Friday, April 23, 2010

Di Medan Ini Aku Berda'wah

Friday, April 23, 2010

Alhamdulillah buat pertama kalinya memberi tazkirah panjang kepada jemaah surau walaupun sebelum ini kerap memberi tazkirah tetapi tidaklah lama. Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah dan keluarga serta sahabat baginda. Titipan kali ini hanyalah sekadar peringatan pada diri sendiri serta seluruh warga yang duduk di bawah nama perubatan supaya apa yang dikatakan tidak dilupai.

Beberapa kali memikirkan apa yang mampu diri ini beri kepada penyuburan agama. Mungkin boleh dikatakan bahawa mentaliti seorang "doktor" atau "pelajar perubatan" adalah kekangan masa untuk bekerja serta menelaah pelajaran yang ada sehingga lupa matlamat serta tujuan kita diciptakan oleh Allah. Mudah-mudahan di medan perubatan ini diri ini mampu berdakwah.

Manusia sedar akan hakikat mereka diciptakan tetapi sentiasa lupa untuk mencapai matlamat tersebut. Mungkin di zaman ini ramai manusia yang lebih mendahulukan matlamat peribadi yang ingin menjadi itu dan ingin menjadi ini. 2 tujuan kita diciptakan adalah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan menyebarkan agama ini kepada manusia lain supaya sama-sama mendapat rahmat Allah. Moga selepas kita berusaha menyampaikan risalah Allah ini, kita akan mendapat redha, keampunan serta rahmat Allah. Insyaallah. Medan perubatan ini adalah medan yang paling besar dan paling mudah untuk menyampaikan risalah ini. Cuma hati saja yang mahu atau tidak. Jika mahu tidak kira apa yang berlaku, tetap dia akan laksanakan tetapi jika tidak mahu maka terlalu banyak alasan sehingga gagal membuat pilihan yang mana perlu didahulukan.

Jika dilihat di zaman penjajah, antara perkara pertama yang dilakukan adalah membina tempat-tempat rawatan seperti rumah sakit. Ini kerana orang sakit adalah orang yang sangat bergantung harap kepada sesuatu. Maka dengan itu mudahlah penjajah terutama golongan "kristianisasi" menjalankan dakwah mereka. Malah di zaman ini kita masih dapat melihat peninggalan penjajah di hospital-hospital seperti pakaian jururawat. Siapakah yang mahu mengubah semua ini jika tidak kita? Fikirkan bersama wahai sahabat-sahabat.

Medan dakwah perubatan bukanlah seperti medan dakwah politik atau peperangan. Ia lebih menjurus kepada "da'wah bil hubbi" iaitu dakwah dengan cinta. Perlu ada dalam diri para doktor atau pelajar perubatan itu rasa cinta dan cuba mewujudkan rasa cinta pesakit kepada kita atas akhlak kita supaya mudah kita mengajak mereka dekat kepada Allah. Di UKM sendiri ada satu modul khas iaitu modul PPD yang mendidik sifat itu dalam diri kita. Jika kita sedari modul itu adalah satu bentuk "tarbiah" kepada kita. Janganlah kita ambil ia sambil lewa dan mudah. Di sanalah kita belajar tentang "spirituality", "interpersonal skill", "emotional development" yang mana semua itu adalah perkara penting yang mesti ada dalam diri pendakwah.

Di medan ini jugalah terlalu banyak kelebihan yang kita ada untuk berdakwah.

1-Untuk duduk di bawah medan perubatan ini, kebiasaannya adalah orang-orang yang bijak pandai. Jadi gunakanlah kebijaksanaan yang Allah beri kepada kita itu untuk menyampaikan risalah dakwah ini serta berhujah dengan pesakit supaya mereka dapat menerima ajakan kita. Kita tidak mampu membuka hati mereka tetapi Allah lah yang akan memberi rahmat atas itu semua. Kita hanya berusaha sahaja.

2-Kita selalunya akan di datangi oleh mad'u (orang yang hendak didakwah) tanpa perlu keluar mencari mad'u. Keadaan pesakit yang memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada doktor tersebut untuk memberikan rawatan fizikal yang dihadapinya sehinggakan dia membuang sama sekali perbezaan antaranya dengan perawat yang memberikan perkhidmatan itu. Tidak ada lagi perbezaan agama dan warna kulit. Tiada lagi perbezaan fahaman dan parti politik. Tiada lagi perbezaan kasta dan makanan. Semuanya itu dibuang demi untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Perkenalan yang singkat dengan perawat tersebut seolah-olah telah lama dikenalinya sehingga dia sanggup memberitahu segala rahsia yang disimpan selama ini walaupun kepada anak dan isterinya sendiri. Segala rahsia didedahkan kepada orang yang baru dikenalinya yang bergelar doktor tersebut. Segala masalah diceritakan satu persatu agar tuan doktor memberikan rawatan terbaik.

Oleh yang demikian segala prasarana telah luas terbentang dan tersedia, tetapi mengapa kita di medan ini masih tidak mahu atau dapat menjalankannya. Moga kita warga UKM ini bukanlah dari golongan tersebut. Tetapi kena ingat, sebelum menjadi sedorang dai'e dalam ini, diri perlu lengkap dengan ilmu yang seperlunya. Semua itu kebiasaannya hanya kita perolehi di medan kampus.

1-Ilmu perubatan yang baik. Ini penting supaya kita tidak membuat kesilapan ketika memberi rawatan. Apabila pesakit yakin akan kita, maka dengan izin Allah mudahlah kita mendidik jiwan pesakit ini dengan agama.

2-Perlunya ilmu agama. Mungkin kita tidak mempunyai kelas-kelas khas agama seperti di USIM. Oleh yang demikian hadirkanlah diri kita ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh surau seperti ceramah-ceramah, usrah dan forum-forum. Dalam masa yang sama juga perlu ada serba sedikit ilmu didada mengenai agama penganut lain supaya kita dapat mengetahui selok belok yang boleh kita masuki dan sentuh.

Dari sini saya secara peribadi menyimpulkan bahawa medan dakwah di medan kita lebih mudah dan luas berbanding dengan orang lain. Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak. Apabila kita telah menjadi doktor, kebiasaannya kita akan menjadi ketua di dalam kumpulan yang kita pimpin samada besar atau kecil di hospital itu, maka dapatlah kita bentuk dasar dengan kuasa yang kita ada dan seterusnya membentuk suasana islam yang cantik dan sempurna itu. Maka ayuh sahabat-sahabat, mari kita jadi AGENT OF CHANGE dalam medan ini. Dengan izin Allah, kita mampu mengubah masyarakat. Jadilah doktor muslim dan mu'min. Ayuk kita suburkan agama dengan menjadi "PROFESIONAL ULAMA".

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Saturday, April 17, 2010

Dijalan Ini Aku Bernikah

Saturday, April 17, 2010

Nafsu syahwat itu seperti air bah yang turun dari puncak gunung. Barang siapa berdiri menghadangnya, maka ia akan diterjang dan dilumatkan. Barang siapa membiarkannya, maka ia bakal memporak-porandakan negeri dan memusnahkan umat manusia. Orang yang berakal sihat tentu akan membuat jalan untuknya, menggali tanah sedalam-dalamnya dan mengalirkan air bah itu ke sana. Inilah yang diperbuat Islam.

Di jalan apakah anda menikah? Terbentang pula dengan lurus dan amat luas jalan dakwah. Jalan para Nabi dan syuhada, jalan orang-orang soleh, jalan para ahli surga yang kini telah bercengkerama di taman-tamannya:

Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha suci Allah, dan aku tiada Termasuk orang-orang yang musyrik”-Yusuf:108-. Hadzihi sabili, inilah jalanku, yakni ad’u ilallah, aku sentiasa mengajak manusia kepada Allah. Fi’il mudhari’ yang digunakan pada kalimat ad’u ilallah semakin menegaskan bahwa dakwah adalah pekerjaan yang sedang dan akan terus-menerus dilakukan kaum muslimin, yaitu saya, Rasulullah saw, wamanittaba’ani dan orang-orang yang mengikuti Rasullullah saw sampai akhir zaman nanti.

Inilah jalanku, yaitu jalan dakwah, jalan yang membentang lurus menuju kebahagiaan dan kepastian akhir. Jalan yang dipilihkan Allah untuk para Nabi, dan orang-orang yang setia mengikuti mereka. Jalan inilah yang menghantarkan Nabi saw menikahi istri-istrinya. Jalan ini yang mengantarkan Ummu Sulaim menerima pinangan Abu Thalhah. Jalan yang menyebabkan bertemunya Ali r.a dan Fatimah az-Zahra dalam sebuah keluarga.

Di jalan dakwah itulah Nabi saw menikahi Ummahatul Mukminin. Di jalan itu pula para sahabat Nabi menikah. Di jalan dakwah itulah orang-orang saleh membina rumah tangga. Jalan ini menawarkan kelurusan orientasi, bahwa pernikahan adalah ibadah. Bahawa berkeluarga adalah salah satu tahapan dakwah untuk menegakkan kedaulatan di muka bumi Allah.

"Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa"-alAn’am:153-

Menikah di jalan dakwah akan mendapatkan keberuntungan. Di jalan ini para sahabat Nabi melangkah, di jalan ini mereka menikah, di jalan ini pula mereka meninggal sebagai syahid dengan kematian yang indah. Jalan yang tak pernah memberikan kerugian. Justru senantiasa menjadi invesatasi masa depan yang menguntungkan di dunia mahupun akhirat.

Di jalan ini kecenderungan ruhiyah amat mendapat perhatian, akan tetapi tidak mengabaikan material. Di jalan ini syaitan terkalahkan oleh orientasi Rabbani, dan menuntun prosesnya, dari awal sampai akhir, senantiasa memiliki kontribusi terhadap kebaikan dan umat.

Sejak dari persiapan diri, pemilihan jodoh, peminangan, akad nikah hingga walimah dan hidup satu rumah. Tiada yang dilakukan kecuali dalam kerangka kesemestaan dakwah.

“Seandainya seseorang dianugerahi harta Qorun dan fisik Hercules. Lalu dihadiahkan di hadapannya 1000 perempuan jelita berikut segala keistimewaannya, niscaya dia tidak pernah berjumpa dengan kepuasan”

(Dikutip dari buku “Di Jalan Dakwah Aku Menikah”, karya Cahyadi Takariawan)

*adakah aku akan bernikah dijalan ini?
*siapakah bidadari yang bakal aku nikahi?
*apakah cinta yang bakal kami lalui menuntut cinta, redha dan keampunan Allah?

Wallahu'alam=>
"agent of change"


Thursday, April 15, 2010

Menjaga Hati, Raja Diri

Thursday, April 15, 2010

Susahnya menjaga hati. Sedangkan ia adalah tempat pandangan Allah. Ia merupakan wadah rebutan di antara malaikat dan syaitan. Masing-masing ingin mengisi. Malaikat dengan hidayah, syaitan dengan kekufuran. Bila tiada hidayah, ada ilmu pun tidak menjamin dapat selamat, sekalipun ilmu diperlukan. Susahnya menjaga hati. Bila dipuji, ia berbunga. Terasa luar biasa. Bila dicaci, aduh sakitnya. Pencaci dibenci. Bahkan berdendam sampai mati. Bila berilmu atau kaya, sombong mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu, rendah diri pula dengan manusia. Adakalanya kecewa. Kemuncaknya putus asa.

Pada takdir yang menimpa, kita susah untuk redha. Ujian yang datang, sabar tiada. Jiwa menderita. Melihat kelebihan orang lain, hati tersiksa. Kesusahan orang lain, hati menghina. Bahkan terhibur pula. Suka menegur orang, tapi bila ditegur hati luka. Aduh susahnya menjaga hati. Patutlah ia dikatakan raja diri. Bukankah sifat sombong pakaian Raja?!

Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang membuat kesalahan kepada kita. Bukan mudah tidak membalas terhadap orang yang menganiaya dan memfitnah kita. Sedangkan mereka menyusahkan kita, dan kita pun menderita dibuatnya. Tidak mudah menahan perasaan hati agar tidak berbunga ketika ada orang memuji kita. Apakah kita boleh menolak pujian itu dengan rasa hati bahwa kita tidak layak menerimanya? Tidak mudah, biasanya hati sedap dan berbunga rasanya.

Apabila kita berhadapan dengan orang serba istimewa, ada yang kaya, berjawatan tinggi, tinggi ilmunya sedangkan kita orang biasa saja, biasanya kita inferiority complex dibuatnya, malu pun timbul. Dapatkah kita merasa biasa saja, tidak terasa apa-apa?

Yang penting kita dengan Tuhan ada hubungan senantiasa, takut dan cinta (bukankah itu takwa?). Terasa bahagia dengan Tuhan, rasa senang denganNya yang lain tidak ada erti apa-apa. Apakah mudah hati kita menahan derita bila mendapat bala bencana atau sahabat tidak sehaluan dengan kita atau melebihi kita ? Tidak mudah, biasanya hati kita derita dibuatnya. Kita rasa kecewa, kita rasa orang yang malang hidup di dunia. Kita tidak dapat hubungkaitkan dengan hikmah dan didikan Tuhan kepada kita. Bahkan biasanya selalu saja jahat sangka dengan Tuhan yang melakukannya. Hati kita rasa bahwa tidak semestinya Tuhan menyusahkan kita.

Begitu jugalah kalau kita orang istimewa, berilmu, berjabatan tinggi, kaya! Biasanya rasa megah datang tiba-tiba, sombong pun berbunga, mulailah kita menghina. Hidup kita pun mulailah berubah, sebelumnya beragama lupa agama. Kalau dahulu dapat bergaul dengan orang biasa, sekarang kawan kita golongan atas saja . Hendak bergaul dengan orang biasa seperti dahulu rasa jatuh wibawa.

Begitulah hati manusia sentiasa berubah-ubah apabila berubah keadaan. Karena itulah kita disuruh berdoa: “Ya Allah tetapkanlah hati kami di atas agamaMu, dan mentaatiMu.”

Wallahu'alam=>
"agent of change"

Saturday, April 10, 2010

Tuntutan Menegur Pemimpin

Saturday, April 10, 2010

Telah berkata Saidina Abu Bakar setelah dilantik sebagai Khalifah Islam yang pertama:

“Wahai manusia, telah kamu memilih saya sebagai pemimpin di atas kamu dan bukan lah aku terbaik dari kalangan kamu, sekiranya aku baik, maka bersamalah dengan ku. Sekiranya aku melakukan kejahatan, maka perbetulkan lah aku. Menyata yang benar itu adalah amanah, dan pembohongan itu adalah khianat…” (Dipetik dari m/s 27, buku itmamul wafa fi sirah al-khulafa, syeikh Muhammad bin afifi albajuri)

Seringkali kita mendengar petikan ucapan Saidina Abu Bakar semasa beliau dipilih untuk menjadi khalifah yang pertama bagi ummat Islam selepas wafatnya Rasulullah (SAW) dan bahagian permulaan ucapan beliau saya sertakan di atas sebagai rujukan sekiranya ada yang kurang jelas.

Bagi saya ianya jelas merupakan ucapan yang memohon teguran dan pembetulan dari ummat supaya memantau beliau sebagai seorang khalifah.

Ini dipohon secara ikhlas kerana Saidina Abu Bakar amat menyedari betapa besarnya tanggung-jawab sebagai pemimpin ummat Islam. Tindakan beliau membawa implikasi bukan sekadar kepada ummat Islam sahaja, tetapi kepada agama Islam itu sendiri.

Sepanjang ucapan beliau itu, tiada sebarang bentuk arahan agar diberikan kepadanya ketaatan secara membuta tuli. Malahan teguran dipohon sekiranya dianggap ada yang perlu diperbetulkan. Bukan sekadar itu, Saidina Abu Bakar juga telah menyebut “Menyata yang benar itu adalah amanah dan pembohongan itu adalah khianat…”

Ini membawa pengertian bahawa seseorang itu mestilah nyatakan secara berterus terang akan kebenaran pandangan dan tindakkannya, jika setuju katakan setuju, jika tidak katakan tidak dan mengapa.

Janganlah pula menjadi si pembodek yang sebelum habis lagi ayat sudah terus menjawab, “kami setuju, wala’ dan taat!” Jenis manusia yang sebegini tiada manfaat kepada jemaah.

Malahan Saidina Abu Bakar menganggap mereka ini sebagai pengkhianat kerana mereka telah berdusta dengan meng’iya’kan perkara yang salah tanpa sebarang usul periksa. Terdapat kemungkinan yang di’iya’kan itu satu kesilapan besar dari sudut hukum atau strategi dan ianya membawa kerugian besar kepada jemaah.

Dalam pada itu, terdapat juga mereka berhujjah, “pemimpin sudah istikharah, kita ikut sahajalah”. Tetapi apa yang peliknya ialah, Saidina Abu Bakar sendiri yang mendapat Islam ditangan Nabi (SAW) tidak beristikharahkah? Sehingga meminta untuk diperbetulkan sekiranya salah?

Golongan yang berhujjah sebegini, seperti kata DS Presiden di dalam satu muktamar di Kelantan satu ketika dahulu, “ingin memperkudakan Allah”. Mereka ingin Allah berkhidmat untuk mereka bukan mereka berkhidmat untuk Allah!

Semua persoalan tidak mahu difikir atau dianalisa untuk mencari penyelesaian yang terbaik. Mereka ingin Allah tentukan untuk mereka melalui istikharah pemimpin dan mereka akan ikut sahaja.

Istikharah itu sememangnya digalakkan tetapi ianya tidak boleh digunakan sebagai hujjah yang qat’i dan masih perlu dibahaskan.

Sekiranya perbahasan menemui kebuntuan dan semua tidak tahu jalan keluar, maka dengan itu istikharah menjadi pemecah kebuntuan.

Budaya taat secara membuta tuli ini adalah apa yang pernah dituntut oleh pemerintahan gereja suatu ketika dahulu. Kami adalah yang terdekat dengan Tuhan dan Tuhan bercakap melalui kami, kata paderi-paderi pada ketika itu.

Oleh itu, sesiapa yang tidak mentaati arahan Gereja maka mereka dianggap berdosa dan melanggar perintah Tuhan.

Mereka diseksa sehingga mereka tunduk kepada arahan itu demi ‘menyelamatkan’ roh mereka. Islam tidak sebegitu dan gerakan Islam tidak boleh terikut dengan budaya seperti itu. Pemimpin mesti bersedia untuk ditegur dan pengikut mestilah digalakkan untuk menegur kesilapan pemimpin, sepertimana ucapan Saidina Abu Bakar.

Itulah sebabnya dalam semua persoalan kita melihat Saidinna Abu Bakar berhujjah dengan para sahabat untuk mencari tindakan yang sebaik-baiknya.

Termasuklah juga dalam persoalan memerangi golongan murtaddiin. Hanya dalam persoalan perlantikkan Usama sebagai ketua angkatan perang beliau tidak berbincang kerana keputusan itu telah dibuat oleh Rasulullah sebelum Baginda wafat dan Saidina Abu Bakar tidak akan mahu menolak pilihan Rasulullah (SAW).

Kaedah bermusyawarah ini sebenarnya dapat dipelajari dari amalan Rasulullah (SAW) sendiri. Dalam kisah peperangan Badr, Uhud dan sebagainya malahan dalam semua persoalan yang bukannya wahyu, Rasulullah (SAW) membawa berbincang dengan para sahabat Baginda.

Sekiranya tidak dibincang di peringkat awal sekalipun, maka dijelaskan selepasnya apabila didapati terdapat sungutan sepertimana dalam persoalan pembahagian Ghanimah selepas perang Hunain.

Namun ianya tetap dijelaskan dan kebijaksanaan serta keadilan tindakan berkenaan menjadi nyata kepada semua. Tidak pernah teguran dan sungutan dijawab dengan menuntut wala’ dan taat semata-mata. Melainkan ianya di dalam situasi kerahsiaan seperti peperangan.

Walaupun dalam perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah (SAW) berusaha menjelaskannya dengan sebaik mungkin dan apabila melihat para sahabat masih bersedih dan tidak berpuas hati, Baginda MEMINTA PANDANGAN dari isterinya Ummu Salaamah dan beliau menasihati Baginda untuk meneruskan upacara korban tersebut secara bersendirian.

Apabila ianya dilihat oleh para sahabat yang lain, lantas mereka pun turut melakukan korban.

Lihatlah sikap Rasulullah yang sanggup meminta pandangan hatta dari isteri Baginda sekalipun tanpa rasa segan silu. Ini amat berbeza dengan sikap sesetengah golongan yang menganggap pemimpin dewasa ini hampir maksum dan tidak boleh ditegur atau dinasihat.

Dapat kita lihat, dalam persoalan perjanjian Hudaibiyyah ini, tiada Rasulullah (SAW) menuntut wala’ dan taat dengan begitu sahaja, tetapi Baginda berusaha menjelaskan ketepatan tindakannya dan akhirnya tindakan Rasulullah (SAW) tersebut telah disahkan oleh Allah melalui wahyu yang diturunkan yang mengisytiharkan perjanjian tersebut sebagai satu kemenangan.

Hakikat bahawa ianya sebuah kemenangan telah terus terbukti sehingga berlakunya Fathul Mekah hasil dari pelanggaran perjanjian tersebut oleh kaum Quraisy.

Berdasarkan semua yang di atas, konsep wala’ kepada pemimpin jelas tidak membawa erti ketaatan membuta tuli. Ahli berhak bertanya dan memohon penerangan dan pemimpin wajib menjelaskan, bukan sekadar menuntut wala’, thiqah dan taat.

Pemimpin yang tidak berusaha member penjelasan dan hanya sekadar menuntut wala’, thiqah dan taat adalah pemimpin yang akhirnya akan menyebabkan robohnya institusi wala’, thiqah dan taat di atas sebab kelemahan diri sendiri.

Mereka seolah-olah ingin menjadikan wala’, thiqah dan taat sebagai candu kepada ahli sedangkan pada hakikatnya, sekiranya difahami secara tepat, ianya bukanlah candu, tetapi lebih merupakan kepada rasa hormat menghormati dan keikhlasan dari kedua belah pihak.

Selain dari golongan pembodek yang ingin sentiasa meng’iya’kan pandangan pimpinan walaupun tidak memahaminya, terdapat juga golongan yang sentiasa ingin mencari alasan untuk membangkang.

Mereka terus membangkang walaupun sudah dibahas dan dijelaskan berserta kekuatan hujjah yang telah terbukti tidak menyebelahi mereka. Golongan ini juga tidak berdiri di atas dasar “Menyata yang benar” tetapi lebih di atas dasar dengki kesumat atau agenda tersendiri yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Golongan seperti ini juga tiada manfaat kepada jemaah dan jatuh juga dalam kategori pembohong yang khianat. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa kedua golongan seperti ini jelas tidak dapat menghayati konsep wala’ yang telah dianjurkan oleh Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah Islam yang pertama.

Friday, April 9, 2010

Wala' Dan Thiqah, Pengajaran Dari Rasulullah

Friday, April 9, 2010

Kebelakangan ini ada yang menimbulkan persoalan Wala’ dan Thiqah sambil memberikan penekanan terhadap pengamalannya. Ia bagaikan menjadi bagaikan satu ‘trend’ sehingga yang tidak tahu hujang pangkal turut ingin membicarakan persoalan ini. Tumpuan yang diberikan kepada persoalan ini memberikan gambaran seolah-olah PAS sedang dilanda musibah berhubung dengan dua ‘doktrin’ (sepertimana istilah yang digunakan) ini dan ianya perlu ditangani sebelum bencana melanda PAS.

Saya melihat keadaan yang wujud adalah hasil dari ketidak-fahaman ahli PAS sendiri terhadap penggunaan istilah ini. Apabila ianya tidak difahami maka ianya telah menimbulkan keluh-kesah kerana mereka ingin melihat dan mencapai sesuatu yang pada dasarnya tidak dituntut dengan cara yang sepertimana digambarkan. Bagi sebahagian ahli pula, khususnya yang masih ‘baru’, istilah wala’ dan thiqah ini membawa erti kepatuhan yang tidak berbelah bagi sehingga pemimpin serta apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin, tidak boleh dipersoalkan. Sekiranya ianya disoal, atas apa alasan sekalipun, maka bererti tiadanya wala’ serta thiqah bagi yang menyoal. Mereka ini kemudiannya terus dilabel ‘kurang tarbiyyah’, pemikiran sekular dan sebagainya.

Oleh kerana salah faham sebegini wujud di kalangan kelompok yang tertentu dan disuburkan pula oleh yang golongan yang lain, maka timbul kekuathiran kononnya ada yang ingin “merobohkan doktrin wala’ dan thiqah”. Tetapi, pada hakikatnya, wala’ dan thiqah tidak menuntut ahli jemaah menjadi bagaikan lembu yang dicucuk hidungnya untuk diheret ke mana sahaja yang diinginkan oleh pemimpin.

Untuk menjelaskan konsep ini, marilah kita renung bersama kepada peristiwa pembahagian harta rampasan perang (‘ghanimah’ – yang hanya relevan pada ketika peperangan) selepas selesai perang Hunain. Dalam peristiwa ini, Rasulullah telah memberi ghanimah pada orang Quraisy yang baru memeluk Islam dan tidak pula kepada yang lain. Tindakan ini menyebabkan kaum Ansar berasa kurang senang sehingga ada yang mengatakan, “Semoga Allah mengampuni RasulNya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita pada hal pedang-pedang kita masih basah dengan darah mereka (kaum Quraisy)”.

Rasulullah (SAW) telah mendengar akan berita tersebut dan Baginda mengumpul kaum Ansar dan seterusnya bersabda, “Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan ku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan ku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita dan Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Bagi setiap soalan yang ditanya Rasulullah, kaum Ansar menjawab, “Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah (SAW) meneruskan, “Hai kaum Ansar, apakah kamu marah kerana tidak menerima ‘sampah dunia’ yang tiada nilainya? Dengan ‘sampah’ itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa”.

Maka jika kita perhalusi akan peristiwa ini, apa yang terjadi adalah kerana sebahagian dari kaum Ansar mempertikaikan keputusan Rasulullah (SAW) berhubung agihan ghanimah perang Hunain. Tahap pertikaian itu begitu hebat sehingga ada yang menganggap Rasulullah tersilap dan memohon maaf kepada Allah bagi pihak Rasulullah! Apabila Rasulullah mendengar berita tersebut, Baginda memanggil mereka dan menjelaskan mengapa dan kenapa ianya dilakukan sebegitu rupa. Penerangan dan penjelasan yang diberi begitu tepat dan kukuh sehingga semua yang mendengar menerimanya dengan baik, malahan ada yang merasa cukup bersalah kerana mempertikaikan keputusan Rasulullah.

Pengajaran yang utama yang boleh diperolehi dari peristiwa ini ialah kaedah kepimpinan Rasulullah (SAW) itu sendiri. Rasulullah tidak menangani persoalan ini dengan hanya menyebut “wala’ dan thiqah” dan kalau kamu pertikaikan keputusan aku maka kamu tak wala’ dan tak thiqah! Baginda juga tidak mengherdik mereka yang bertanya dan melabelkan mereka sebagai kurang tarbiyyah, berpemikiran jahilliyah dan sebagainya. Sebaliknya, Rasulullah memanfaat situasi yang wujud melalui pertikaian tersebut yang mempertegaskan lagi kemuliaan perjuangan Islam serta diperteguhkan lagi niat untuk menuntut keredhaan Allah yang mesti mengatasi segala niat dan tujuan yang lain.

Melalui kaedah kepimpinan sebegini, Rasulullah tidak menghalang perbincangan dan perbahasan berhubung sesuatu keputusan yang diambil oleh Baginda. Sebaliknya, mengiktiraf hak bertanya oleh kaum Ansar dalam soal sesuatu tindakan yang merupakan pendapat dan bukan wahyu dari Allah. Dengan memberikan penerangan dan penjelasan, wala’ dan thiqah terhadap Baginda (SAW) telah pada masa yang sama turut diperkukuhkan.

Dalam keadaan di mana keputusan Rasulullah sendiri disoal dan Baginda tidak pun melihatnya sebagai satu kesalahan, maka amatlah hairan jikalau pada ketika ini ada yang marah apabila keputusan pemimpin yang bukan seorang Rasul dipertikaikan. Sehinggakan mereka menganggap ianya budaya selain dari Islam kerana Islam tertegak dengan ‘doktrin wala’ dan thiqah’, yang mungkin bagi mereka membawa erti kepatuhan yang mebuta tuli.

Kalaulah Rasulullah sendiri pun tidak marah dan turut mengambil masa untuk menjelaskan kepada para sahabat dari kaum Ansar, maka persoalannya sekarang apakah hak pemimpin lain yang tarafnya jauh lebih rendah untuk marah dan memberi jawapan sekadar “wala’ dan thiqah”?

Perang Hunain adalah peperangan selepas peristiwa Fathul Mekah. Ianya diperingkat penghujung Sirah Nabi di mana golongan Ansar terlebih dahulu telah sempat melalui tarbiyyah dan latihan yang jauh lebih kemas dari kita di dalam PAS. Mereka lebih memahami dan mengetahui Islam dari apa yang ada ketika ini. Namun mereka tidak melihat reaksi mereka terhadap tindakan Rasulullah sebagai ‘tidak wala’ dan tidak thiqah’. Mereka hanya mempersoalkan sebab mengapa ianya dilakukan sedemikian rupa. Dan mereka faham dan tahu bahawa Rasulullah (SAW) selama ini pun mengajar mereka bahawa mereka berhak untuk bertanya.

Hakikatnya, kebijaksanaan dan ketepatan tindakan Rasulullah tidak dapat difahami mereka sehingga ianya dijelaskan oleh Rasulullah (SAW). Tetapi, melalui penerangan yang diberi, menjadi jelas kebijaksanaan dan ketepatan tindakan Rasulullah (SAW) dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

Dalam kedudukan mereka yang begitu tinggi kefahaman mereka terhadap Islam sekalipun, golongan ini memerlukan penjelasan apabila berlakunya tindakan yang dilihat agak kontroversi. Apatah lagi kita! Atau adakah dianggap memadai dengan menjawab “wala’ dan thiqah” kerana ahli PAS kini lebih hebat?

PAS sebagai jemaah Islam mestilah mempunyai keterbukaan, mendengar teguran dan kritikan, dari dalam dan dari luar dan memanfaatkannya untuk kebaikan kita. Lebih-lebih lagi kritikan dan teguran yang datangnya dari ahli. Oleh kerana yang menegur adalah ahli, maka PAS harus yakin bahawa teguran yang dibuat adalah bertujuan untuk kebaikan. Tidak wajar jika mahu ditutup saluran dan ruang teguran dan kritikan dengan memutar belitkan kefahaman terhadap wala’ dan thiqah untuk membawa pengertian kepatuhan tidak bertempat. Jika PAS bertindak sebegitu, maka ini akan dengan sendirinya mematikan apa yang Rasulullah sendiri ingin suburkan dan galakkan.

“Pemimpin tidak maksum dan pengikut tidak bodoh”. Kalau kita memahami ini dan mengamalkannya, sudah pasti corak kepimpinan kita akan mendampingi cara Rasulullah (SAW). Rasulullah sendiri bersedia mendengar teguran dan pandangan sahabat walaupun Baginda maksum. Baginda menghargai pandangan sahabat kerana mereka tidak dilihat bodoh oleh baginda malahan dalam banyak hal baginda mencari para sahabat untuk mendengar pandangan mereka.

PAS perlu menyedari bahawa wala’ dan thiqah perlu diperkukuhkan melalui tindakan yang telus dengan memberikan penjelasan berhubung sebab-sebab mengapa sesuatu tindakan itu diambil. Sekiranya tindakan itu mencurigakan, maka ahli berhak bertanya dan sekiranya tidak dijawab, ahli berhak mempertikaikannya. Wala’ dan thiqah tidak merupakan ‘alat pemimpin’ untuk menundukkan dan menafikan hak pengikut untuk bertanya dan mengambil tahu.

Dalam suasana masyarakat yang mengamalkan demokrasi, kemampuan PAS menjelaskan dan membuktikan keadilan dan ketepatan setiap tindakannya kepada ahli dan masyarakat umum amat penting. Ahli dan masyarakat umum menilai setiap tindakan PAS. Ketelusan tindakan serta wujudnya sebab dan alasan yang munasabah bagi setiap tindakan akan mengukuhkan keyakinan ahli dan anggota masyarakat terhadap kemampuan PAS untuk mentadbir Negara.

Oleh yang demikian, tidak cukup dengan hanya menjawab, “wala’ dan thiqah”. Dalam keadaan dan suasana gerakan siir, bawah tanah dan rahsia, jawapan sebegitu mungkin memadai dan hanya itu sahajalah jawapan yang mungkin boleh diberi. Namun pada ketika ini, suasana tidak seperti keadaan seperti Ikhwan pada tahun 60an. Negara kita ini berada dalam suasana yang jauh berbeza.

Lebih cepat di kalangan ahli PAS mampu memahami perbezaan ini dan impaknya kepada kaedah gerakan Islam, maka saya fikir itulah yang lebih baik.

*tulisan asal: YB Khalid Samad

Thursday, April 8, 2010

Melahirkan Sang Murabbi

Thursday, April 8, 2010

Pendahuluan


Tarbiah dan Murabbi dua perkataan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali.


Ø Oleh kerana PAS mengutamakan tarbiah, maka murabbi adalah satu komponen yang terlalu penting dalam PAS.

Ø Pelapis murabitun mesti dibentuk dan disediakan setiap masa bagi memastikan kesinambungan kegemilangan PAS

Ø Oleh itu murabbi yang berkualiti perlu ada dan berfungsi dalam membina pelapis murabitun.

Ø Konsep murabbi telah lama wujud dalam Islam, sejak zaman Rasulullah hingga kini dalam setiap gerakan Islam.

Ø Imam Al-Haddad : “jadilah kamu dengan syaikh murabbi kamu bagai seorang mayat di tangan tukang mandinya, jika diangkat tangan maka terangkatlah tangan, diturunkan maka terturunlah”


1. Sifat Murabbi


Ø Ibn Mubarak : “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu” (Peri penting pemilihan murabbi)

Ø Sifat peribadi seorang murabbi (bertaqwa, wara’, menjaga adab dgn Allah, hati yang bersih, berilmu tinggi, sabar, penyayang, berhemah tinggi, kuat berdakwah, berhikmah dll)

Ø Murabbi perlulah seorang yang berilmu agama yang mantap agar apa yang ditarbiah sesuai dengan dasar perjuangan Islam sebenar. Oleh itu, para ulama dalam PAS sangat bertanggungjawab sebagai para murabbi.

Ø Sifat murabbi dalam jamaah (adab berjamaah, hubungan yang baik dengan pimpinan, tsabat, rajin, cekap berorganisasi, sifat2 jundullah dlm surah al-maidah, lengkap rukun bai’ah 10, dll)

Ø Sifat murabbi dengan generasi pelapis (guru, pendidik, bapa, abang, pemimpin, model contoh, kaunselor)

Ø Kitab-kitab tarbiah seorang murabbi seperti Tarbiyatuna Arruhiyyah (Sa’id Hawa) mesti dihadamkan


2. Pra-syarat Murabitun


Ø Bekerja dengan jamaah bukanlah sesuatu yang mudah. Maka persediaan rapi perlu ada. Murabitun adalah tulang belakang jamaah, maka golongan ini terlalu penting.untuk dipersiapkan.

Ø Bakal murabitun perlu dipersiapkan dengan beberapa sifat iaitu: berilmu, faham tuntutan jamaah, bersih jiwa, cekap berorganisasi, tabah, tsabat, berhemah, berhikmah dll.

Ø Pra syarat untuk menjadi murabitun begitu tentu sekali adalah ditarbiah dengan teliti dan sentiasa bersedia untuk ditarbiah.

Ø Para ulama agung silam yang mewaqafkan diri mereka untuk perjuangan Islam semuanya telah ditarbiah secukupnya oleh para murabbi mereka sebelum muncul sebagai sebutir permata perjuangan.


3. Tarbiah rukun asasi


Ø Tarbiah adalah modal utama jamaah Islam. Tanpa tarbiah rosak perjuangan

Ø Tarbiah yang lengkap memerlukan bukan sahaja modul dan silibus, tapi aspek utamanya adalah pentarbiah itu sendiri (murabbi).

Ø Allah memerintahkan agar kita bertanya kepada Ahluzzikr, dan bukan hanya setakat mengkaji, membaca dan berfikir.

Ø Maka jamaah Islam perlu melakarkan pelan membentuk murabbi, menyebarkan mereka, dan menyediakan prasarana diperlukan selengkapnya untuk tugasan tarbiah di mana jua.

Ø Antara yang perlu disediakan untuk murabbi adalah:

Ø Lokasi

Ø Kewangan

Ø Soft skill

Ø Kerjaya

Ø Bahan bantu


4. Murabbi pelakar pelan generasi akan datang


Ø Tanggungjawab murabbi membentuk generasi murabitun akan datang

Ø Sebagai arkitek, murabbi perlu melakar bagaimana membangunkan generasi murabitun yang kukuh, faham dan memainkan peranan dengan baik.

Ø Tanpa murabbi, murabitun yang lahir akan cacat tarbiah, sekaligus mencacatkan pemerkasaan jamaah.

Ø Hasilan tarbiah seorang murabbi yang mantap akan melahirkan murabitun yang kukuh

Ø Kajian mendapati kecelaruan fikrah di kalangan sebahagian anggota PAS adalah kerana kekurangan murabbi yang jitu di sesetengah tempat

Ø Murrabi perlu sentiasa meyematkan di dada kalam Imam Hasan Al-Banna “realiti hari ini adalah impian semalam, dan impian hari ini adalah realiti esok hari”


5. Murabbi penyelia binaan akan datang


Ø Selain melakar pelan, murabbi juga perlu sentiasa menyelia pembinaan generasi murabitun agar tiada yang futur atau lari dari trek perjuangan.

Ø Murabbi tidak boleh berlepas tangan dari hasilan air tangan tarbiahnya.

Ø Murabitun perlu sentiasa berhubungan dengan murabbi agar terus memahami perjuangan dan tsabat di atasnya.

Ø Penyusunan murabitun yang telah siap ditarbiah di setiap tempat akan memudahkan gerak kerja jamaah.

Ø Syaikh Sa’id Hawa : 3 sifat faktor kegagalan murabitun : Malas, takut, kedekut. Murabbi perlu memastikan sentiasa 3 sifat ini tiada pada murabitun sentiasa.


6. Penutup - Murabbi cemerlang, murabitun cemerlang


Ø Keberkesanan tarbiah PAS bergantung pada kecemerlangan murabbinya. Maka penekanan pada para murabbi sangat perlu.

Ø Murabbi yang cemerlang akan merangka pula pelan, bertindak, dan kemudian menyelia generasi-generasi murabitun.

Ø Generasi murabitun akan datang juga cemerlang apabila ditarbiah dengan lengkap oleh murabbi yang cemerlang.


Katakanlah inilah jalanku, aku berdakwah kepada Allah atas basirah, jalanku dan jalan sesiapa yang mengikutiku…


*tulisan asal : Nasrudin Hassan at Tantawi (Ketua DPPP)


p/s : kepada bos-bos baru moga dipermudahkan segala urusan=>

Saturday, April 3, 2010

Adakah Kita Menghampiri Kiamat?

Saturday, April 3, 2010

Dalam Al-Quran Allah telah berfirman bahawasanya KIAMAT terjadi hari JUMAAT!!!! Banyak-banyak kita beristighfar dan berdoa pada Allah semoga dosa-dosa kita diampuni..


22 Tanda Kiamat Semakin Hampir


1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan ).


2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.


3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.


4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.


5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.


6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.


7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.


8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.


9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.


10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.


11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).


12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.


13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.


14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.


15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,


16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.


17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.


18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.


19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.


20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.


21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).


22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.


Dunia Di Penghujung Nyawa


1) Penaklukan Baitulmuqaddis.


Dari Auf b. Malik r.a. katanya,Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat.'Baginda menyebutkan salah 1 diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis"

-Sahih Bukhari-


2) Zina bermaharajalela.


"Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang"

-Sahih Muslim-










3) Bermaharajalela alat muzik.


“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka'. Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi² wanita”

-Ibnu Majah-


4) Menghias masjid & membanggakannya.


“Di antara tanda2 telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid”

-Riwayat Nasai-


5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat & hubungan dengan tetangga tidak baik.


'Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam
tetangga.'

-Riwayat Ahmad dan Hakim-


6) Ramai orang soleh meninggal dunia.


'Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik& ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran'

-Riwayat Ahmad-


7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat.


'Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang ***** & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia'

-Riwayat Thabrani-


8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.


'Sesungguhnya di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'

-Riwayat Ahmad-


9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. 'Di antara anda² telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian² wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang'.


10) Bulan sabit kelihatan besar.


'Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.'

-Riwayat Thabrani-


11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita.


'Pada akhir zaman akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2 yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa2 kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu'

-Sahih Muslim-


12) Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar.


'Sesungguhnya sebelum datang nya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar.'

-Riwayat Ahmad-


13) Negara Arab menjadi padang rumput & sungai.


'Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput & sungai-sungai'

-Sahih Muslim-


"Jangan setakat membaca tapi cubalah menghayati, jangan setakat tahu tapi cubalah mengamalkan apa yang dah tahu, jangan setakat fikirkan kebaikan untuk diri sendiri tapi fikirkanlah jugak kebaikan untuk orang lain terutama orang-orang terdekat yang disayangi."


Wallahu'alam=>

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates