Monday, November 22, 2010

PERSIAP adalah KITA dan KITA adalah PERSIAP --> Warkah Untuk Semua

Monday, November 22, 2010


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Maha suci Tuhan yang tiada sekutu baginya. Memulakan kalam dengan nama agungNya, moga Allah membimbing setiap patah aksara yang bakal saya ketuk di papan kekunci ini InsyaAllah. Moga Allah memberi petunjuk untuk setiap hujah dan lafaz terakhir sebagai Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan (PERSIAP) sesi kali ini.

Melihat dari kaca mata seorang pemimpin, tenang hati dan mungkin boleh menarik nafas lega dan mengurut dada mengucapkan hamdallah dapat memimpin dengan segala keterbatasan yang ada, halangan dan cabaran yang berjaya dilepasi satu persatu, teguran-teguran yang diterima dengan hati terbuka, nasihat-nasihat yang cuba diamal dan diterapkan dan kejayaan dan kegagalan yang sentiasa dikecap silih berganti. Alhamdulillah. Sebagai peneraju utama persatuan yang boleh ditaklifkan sebagai pemimpin semua pelajar perubatan, terlalu banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi tanpa gentar dan mengenal erti beputus asa. Kesemuanya itu berkat dari doa dan sokongan kalian sebagai ahli PERSIAP. Tetapi tanpa izinNya, semua itu tidak akan berlaku. Langkah demi langkah diatur bagi mengekalkan dan seterusnya menaikkan penghormatan dan sokongan pelajar kepada persatuan telah diambil. Kadang kala ada langkah yang sekata dan tidak kurang juga banyak langkah yang tersasar. Bukan kehendak hati ingin menyalahkan bahawa kita ini manusia, tetapi itulah hakikatnya. Kita menilai sesuatu dari pandangan akal yang sangat terbatas. Maha suci Allah yang memiliki segala kekuasaan yang ada di langit dan di bumi. Tidak kurang juga tomahan dan provokasi yang diterima sepanjang zaman pemerintahan ini. Ada kalanya kami mampu bertahan dan ada kalanya air mata peneman penyelesaian masalah. Perselisihan faham yang berlaku di luar dan dalam organisasi adalah suatu lumrah dalam berorganisasi. Cuma bagaimana cara kita menerima dan menyelesaikan segala sesuatu itu saja yang membezakan.

Menurut perspektif peribadi, pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia telah banyak berubah. Jika dulu kita membiarkan saja hak kita ditelanjangkan, tetapi kini kita bangkit bersama dalam menuntut setiap hak yang kita miliki. Jika dulu kita takut bersuara, tetapi kini kita megah dan petah dalam memberi pandangan dan penyelesaian sehinggakan setiap kali mesyuarat fakulti, perwakilan pelajar akan dipanggil untuk memberikan buah fikiran. Jika dulu senior tidak boleh didekati, tetapi jurang itu dapat kita tumbangkan sekarang. Itu semua berkat kerjasama dan usaha semua pelajar melalui wadah persatuan. Moga di situ terbit keberkatan dan keampunan. Kita menerpa langkah bersama seperti askar di medan tempur bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi. Takut sama kita hadapi. Akhirnya inilah wajah pelajar perubatan yang terbentuk sekarang yang lebih cakna pada kebajikan, yang sentiasa mengambil berat terhadap akademik teman, yang memberi sokongan dalam setiap program dan yang sentiasa mahu bersama mempertahankan persatuan ketika ia di atas mahupun di bawah. Terima kasih saya ucapkan.

Dalam 3 tahun pemerintahan, terlalu banyak tuduhan-tuduhan dan tomahan-tomahan yang sentiasa dilemparkan terhadap persatuan. Ada yang mengatakan bahawa persatuan ini cenderung kepada politik sesuatu kumpulan, terlalu keMelayuan, tidak ada perubahan dari sudut program dan bermacam-macam lagi. Saranan saya mudah, ayuh kita masuk atau sentiasa rapat dengan persatuan. InsyaAllah mudah-mudahan semua akan jelas tentang apa persatuan ini sebenarnya. Jangan berani bersuara di belakang saja, ayuh kehadapan. Banyak yang hebat berpencak di bilik-bilik atau di tempat-tempat yang bukan sepatutnya menjadi tempatnya, tetapi takut untuk menyatakan kebenaran di hadapan. Kami cukup terbuka. Dasar kami adalah kebajikan dan akademik. Mungkin mereka melihat perjuangan menuntut keadilan terhadap kebajikan itu satu usaha yang sentiasa menentang pihak pentadbiran. Di sini saya ingi tegaskan, persatuan tidak akan berundur walau selangkah jika ada kebajikan pelajar yang terabai dan dikhianati. Jika ada mereka yang asyik bersuara tentang hasil perancangan program Zero Repeater Campaign di mana hasil kejayaan program tersebut dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Saranan saya mudah, ayuh sama-sama kita memberi sumbangan setidak-tidaknya dari sudut idea bagi membantu menangani masalah akademik ini. Jangan asyik bertanya tentang apa yang persatuan telah buat tetapi beritahu kepada kami tentang apa yang perlu kami buat bagi menangani segala permasalahan tersebut. Sikap salah-menyelahi ini semakin teruk akhir-akhir ini. Berubahlah demi kebaikan bersama.

Tohmahan, sindiran serta kritikan kami di barisan pimpinan terima dengan fikiran terbuka, walau hati kadang-kadang agak tercalar. Cuma saya agak ralat kerana sewajarnya ahli lebih bersifat adil menilai, telus memberi pendapat untuk perubahan persatuan. Namun saban tahun keadaannya sama, orang hanya akan sibuk menilai kepimpinan semasa sesi sudah hampir tamat. Kenapa sepanjang exco memegang jawatan, tiada yang datang menghulur idea? Kenapa di saat kami memerlukan tangan-tangan membantu, cukup sukar untuk mencari ajk yang mahu?

Ubahlah mentaliti, usahlah kalut bercakap mengenai merubah komuniti jika sebelum ini kita hanya melihat dari luar, bercakap tanpa masuk sendiri dalam komuniti melaksana. Sokongan itu senang, cukup senang tapi pertolongan itu kadang-kadang boleh dibilang dengan jari. Kerana itu tak perlu bercakap mengenai muka sama sahaja berkerja, kerana saya sendiri tidak tahu mana hilangnya muka baru. Terima kasih tak terhingga saya ucapkan kepada semua ahli yang sentiasa setia menyokong PERSIAP walaubagaimana sekalipun badai yang tiba. Kerana saya kira mereka inilah jua yang bakal bekerja memastikan PERSIAP terus berdenyut selepas ini. Jika hilang para ahli yang bekerja sebagai tulang belakang ini, maka ada kemungkinan untuk PERSIAP lumpuh dan jatuh.

Sekarang semua orang bercakap mengenai perubahan. Tapi saya lebih suka menyarankan agar kepimpinan akan datang berbicara mengenai pengislahan. Bagaimana kita ingin memantapkan apa yang sudah ada. Kualiti yang kurang itu bagaimana kita ingin tambahkan. Kelemahan yang jelas itu bagaimana kita ingin perbaiki. Apa yang tiada itu bagaimana kita ingin adakan. Idea yang baru memang bagus, malah saya sangat sokong andai itu boleh mengkualitikan mutu kerja persatuan. Namun perlu diingat, kadang-kadang idea itu boleh saja bersifat retorik, tidak berpijak di bumi nyata.

Di saat tiada goncangan isu, alhamdulillah PERSIAP nampak stabil. Namun bila tergugatnya PERSIAP, kami memerlukan pengemudi yang mampu melabuh sauh, menaik layar dan menukar arah bila tahu masanya, berpandukan kompas pengalaman dan kemahiran. Bukan nakhoda baru tidak mampu, tetapi untuk menjadi kelasi yang berjaya, kita perlu bermula dari bawah. Tiada jalan singkat untuk sesuatu yang bernama pengalaman, semuanya perlu bermula step by step. Betul, di sinilah fungsi mereka yang sudah berkemahiran, fungsi sebenar exco lama yang kekal. Tapi penerapannya tidak sama jika anda berada di kerusi Yang Di-Pertua. Exco lama dan penasihat hanya mampu membimbing jalan, tetapi YDP-lah yang berkuasa menunjuk jalan. Salah percaturan, maka risikonya ditanggung hampir 1200 orang di belakang.

Saya dengan rendah hati juga ingin meminta agar semua pelajar turun ketika AGM persatuan kelak bagi menuntut segala hak anda daripada kami. Jika kami ada terhutang walaupun sesen, maka tuntutlah. Jika kami ada terhutang merit walaupun 1, mintalah semula. Saya dengan rendah hati dan penuh kerelaan, sanggup untuk dihukum jika ketika pentadbiran kami ini, kami telah berlaku zalim kepada semua. Segala kesilapan yang kami lakukan bukanlah halnya kerana terlepas pandang tetapi itu semua kerana kami ini lemah atau kami lalai. Tuntutlah jika anda mahukannya. Kami hanya perlu persaksian dari semua orang yang kami telah menjalankan tanggungjawab ini dengan amanah. Itu saja. Kami tidak pernah minta untuk dibayar. Sentiasalah bediri teguh di belakang persatuan agar ia tidak akan roboh. Untuk membina satu mahligai impian yang sempurna bukanlah mengambil masa 1 atau 2 hari, tetapi sangat lama, Perlukan kesabaran, ketabahan dan kecekalan. Tetapi untuk meruntuhkannya hanya memerlukam kurang 1 saat. Kita adalah PERSIAP dan PERSIAP adalah Kita. Jadi yang membina kegemilangan ini adalah kita dan yang mungkin memusnahkannya juga adalah kita.

Wallah’alam

“agent of change”

Yang ikhlas,

MOHAMAD AZIZUDDIN FAHMI B NORDIN

Yang Di-Pertua PERSIAP(2010/2011)

Setiausaha Agong PERSIAP(2009/2010)

Exco KCKL PERSIAP(2008/2009)

Timbalan Pengerusi Fiqh Perubatan Malaysia(2010/2011)

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates