Saturday, February 6, 2010

Sikap Profesional

Saturday, February 6, 2010

Maha suci Allah yang telah menjadikan manusia sebaik-baik ciptaan, menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan dan pemimpin kepada kebenaran dan memberi manusia hidup tanpa perlu dibayar satu sen sekali pun. Tahniah saya ucapkan kepada organisasi baru AMSA sesi 2010/2011 atas pelantikan dan terima kasih diucapkan kepada organisasi AMSA sesi 2009/2010 di atas segala kerjasama yang pernah diberikan. Kepada yang baru, selamat menjalankan tugasan dan amanah dengan bersungguh-sungguh dan kepada yang lama, tugas kalian belum selesai. Kalian perlulah mendidik dan membantu organisasi yang lama untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Insyaallah.

Bercakap berkenaan sikap "profesional", kita akan mendengar banyak jawapan. Kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang pandangan saya terhadap sikap "profesional". Jika ditanya saya apa itu sikap profesional, secara jujur saya katakan yang saya juga tidak mengerti maksud sikap profesional yang sebenar. Apa yang akan saya kongsikan ini tidak lebih daripada pandangan peribadi. Ia boleh diambil kira ataupun tidak. Bagi saya sikap profesional adalah berkait rapat dengan "akhlak" yang terbentuk dalam diri manusia itu sendiri. Secara ringkasnya profesional=akhlak.

Di dalam Islam itu sendiri, begitu dititik beratkan akan prihal berakhlak dengan akhlak mulia ini. Jika dilihat pada diri Rasulullah itu sendiri, baginda sentiasa berakhlak dengan akhlak mulia walaupun dengan orang yang sentiasa menindas dan menentang baginda. Tidak pernah ada rasa dendam dalam diri baginda. Kita mengambil satu contoh paling menarik yang baginda pernah tunjukkan. Kisah baginda dengan seorang perempuan tua yang selalu mengganggu perjalanan baginda ke masjid. Setiap kali baginda hendak ke masjid, ada seorang perempuan tua yang selalu menghalang dan mengganggu baginda. Kadang-kadang diletakkan duri di tengah jalan, disimbah dengan air busuk, dibaling dengan sampah dan batu dan bermacam-macam lagi halangan yang dilakukan oleh perempuan itu. Tetapi apa yang menariknya, baginda tidak pernah membalas mahupun menyimpan dendam dalam diri. Sehinggakan suatu hari baginda melalui jalan yang sama untuk ke masjid, tetapi pada hari itu tidak ada sebarang gangguan yang diberikan oleh perempuan itu malah kelibat perempuan itupun tidak kelihatan. Setelah beberapa hari perkara itu berlaku, baginda telah bertanya kepada orang di kawasan tersebut ke mana perginya perempuan tersebut. Setelah baginda mendapat tahu bahawa perempuan itu sedang sakit, baginda telah pergi berjumpa dan melawat perempuan tersebut. Wanita itu sangat sedih dan terharu dengan sikap Rasulullah yang tidak pernah membalas segala kejahatan yang pernah dia lakukan malah Rasulullah membalas kejahatan dengan kebaikan. Akhirnya wanita itu memeluk Islam. Masyaallah hebatnya baginda menganjurkan didikan Islam. Baginda sentiasa sabar, tenang dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan malah membalas kejahatan dengan kebaikan. Inilah sikap profesional baginda dalam berdakwah. Andai Rasulullah membalas kejahatan tersebut dengan kejahatan, sudah pasti perempuan tersebut tidak memeluk Islam.

Jadi dari kisah tersebut dapat disimpulkan bahawa sikap dan tahap profesional kita juga merupakan method dakwah yang paling berkesan. Duduk di dalam lingkungan pekerjaan yang memerlukan profesional yang tinggi seperti bidang kedoktoran ini merupakan medan dakwah yang paling mudah, luas dan senang. Kita tidak perlu pergi berdakwah ke luar tetapi dengan hanya duduk di hospital sahaja, telah membantu penyebaran dakwah Islamiah ini. Insyaallah. Dalam mentadbir, sikap profesional ini amat dituntut dikalangan para pemimpin. Pemimpin yang berakhlak dengan akhlak mulia seperti jujur, amanah, tawadu', baik hati, adil, sabar dan mengamalkan sifat mahmudah adalah sebaik-baik pemimpin dan ia boleh digolongkan sebagai pemimpin yang profesional. Malah jika pemimpin itu menipu, menindas, sombong dan mengamalkan sifat mazmumah, ia adalah golongan yang tidak profesional walaupun mereka bekerja dalam bidang yang profesional.

Oleh itu diingatkan kepada semua pemimpin bahawa akhlak diri adalah perkara pokok dan penting yang perlu diterapkan. Ia melambangkan kepimpinan kita. Sentiasalah berlapang dada dalam segala bentuk hal. Insyaallah di sana tersimpan seribu satu hikmah. Nasihat sebagai seorang sahabat kepada sahabatnya yang duduk di dalam kerusi MPP mahupun JAKSA, yuran kolej yang percuma itu pada hakikatnya telah dibayar oleh rakan-rakan kita yang lain. Jadi berkhidmatlah dengan sebaiknya. Andai ada sebarang aduan, terimalah dan jangan sesekali menafikan atau menyalahkan orang yang melakukan aduan. Tugas sang pemimpin adalah untuk melindungi rakyatnya. Hatta untuk keluar bilik walau seketika sekalipun, tutuplah kipas, lampu atau laptop kita kerana yuran yang diberi percuma itu adalah aliran wang dari orang lain. Kita disifatkan zalim jika tidak melakukan ia dengan sebaiknya. Ingatan juga kepada PESIAP dan AMSA. Cuma nasihat sang sahabat sahaja. Wallahu'alam=>

"sikap profesional berkadar terus dengan akhlak kita"

Pemimpin Yang Adil

Pemimpin yang adil sangat dikehendaki
Memakmurkan umat dunia dan akhirat
Tiada keadilan negara huru-hara
Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil sifatnya amanah
Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya
Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa
Kepentingan rakyat lebih utama

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya
Kasih sayang terserlah di wajahnya
Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya
Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil mengutamakan amanah
Wang rakyat dan negara tidak disalah guna
Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya
Rakyat diseru mentaati Allah

Terdapat pemimpin di dunia kini
Seringkali mencetus huru-hara
Demi melindungi kepentingan dirinya
Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil mengutamakan rakyatnya
Melepaskan mereka dari sengsara
Akhlak yang mulia pakaian dirinya
Rakyat taat dan sayang padanya

Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang begini

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates