagi pendakwah daripada menyucikan amal perbuatan yang lain”.

Ulama lain juga berkata “suatu pekerjaan yang sulit dan berat dilakukan di dunia ini adalah ikhlas, sudah beberapa kali saya berusaha keras mematahkan riya’ dari dalam kalbu, namun ternyata ia tumbuh lagi dalam bentuk lain”. Bahkan ada juga ulama yang tujuannya semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T.

Kadang-kadang anda melihat seorang pejuang yang mengira ia berjuang membela islam dengan semangat menyala-nyala dan niat yang lurus. Namun, jika anda mengamati hakikat niatnya di dalam hati, maka anda mendapati bahawa jihadnya itu bukan untuk membela ajaran islam, melainkan semata-mata mencari keuntungan duniawi dengan menggunakan baju agama. [naudzubilLah min dzalik].

Tegasanya, ia berjihad kerana mengharapkan kemewahan di alam yang fana’ ini. Padahal, Allah tidak akan menerima amalan yang timbul daripada hati yang tidak tulus.

Demikian pula, Allah tidak akan menerima amal perbuata yang bukan kerana mencari keredhaanNya. Amal perbuatan yang diterimaNya hanyalah amal yang dilandasi keikhlasan.

[marilah kita merenung sejenak diri kita, moga-moga ada ibrah dan pengajaran yang dapat kita perolehi daripadanya]

IKHLAS: Rukun Dakwah Ikhwanul Muslimin, Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi

Wallahu’alam=>

“agent of change”

Wednesday, March 2, 2011

Hikayat Negara Entah Berentah

Wednesday, March 2, 2011


Dunia pada suku pertama 2011 sedang hangat.

Seorang demi seorang Old Guards tumbang dan sedang ditumbangkan. Ada yang kata, mereka ditumbangkan kerana memerintah sudah terlalu lama. Ada pula yang kata, mereka ditumbangkan kerana zalimnya mereka, yang sesetengah lain pula berkata, juga kerana memerintah sudah terlalu lama.

“Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam bukankah memerintah sehingga ke akhir hayat!” kata seorang pejuang.

“Atau Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam sebenarnya memerintah hingga ke usia 62 tahun?” kilas seorang pejuang lagi.

Sisi pandang… bagaimana kita memetik ‘ibrah daripada Sirah dan Sejarah.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah kisah yang ditulis lama dahulu oleh Randy Flood, seorang pelajar sebuah High School di Oregon. Kisah tersebut saya terjemahkan secara bebas dengan sedikit pengubah suaian, mengikut rentak ungkapan bahasa Negara Entah Berentah:

ADAM DAN ARGOT: SIAPA EMPUNYA TAKHTA?

“Adam patut menjadi Raja. Dia berfikiran positif dan sentiasa optimis” kedengaran cakap-cakap di kedai kopi.

“Argot patut menjadi Raja. Dia berfikiran negatif dan sentiasa pesimis, macam kita!” soksek soksek di pasar pula berbicara.

Sebelum Raja mangkat, beliau menitahkan agar Majlis Mesyuarat membuat keputusan penentu. Tatkala baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah sepurnama gering di pembaringan, Majlis Mesyuarat memutuskan bahawa Adam dan Argot hendaklah bergerak mengelilingi negara, dan berdebat tentang selok belok kehidupan rakyat. Salah seorang yang memenangi perdebatan itu, akan terpilih menjadi Raja.

KEMBARA PENENTU

Sampailah Adam dan Argot serta rombongan diraja ke sebuah desa yang ramai petani. Mereka melintasi sekumpulan petani yang miskin kebuluran.

“Lihat itu, mereka tidak punya makanan. Mereka kebuluran. Sesungguhnya dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita!” kata Argot.

“Tidak. Kurangnya makan meningkatkan kerohanian. Mereka mungkin tiada makanan, tetapi mereka sedang belajar sebuah teladan yang amat berguna. Sesungguhnya sabar itu lebih berharga daripada makanan!” balas Adam.

Mereka kemudiannya melintasi pula sebuah pekan kecil. Kelihatan seorang lelaki buta di tepi jalan.

“Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Bagaimana Tuhan membiarkan ada manusia yang buta seperti itu!” keluh Argot.

“Sekali lagi, kamu silap. Walaupun lelaki itu tidak dapat melihat, tetapi deria-derianya yang lain menjadi kuat. Malah dia tahu sama ada seseorang itu bercakap benar atau berdusta hanya dengan mendengar nada suaranya. Menjadi buta itu adalah yang terbaik untuknya!” Adam membalas lagi.

Rombongan diraja bersama dua calon Raja meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke sebuah perkampungan. Mereka ternampak seorang lelaki sakit dan sedang nazak menunggu mati.

“Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Lihatlah lelaki itu sakit dan hampir mati tanpa seorang pun yang mempedulikannya. Ini sudah cukup menjadi bukti!” tegas Argot, penuh kesal.

“Bukankah kita semua akan mati? Mati itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Lelaki itu tidak lama lagi akan berada di sisi Tuhan. Bukankah itu lebih baik untuknya?” ulas Adam, dengan yakin.

KEPUTUSAN

“Sudah! Cukup! Kami sudah melihat dan mendengar secukupnya. Sudah jelas bagi kami siapakah yang sepatutnya menjadi Raja memimpin negara” bentak seorang anggota Majlis Mesyuarat.

“Sangat jelas Adam adalah yang sepatutnya dipilih menjadi Raja. Beliau mengajar kita bahawa sabar itu lebih besar ‘fadhilat’nya berbanding makanan. Beliau menyedarkan kita betapa si buta itu lebih kuat pelbagai derianya berbanding kita yang celik. Malah Adam juga sudah membuktikan betapa kematian itu adalah lebih baik dan merehatkan untuk lelaki sakit itu tadi. Adam tidak pernah mengeluh dan sentiasa optimis. Apakah yang mampu Argot katakan lagi di saat ini?” anggota Majlis Mesyuarat itu mengurut-ngurut jambangnya sambil tegas membuat kesimpulan.

“Izinkan saya, jika kalian boleh benarkan, saya ingin membuat sedikit pembelajaan!” pintas Argot.

Anggota Majlis Mesyuarat dan kekandanya Adam mengangguk.

“Bukankah matlamat utama seorang pemerintah adalah untuk menolong dan menjaga kebajikan rakyatnya?” Argot meyoal.

“Sudah tentu!” jawab mereka.

“Bagaimanakah seorang pemerintah boleh menolong rakyatnya, jika dia sendiri tidak dapat melihat apa masalah rakyatnya?” soal Argot lagi.

“Saya tiada masalah untuk melihat masalah rakyat, jika mereka ada masalah. Jika ada!” pintas Adam.

“Kamu percaya bahawa lelaki buta itu tadi lebih baik buta?” soal Argot.

“Sudah tentu!” jawab Adam dan anggota Majlis Mesyuarat semua.

“Kalau begitu, pejamkan mata kamu semua. Pejam ya. Dan sekarang, adakah kamu masih percaya bahawa sabar lebih baik daripada makanan?” soal Argot lagi.

“Sudah tentu!” balas Adam dan seluruh rombongan.

“Baiklah, kalau begitu, jangan buka mata sehingga saya benarkan kamu” arah Argot.

Senyap-senyap, Argot mengeluarkan pedangnya dan menikam mati kekandanya Adam. Beliau membersihkan pedang tersebut dan menyimpannya semula.

“Baiklah, sekarang buka mata kamu!” perintah Argot.

“Oh Tuhan!!! Adam telah mati. Engkau telah membunuh kekandamu sendiri!” jerit anggota Majlis Mesyuarat.

“Kalau begitu, tentu lebih mudah untuk kamu semua membuat keputusan. Calon hanya tinggal seorang!” balas Argot.

“Tetapi kami mahu memilih Adam. Bukan kamu!” tegas anggota Majlis Mesyuarat.

“Bukankah aku yang memenangi perdebatan tadi?” Argot memberikan penjelasan.

“Menjadi ‘buta’ telah menghalang kamu daripada menahan aku membunuh kekandaku Adam. Menjadi ‘buta’ tidaklah sebagus yang kalian katakan. Menjadi ‘sabar’ juga telah menyebabkan kamu terus menutup mata daripada melihat apa yang sedang aku lakukan. Justeru menjadi ‘sabar’ tidaklah sebagus yang kalian katakan. Dan jika ‘mati’ itu lebih baik untuk lelaki sakit di tepi jalan itu tadi, maka adillah apa yang aku telah lakukan kepada kekandaku Adam. Dia kini ‘lebih baik’ keadaannya. Adam telah mati, maka kamu mesti menabalkan aku selaku Raja di negara ini!” tegas Argot.

Anggota Majlis Mesyuarat terdiam.

Terpukul antara pengalaman mereka dengan ketepatan ulasan si anak muda.

“Kamu telah menjelaskannya dengan begitu baik. Saya percaya, Argot adalah Raja baru kita” kata jurucakap anggota Majlis Mesyuarat.

Seluruh anggota Majlis Mesyuarat bersetuju. Argot telah ditabal menjadi Raja di takhta. Dia memerintah selama beberapa tahun. Biar pun Raja Argot tidak pernah gembira selama menjadi Raja, namun negara dan rakyat makmur bahagia.

"artikel ini dipetik dari http://saifulislam.com/9350#more-9350"

p/s buat para pemegang amanah rakyat (PERSIAP, JAKSA, MPP, PPK, AMSA dan eMed)

1-Ketahuilah bahawa amanah itu terlalu berat untuk dilaksanakan. 2 pekara yang amat sukar dilakukan adalah bersabar dan menjalankan amanah.

2-Ketika kalian masih memegang tampuk kuasa, kaki kalian telah berada selangkan di neraka. Apabila kalian lalai walau dengan 1 keluhan hati rakyat, ketahuilah bahawa ia antara penyebab yang memungkinkan kalian terjerumus terus ke dalamnya. Tetapi apabila kalian berlaku adil, mudah-mudahan kalian mendapat keampunan dan redha ALLAH.

3-Kalian mempunyai banyak penyokong tetapi kurang pendokong. Ketahuilah bahawa pendokong itu berbeza dari pendokong. Penyokong hebat berkata-kata walaupun mereka tidak tahu apa yang diperkatakan tetapi pendokong itu adalah orang yang berdiri sama susah dan senang bersama kalian.

4-Ketahuilah bahawa kalian sentiasa berada diambang "FITNAH AMANAH". Awas akan prihal ini. Sabar atas sabar itulah yang lebih baik. Jalankan amanah kalian sebaik mungkin agar kalian terlepas dari amanah ini. Orang ramai jarang melihat kebaikan kalian sebaliknya sentiasa mencari keburukan dan kelemahan kalian.

5-Kalian adalah orang hebat yang dipilih ALLAH bagi mentadbir ummah ini. Jangan jadi PENGKHIANAT dalam melaksanakannya. Berpegang teguhlah dengan alQuran dan asSunnah agar kalian mendapat petunjuk dalam memimpin kami.

6-Sentiasalah dekat dengan ALLAH, binalah pengaruh yang baik, bentuklah kumpulan pendokong gerak kerja kalian, berakhlaklah dengan akhlak yang sempurna dan berTAWAKALLAH atas apa yang kalian lanksanakan.

7-Jadilah "agent of change" dalam mentadbir ummah kepada yang lebih baik.

Wallahu'alam=>

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates