Thursday, September 30, 2010

Zina: Bukti Cinta Palsu

Thursday, September 30, 2010

Sabar atas sabar. Itu saja yang mampu diungkapkan buat masa ini. Pelbagai perkara yang perlu dilaksanakan, masalah yang perlu diselesaikan, mesyuarat yang perlu dihadiri sehinggakan terpaksa mengorbankan masa bersama mak dan abah yang berada jauh di kampung yang setiap hari bertanya bilakah anak sulongnya ini ingin pulan. Adik ketiga yang akan menghadapi Peperiksaan Menegah Rendah pada Selasa depan yang masih tidak dapat bertemu dengan abang yang selalu disebuat sebagai "inspirasi" hidupnya. Maafkan wahai insan yang terluka. Bukan disengajakan untuk mengambil keputusan ini, tetapi jika bukan kita siapa lagi. Biarlah pengorbanan yang tidak seberapa ini akan mempertemukan kita di syurga. Doakan saja apa yang terbaik untuk kita. Ini baru kehidupan secara sendirian, belum lagi jika telah bekeluarga. Maafkan diri ini jika hak kamu semua terabai. Insyaallah yang terbaik akan diberikan. Cita-cita dakwah telah tersemat sejak kecil lagi, tetapi di kampus ini barulah peluang itu hadir. Mudah-mudahan urusan dunia yang dilakukan ini bukan sekadar urusan dunia, tetapi ia adalah dakwah untuk menyebarkan agama. Insyaallah Ahad malam Isnin minggu ini akan menjadi salah seorang penal bagi suatu forum. Ini adalah peluang kedua selepas pernah menolak peluang yang sama tahun lepas.

Berbicara tentang cinta dan zina bukanlah kepakaran pada diri. Tetapi tetap mengambil tanggungjawab ini dengan hasrat belajar dan mengembangkan apa yang tersembunyi pada diri. Mudah-mudahan ia menjadi saham di akhirat kelak.

Cinta merupakan fitrah manusia hadiah dari Allah. Jika ditanya "apa makna cinta", pasti akan banyak jawapan yang didengari. Sebagai remaja, "cinta monyet", "cinta tiga segi" dan berbagai-bagai lagi falsafah cinta sentiasa bermain di bibir-bibir mereka. Tetapi persoalannya, adakah mereka sedar bahawa apakah tujuan cinta mereka itu? Adakah ia bertepatan dengan syara'? Adakah ia menuju redha Allah?. Tepuk dada dan tanya iman.

“Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” [Bukhari: no. 15, Muslim no. 60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901]

Cinta wujud hasil daripada satu perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka. Cinta yang hanya berpaksikan runtutan fitrah tanpa dicemari oleh hawa syahwat melambangkan kedamaian, keamanan dan ketenangan. Bagaimanapun, cinta seringkali diperalatkan untuk melepaskan keghairahan nafsu. Maka akan terjadi bermacam perkara yang merosakkan manusia dan membawa kepada kemaksiatan dan kehancuran umat terutama bagi golongan remaja yang terlalu taksub dan asyik dengan cinta tanpa ada penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras. Cinta yang hanya berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan hina. Oleh hal yang demikian itu, sebagai remaja, terutamanya remaja mukmin, kita sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa dengan lebih memahami makna dan erti serta cara yang sesuai untuk menerima dan memberi cinta kepada seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu semata.

Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya adalah ketakutan kepadanya, daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong bererti cinta itu berkurang.

“Jika Allah s.w.t. mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Tidak perlu dibicarakan lagi tentang tingkatan cinta kerana ia pasti akan membosankan pembaca. Sekadar peringatan untuk diri dan semua yang sedang meningkat remaja, siapakah cinta pertama kita? Tepuk dada dan tanyalah diri.

Menelusuri pengabdian cinta yang palsu, saban hari, dapat kita saksikan di setiap keratan-keratan akhbar tempatan sama ada di muka depan mahupun di selitan muka dalam, terdapat tajuk-tajuk berita yang barangkali sudah jemu dibaca. “Bayi dijumpai di sungai”, “Bayi lelaki dijumpai di dalam mangkuk tandas” dan lain-lain tajuk lagi yang amat menggusarkan kita. Apabila bercerita mengenai buang bayi, sudah tentu tak dapat dipisahkan daripada topik ‘pasangan yang terlanjur’ (jarang sekali mereka yang bernikah membuang anak). Kita dapat lihat bagaimana pihak jabatan agama terpaksa bekerja keras setiap hari dalam menghadapi kemelut ini dan paling menakjubkan adalah betapa mereka yang ‘terlanjur’ tidak segan silu merakamkan adegan-adegan sendiri, maka tersebarlah imej-imej dan video-video hebat melalui internet dengan tajuk-tajuk memalukan, “pelajar kolej.3gp”, “budak 18 thn.3gp” dan lain-lain lagi.

Inilah perkara di mana penzinaan berlaku disebabkan bukti cinta yang palsu. Jadi apakah peranan kita sebagai “mahasiswa”? Dan bagaimanakah cara kita untuk menghindarinya? (ikutinya dalam forum yang akan berlangsung Ahad ini)

Justeru teman-teman, cinta yang tidak dibendung akan membawa kepada malapetaka diakhirnya kelak. Ayuh janganlah kita mengambil kesempatan daripada nikmat cinta yang telah Allah berikan. Ayuh kita sokong, semarakkan serta membenteras permasalahan ZINA ini. Mahasiswa Bijak Jauhi Zina.

"dan janganlah kamu mendekati zina, itu sesungguhnya suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk" [alIsra': 32]

Wallahu’alam

“agent of change”

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates