Friday, February 25, 2011

Masanya Akan Tiba

Friday, February 25, 2011

Selangkah merenung kehadapan, bila melihat beberapa sahabat akan melangkah ke satu alam baru, terasa ingin seperti mereka. Apabila memikirkan tahajudku yang selalu antara aku dan DIA, kadang-kadang teringin tahajud berdua bersama DIA. Mungkin masa itu akan sampai tetapi belum pasti bila. Ia adalah pekara pasti berlaku. Insyaallah. Kadang-kadang letih menjaga dan mendidik hati ini. Adakalanya rasa cukup kuat bagi menjalankannya. Kadang-kadang tergelincir juga terabai memeliharanya. Aku menanti saat di mana sujud tahajudku bersama air mataku sentiasa berdua bagi mensyukuri nikmatNYA.

Buat ketika ini biarlah hanya air mata keinsafan yang menemani dikala sujud taubatku.

Aku akan tetap menanti bakal penghulu bidadariku di syurga kelak menemani aku untuk sujud di kesejukan malam.

Aku akan terus berdoa dan menanti akan hari itu.

Mudah-mudahan masanya akan tiba tanpa disangka-sangka.

Ketika ini biarlah sujudku mencari damba kasihMu ya Allah. Moga hatiku tidak terpesong pada pesona dunia yang semata.

Moga akan ku gapai cintaMu itu terlebih dahulu sebelum aku menggapai cinta kepada hamba hanya kerana redhaMu.

Apa-apa pun kita senyum dulu. Insyaallah masanya akan tiba.

Tahniah buat sahabat-sahabatku yang bakal membina baitul muslim idaman. Aku akan menanti saat masaku kelak bersama rakan-rakan yang masih mencari dan menanti.

p/s: post kali ini agak jiwang sikit. Jangan ambil hati ye.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Tuesday, February 22, 2011

Liputan PR Kampus UKM (5) - "Kemenangan di Sambut Dengan Sujud Syukur dan Air Mata"

Tuesday, February 22, 2011

"ya Allah, kami bersyukur atas kemenangan ini, setelah 7 tahun kami menanti tanpa pernah kenal erti putus asa, akhirnya kami berjaya memenanginya pada hari ini, Engkau satukanlah hati-hati kami"


Itulah antara doa yang telah dibacakan oleh Ustaz Nazri, Presiden ISIUKM yang sempat dirakamkann ketika menyambut kemenagan majoriti GM UKM. Setelah melepaskan hampir 7 tahun tampuk pemerintahan kepada pihak boneka atau calon sistem pentadbiran; ASPIRASI, akhirnya pada malam semalam, suara keramat mahasiswa kedengaran dengan kemenangan 22 kerusi calon GM. Daripada 37 kerusi yang dipertandingkan, GM telah mendapat majoriti besat dengan 22 kerusi dan ASPIRASI hanya mendapat 15 kerusi. Ini mungkin adalah berkat daripada usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah berputus asa dari jentera GM. Ketika doa dibacakan, terdengar esakan tangisan daripada warga jentera serta calon GM yang berkumpul. Tidak dinafikan bahawa kemenangan kali ini cukup bermakna bagi GM kerana ia dapat mematahkan dominasi ASPIRASI daripada menjadi 8 tahun. Ketika duta GM ditemubual, mereka hanya menjangkakan mendapat 21 kersi tetapi Allah telah mengizinkan lebih dari itu. Malah kerusi-kerusi yang dijangkakan menang ada yang tidak berjaya dimenangi seperti di FSKB. Tetapi apa yang menarik adalah, GM mempunyai banyak kemenangan dari kerusi-kerusi umum mereka. Alhamdulillah. Kemenangan disambut dengan perarakan ke seluruh UKM dan berakhir di Masjid UKM bagi menunaikan solat sunat dan sujud syukur.

Antara isu-isu besar yang berlaku sepanjang PRK kali ini adalah:

1-Terdapat 2 orang calon dari ASPIRASI yang tidak menghadirkan diri ke bengkel calon telah mendapat "sijil terbang" yang telah ditanda tangani oleh satu tangan ghaib.
2-ASPIRASI bermain sentimen perkauman
3-ASPIRASI banyak mengeluarkan fitnah-fitnah yang berbaur hasutan terutama kepada pelajar tahun 1

Di KTDI, kerusi FPER 3.5 berjaya dikekalkan oleh calon GM iaitu Mohamad Idrul B Mohamad Daud dengan undi 329 mengalahkan Fatin Dayana dengan 192. Keseluruhan undi bersih yang diterima oleh calon GM adalah 136 dan undi rosak adalah 11. Peratusan yang keluar mengundi adalah 56.8% dan jumlah keseluruhan adalah 532. Seperti yang telah dijangka, peratusan pelajar keluar mengundi sangat merosot disebabkan cuti bagi pelajar tahun 4 dan bulan study bagi pelajar tahun 5.

Tiada sebarang isu yang besar berlaku di KTDI tetapi pada sesi kali ini, persaingan GM dan ASPIRASI lebih ketara. Kedua-dua pihak menunjukkan persaingan yang sihat dan matang walau ada beberapa isu provokasi di FB. Pada malam terakhir berkempen, jentera GM telah mengadakan "ops ziarah 2" dari rumah ke rumah di KTDI. Sekali lagi sambutan yang hangat dapat dirasakan. Jentera ASPIRASI hanya memasukkan bahan kempen mereka di bawah-bawah pintu rumah-rumah sahaja tanpa bersua muka.

Apa yang dapat disimpulkan pada kali ini adalah, Allah telah membuka jalan bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh. Mandat yang diberikan perlulah dibalas dengan menjalankan amanah sebaik mungkin. Kepada calon-calon GM tahniah kami ucapkan dan jangan sesekali mengkhianati amanah ini. Kepada calon ASPIRASI, insyaallah boleh cuba lagi tetapi janganlah sanggup diri anda diperkudakan oleh pihak tertentu. Jadilah warga yang bijak menilai. Kita tolak calon sistem dan sokong calon pilihan mahasiswa. Insyaallah.

Akhir kalam sebelum menutup perang/jihad PRK, akhirnya suara keramat mahasiswa yang dibelenggu bertahun-tahun sudah kedengaran. Ber-GM Lebih Baik.

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Sunday, February 20, 2011

Liputan PR Kampus UKM (4)

Sunday, February 20, 2011

Seperti yang telah dijangka, ASPIRASI telah menghantar calon mereka DAYANA dari kejururawatan dan GM telah menghantar calon mereka MOHAMAD IDRUL dari perubatan. Ketika penamaan calon, tiada sebarang kekecohan atau masalah yang berlaku. Penamaan calon selesai pada 11.30 pagi iaitu lebih awal dari yang dijangkakan. Apa yang menarik, calon bebas tidak muncul. Sumber kami mendapati, pada mulanya calon bebas telah bersedia untuk dihantar tetapi atas pemintaan seseorang dipihak pentadbiran, maka pihak pentadbiran yang lain terpaksa akur untuk tidak menghantar calon tersebut. Antara sebab mengapa dia tidak dihantar adalah, mereka tidak yakin bahawa calon bebas dan ASPIRASI dapat memecahkan dominasi calon GM dan keduanya adalah calon bebas tersebut hendak dikekalkan di dalam satu jawatankuasa persatuan di PPUKM ini. Alhamdulillah, apa yang diharapkan telah termakbul oleh Allah. Persaingan satu lawan satu bermula. GM lawan ASPIRASI.

Apa yang menariknya pada kedua-dua calon ini, mereka tidak pernah mempunyai jawatan di dalam ssesusatu organisasi. Mereka cuma memiliki pengalaman sebagai organisasi program sahaja. Tetapi kelebihan ada dipihak GM kerena calon mereka pernah menjadi ketua batch mereka.

Calon GM telah memulakan kempen dari satu posting ke satu posting pada 17 Feb petang. Ketika kempen dijalankan, didapati sambutan yang sangat menggalakkan. Mungkin ini petanda awal bahawa calon GM akan mendapat mandat dan amanah daripada pegundi di kawasan Fakulti Perubatan. Disebelah malamnya pula, calon GM bersama jentera mereka telah mengadakan "ops ziarah" dari rumah ke rumah di Laman Midah dan Prisma. Sekali lagi sambutan yang hangat diberikan. Kekuatan jentera GM yang lebih mesra dan sangat dikenali oleh para pengundi memberi kelebihan kepada calon mereka. Tidak dinafikan bahawa ada juga pengundi yang tidak memberi respon yang baik. Tetapi tidak mengapa, itu adalah lumrah perjuangan. Tidak disangka-sangka, pada hari yang sama, GM telah menaikkan 5 banner calon mereka. Malah ketika banner dinaikkan, para petugas jentera mendapat bantuan dari pro-GM yang menghulurkan bantuan tanpa diminta. Banner selesai digantung kurang dari setengah jam atas pertolongan pro-GM. Pada 17 Feb, masih tidak kelihatan gerak kerja jentera mahupun calon ASPIRASI bagi memulakan kempen. Banner mereka juga masih tidak digantung.

Pada 18 Feb, dikhabarkan bahawa calon ASPIRASI cuba menjalankan kempen di posting perubatan. Tetapi sambutan yang amat dingin diberikan. Dikhabarkan ketika kempen dijalankan, hanya beberapa orang sahaja yang mendengar. Disebelah petang pula, pihak GM dan ASPIRASI bersama jentera masing-masing bertenbung di Jabatan Kejururawatan. Pihak GM telah dihalang oleh pihak ASPIRASI atas alasan tidak mempunyai kebenaran. Pada GM, mereka memiliki 2 orang jentera yang sangat rapat dengan ketua jabatan. Jadi kelebihan itu digunakan oleh mereka untuk meminta kebenaran bagi berkempen. Alhamdulillah, sekali lagi Allah membantu dengan membuka hati ketua jabatan untuk membenarkan GM berkempen. Pihak ASPIRASI hanya mampu diam sahaja atas kebenaran tersebut. Kedua-dua pihak hanya berjaya menjalankan kempen pada 5.30 petang. Ketika berkempen, calon GM telah diajukan dengan beberapa soalan dari jentera ASPIRASI. Calon GM mampu menjawap dengan tenang. Jentera GM tidak dibenarkan untuk melihat atau mendengar kempen jentera ASPIRASI. GM diminta untuk meninggalkan Dewan Kuliah tersebut. Banner dari pihak ASPIRASI hanya berjaya dinaikkan pada pukul 3.15 pagi 19 Feb. Kelihatan hanya 2 orang sahaja jentera mereka yang menaikkannya.

19 Feb, seawal pagi jentera ASPIRASI telah menjalankan survey atas alasan arahan TNC. Bila diminta surat arahan, mereka tidak mampu memberikannya. Malah pada hari tersebut, bahan-bahan kempen ASPIRASI telah mula diedarkan. Pada malan tersebut, malam manifesto telah dianjurkan oleh pihak JAKSA KTDI. Kedua-dua jentera GM dan ASPIRASI dari Bangi telah turun. Ini telah menambah kehangatan suasana kempen di KTDI. Pihak ASPIRASI tiba sangat lewat dari masa yang ditetapkan. Malah kehadiran mereka seperti samseng-samseng yang ingin membuat kacau. Disebelah GM pula, mereka hadir sebelum masa yang ditetapkan. Malah mereka sempat menunaikan solat jemaah Maghrib dan Isya' berjemaah. Mereka sempat beramah mesra dengan jemaah surau arRazi. Kehadiran mereka dengan senyuman disambut meriah oleh warga KTDI. Jika dilihat wujud 2 kelompok. Tetapi yang menarik, kelompok GM dipenuhi oleh penghuni KTDI sebaliknya kelompok ASPIRASI hanya dipenuhi oleh jentera mereka dari Bangi sahaja.

Malam manifesto dimulakan oleh calon dari ASPIRASI Fakulti Perubatan. Sangat jelik melihat calon ASPIRASI yang terjerit-jerit menyampaikan manifesto beliau. Malah beliau tidak senyum tetapi suara seperti orang yang sedang kecewa dan marah pula kedengaran. Ia diikuti oleh calon GM Fakulti Perubatan. Kemasukan calon GM disambut dengan tepukan dan sorakan "Student Power" oleh jentera dan sebahagian pelajar KTDI yang lain. Dengan senyuman dan ketenangan, calon GM menyampaikan manifesto beliau. Setelah itu, calon ASPIRASI umum pula mengambil tempat. Sambutan yang dingin diberikan. Ada juga kedengaran sekali-sekala jeritan kecil jentera mereka. Tetapi ia masih tidak mampu mewujudkan fenomena bersama warga KTDI. Setelah selesai, mereka terus meniggalkan majlis tanpa sikap profesional. Mereka hanya meniggalkan beberapa orang jentera ASPIRASI dari KTDI sahaja. Ini adalah sikap yang biadap dan kurang didikan moral ditunjukkan. Suara-suara kecil warga KTDI kedengaran marah dan menghalau mereka pergi atas tindakan mereka. Majlis ditenteramkan oleh MC. Seterusnya ia disambung dengan calon umim dari GM. Sekali lagi suasana menjadi hangat dengan laungan "student power" kedengaran. Ketenangan dan ketegasan mereka dapat dirasai ketika ucapan disampaikan. Malah terasa aura dari kata-kata mereka. Kedengaran juga sesekali laungan "hidup hidup mahasiswa, ASPIRASI tinggal kawan" yang dilaungkan oleh jentera GM. Jentera ASPIRASI KTDI tidak mampu melawan suasana tersebut. Kelompok GM bukanlah terisi oleh jentera mereka tetapi terisi oleh warga KTDI yang menyokong mereka. Malah kelihatan pelajar kejururawatn dipihak GM. Pegawai keselamatan juga memberi sokongan kepada GM. Mungkin disebabkan kehangatan layanan jentera GM yang solat berjemaah bersama mereka setiap Suboh, Zohor dan Asar.

20 Feb adalah hari terakhir berkempe. Sehingga tengahari ini, kedua-dua pihak masih tidak kelihatan. Mungkin serangan-serangan jentera terakhir dari kedua-dua akan berlaku pada malam ini. Kita nantikan apa yang akan terjadi.

Sama-sma kita untuk turun mengundi dan memberi mandat kepada mereka yang berhak.

Wallau'alam
"agent of change"

Wednesday, February 16, 2011

Liputan PR Kampus UKM (3)

Wednesday, February 16, 2011

15 Feb 2011 berlaku satu program debat di antara duta GM dan juga mantan Setiausaha PMUKM dari ASPIRASI. Apa yang menyedihkan, debat tersebut tidak dapat dijalankan kerana wakil ASPIRASI tidak hadir atas alasan mempunyai program lain. Ketika jemputan dibuat, wakil ASPIRASI telah bersetuju untuk berdebat berkenaan isu PRK: Telus dan Bersih. Setelah jam menunjukkan pukul 9 malam, mereka membatalkan penglibatan di dalam debat tersebut dengan alasan mempunyai program bersama pengetua kolej. Program tersebut betukar menjadi sesi penerangan oleh wakil duta GM. Jumlah mahasiswa yang hadir sekitar 250 orang. Kebanyakan mereka adalah dari kalangan penggerak GM yang berpakaian unggu. Kelihatan juga wakil ASPIRASI yang hadir tetapi apabila dijemput menggantikan pihak yang sepatutnya, mereka menolak.

Di KTDI, difahamkan bahawa pihak pentadbiran akan mewujudkan calon bebas. ASPIRASI meletakkan seorang calon perempuan dari pelajar kejururawatan. GM meletakkan seorang calon lelaki dari perubatan. Manakala, difahamkan usaha mewujudkan calon bebas yang dijalankan oleh pihak pentadbiran akan meletakkan calon lelaki dari perubatan (twinning programme). Tujuan utama calon bebas diwujudkan adalah tidak jelas tetapi mungkin ini adalah startegi pihak pentadbiran untuk melakukan pecah undi kepada pihak GM. ASPIRASI dan bebas adalah di bawah naungan pentadbiran. Jadi alasan pecah undi adalah relevan untuk ketika ini. Jadi jentera GM akan bertemu dengan 2 jentera lain. Tetapi ini hanya khabar angin (walaupun memang sudah terbukti). Kita mengharapkan supaya tidak akan ada calon bebas yang bertanding atas dasar sabotaj.

Kita juga mengharapkan agar PRK kali ini berjalan dengan lebih bersih dan telus tanpa ada gangguan dari mana-mana tangan ghaib di belakang.

Wallahu'alam
"agent of change"

Tuesday, February 15, 2011

Liputan PR Kampus UKM (2)

Tuesday, February 15, 2011

Seperti yang telah dijangka, penamaan calon bakal berlangsung pada 17 Feb 2011 iaitu pada hari Khamis dan pembuangan undi pada 21 Feb 2011. Jangkaan sedikit meleset pada tarikh pembubaran MPP walaupun maklumat asal yang diterima adalah pada 27 atau 28 Januari 2011 tetepi ia telah berlaku pada 14 Feb 2011. Ia bukanlah pekara yang sangat besar tetapi apa yang lebih besar adalah siapa yang bakal menjadi pemimpin mahasiswa untuk sesi kali ini.

Dipihak ASPIRASI UKM, dikhabarkan bahawa mereka mungkin akan mempertaruhkan seorang anak Prof di UKM ini yang mengikuti program twinning. Ini mungkin memberi sedikit kelebihan kepada pihak mereka. Tetapi sedikit kekurangan jika diteliti pada peribadi calon mereka tersebut. Tidak dinafikan bahawa mereka juga mempunyai sekurang-kurangnya 4 calon simpanan yang berkualiti dan sudah siap untuk bertanding. 1 adalah dari pelajar perubatan dan 3 dari pelajar kejururawatan.

Dari sudut jentera pula, pada 14 Feb 2011 jam 10.30 malam, satu taklimat operasi jentera ASPIRASI telah berlangsung di Auditorium PPUKM. Perjumpaan ini sah kerana mereka menggunakan Auditorium dengan kebenaran menggunakan surat rasmi. Ini bermakna, jentera ASPIRASI telah lama wujud. Kelihatan 20-25 orang pelajar kejururawatan berkumpul bagi mendengar taklimat tersebut. Tidak kelihatan walau seorang pun pelajar perubatan. Tetapi mungkin ada pelajar perubatan yang terlibat. Dikhabarkan, perjumpaan tersebut dibuat bersama wakil ASPIRASI UKM bangi yang sanggup turun. Maklumat mengenai perjumpaan tersebut belegar melalui SMS dan mulut dikalangan pelajar sahaja tanpa didedahkan secara terbuka. Beberapa pekara telah dibincangkan (tidak molek rasanya bagi saya mendedahkan pekara yang dibincangkan).

Dipihak GM pula, dikhabarkan mereka akan menghantar seorang calon lelaki yang mempunyai pengalaman dalam arena PRK sebelum ini. Mereka jugan mempunyai simpanan aclon sekurang-kurangnya 10 orang.

Diperingkat jentera, baru-baru ini mereka telah melancarkan satu video dan poster CNY. Maklumat yang diterima, mereka telah bersiap sedia menghadapi PRK untuk sesi kali ini. Di sini saya sertakan poster tersebut:


Persaingan kali ini mungkin lebih menarik disebabkan pelajar tahun 4 sedang bercuti dan pelajar tahun 5 memasuki zone syudy month. Dijangka peratusan keluar mengundi adalah kurang daripada 60%. Kedua-dua pihak akan bergantung kepada ihsan undi daripada pelajar tahun 3, kejururawatan tahun 3 dan 4 serta pelajar eMed tahun 3 dan 4.

Wallahu'alam
"agent of change"

Tuesday, February 8, 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Tuesday, February 8, 2011

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?

Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Wallahu'alam
"agent of change"
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates