Friday, April 23, 2010

Di Medan Ini Aku Berda'wah

Friday, April 23, 2010

Alhamdulillah buat pertama kalinya memberi tazkirah panjang kepada jemaah surau walaupun sebelum ini kerap memberi tazkirah tetapi tidaklah lama. Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah dan keluarga serta sahabat baginda. Titipan kali ini hanyalah sekadar peringatan pada diri sendiri serta seluruh warga yang duduk di bawah nama perubatan supaya apa yang dikatakan tidak dilupai.

Beberapa kali memikirkan apa yang mampu diri ini beri kepada penyuburan agama. Mungkin boleh dikatakan bahawa mentaliti seorang "doktor" atau "pelajar perubatan" adalah kekangan masa untuk bekerja serta menelaah pelajaran yang ada sehingga lupa matlamat serta tujuan kita diciptakan oleh Allah. Mudah-mudahan di medan perubatan ini diri ini mampu berdakwah.

Manusia sedar akan hakikat mereka diciptakan tetapi sentiasa lupa untuk mencapai matlamat tersebut. Mungkin di zaman ini ramai manusia yang lebih mendahulukan matlamat peribadi yang ingin menjadi itu dan ingin menjadi ini. 2 tujuan kita diciptakan adalah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan menyebarkan agama ini kepada manusia lain supaya sama-sama mendapat rahmat Allah. Moga selepas kita berusaha menyampaikan risalah Allah ini, kita akan mendapat redha, keampunan serta rahmat Allah. Insyaallah. Medan perubatan ini adalah medan yang paling besar dan paling mudah untuk menyampaikan risalah ini. Cuma hati saja yang mahu atau tidak. Jika mahu tidak kira apa yang berlaku, tetap dia akan laksanakan tetapi jika tidak mahu maka terlalu banyak alasan sehingga gagal membuat pilihan yang mana perlu didahulukan.

Jika dilihat di zaman penjajah, antara perkara pertama yang dilakukan adalah membina tempat-tempat rawatan seperti rumah sakit. Ini kerana orang sakit adalah orang yang sangat bergantung harap kepada sesuatu. Maka dengan itu mudahlah penjajah terutama golongan "kristianisasi" menjalankan dakwah mereka. Malah di zaman ini kita masih dapat melihat peninggalan penjajah di hospital-hospital seperti pakaian jururawat. Siapakah yang mahu mengubah semua ini jika tidak kita? Fikirkan bersama wahai sahabat-sahabat.

Medan dakwah perubatan bukanlah seperti medan dakwah politik atau peperangan. Ia lebih menjurus kepada "da'wah bil hubbi" iaitu dakwah dengan cinta. Perlu ada dalam diri para doktor atau pelajar perubatan itu rasa cinta dan cuba mewujudkan rasa cinta pesakit kepada kita atas akhlak kita supaya mudah kita mengajak mereka dekat kepada Allah. Di UKM sendiri ada satu modul khas iaitu modul PPD yang mendidik sifat itu dalam diri kita. Jika kita sedari modul itu adalah satu bentuk "tarbiah" kepada kita. Janganlah kita ambil ia sambil lewa dan mudah. Di sanalah kita belajar tentang "spirituality", "interpersonal skill", "emotional development" yang mana semua itu adalah perkara penting yang mesti ada dalam diri pendakwah.

Di medan ini jugalah terlalu banyak kelebihan yang kita ada untuk berdakwah.

1-Untuk duduk di bawah medan perubatan ini, kebiasaannya adalah orang-orang yang bijak pandai. Jadi gunakanlah kebijaksanaan yang Allah beri kepada kita itu untuk menyampaikan risalah dakwah ini serta berhujah dengan pesakit supaya mereka dapat menerima ajakan kita. Kita tidak mampu membuka hati mereka tetapi Allah lah yang akan memberi rahmat atas itu semua. Kita hanya berusaha sahaja.

2-Kita selalunya akan di datangi oleh mad'u (orang yang hendak didakwah) tanpa perlu keluar mencari mad'u. Keadaan pesakit yang memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada doktor tersebut untuk memberikan rawatan fizikal yang dihadapinya sehinggakan dia membuang sama sekali perbezaan antaranya dengan perawat yang memberikan perkhidmatan itu. Tidak ada lagi perbezaan agama dan warna kulit. Tiada lagi perbezaan fahaman dan parti politik. Tiada lagi perbezaan kasta dan makanan. Semuanya itu dibuang demi untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Perkenalan yang singkat dengan perawat tersebut seolah-olah telah lama dikenalinya sehingga dia sanggup memberitahu segala rahsia yang disimpan selama ini walaupun kepada anak dan isterinya sendiri. Segala rahsia didedahkan kepada orang yang baru dikenalinya yang bergelar doktor tersebut. Segala masalah diceritakan satu persatu agar tuan doktor memberikan rawatan terbaik.

Oleh yang demikian segala prasarana telah luas terbentang dan tersedia, tetapi mengapa kita di medan ini masih tidak mahu atau dapat menjalankannya. Moga kita warga UKM ini bukanlah dari golongan tersebut. Tetapi kena ingat, sebelum menjadi sedorang dai'e dalam ini, diri perlu lengkap dengan ilmu yang seperlunya. Semua itu kebiasaannya hanya kita perolehi di medan kampus.

1-Ilmu perubatan yang baik. Ini penting supaya kita tidak membuat kesilapan ketika memberi rawatan. Apabila pesakit yakin akan kita, maka dengan izin Allah mudahlah kita mendidik jiwan pesakit ini dengan agama.

2-Perlunya ilmu agama. Mungkin kita tidak mempunyai kelas-kelas khas agama seperti di USIM. Oleh yang demikian hadirkanlah diri kita ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh surau seperti ceramah-ceramah, usrah dan forum-forum. Dalam masa yang sama juga perlu ada serba sedikit ilmu didada mengenai agama penganut lain supaya kita dapat mengetahui selok belok yang boleh kita masuki dan sentuh.

Dari sini saya secara peribadi menyimpulkan bahawa medan dakwah di medan kita lebih mudah dan luas berbanding dengan orang lain. Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak. Apabila kita telah menjadi doktor, kebiasaannya kita akan menjadi ketua di dalam kumpulan yang kita pimpin samada besar atau kecil di hospital itu, maka dapatlah kita bentuk dasar dengan kuasa yang kita ada dan seterusnya membentuk suasana islam yang cantik dan sempurna itu. Maka ayuh sahabat-sahabat, mari kita jadi AGENT OF CHANGE dalam medan ini. Dengan izin Allah, kita mampu mengubah masyarakat. Jadilah doktor muslim dan mu'min. Ayuk kita suburkan agama dengan menjadi "PROFESIONAL ULAMA".

Wallahu'alam=>
"agent of change"

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates