Friday, February 26, 2010

Kemuncup Dalam Perjuangan

Friday, February 26, 2010

Alhamdulillah. Selawat dan salam buat junjungan baginda Rasulullah saw yang merupakan pemimpin dunia yang teragung sepanjang zaman. Konsep mengingati Rasulullah bukanlah perkara "bermasa" atau "bermusim" seperti selalu yang kita perhatikan akhir-akhir ini. Ada yang bergaduh sehinggakan sanggup berbunuhan disebabkan tidak diadakan sebarang perarakan atau sambutan maulidur Rasul ini. Andai baginda masih hidup tentunya baginda akan berasa sangat sedih. Baginda diutuskan untuk memimpin dan menyatukan ummat bukannya memecah belahkan ummat. Sama-sama kita renungkan.

Dalam perjuangan islam ini terlalu banyak kemuncup-kemuncup yang yang sentiasa tumbuh dengan mekarnya. Memetik konsep sebuah harakiah islam di Malaysia ini berkaitan pembawaan mereka. Sama-sama kita teliti dan fahami. Tertubuhnya kumpulan atau jemaah ini mempunyai beberapa misi penting dan produktif. Di sini saya cuba menekankan 3 perkara pokok yang dianjurkan.

1-Rijalud-Din : ia bermaksud pemuda agama (dari sudut bahasa). Tetapi dari sudut istilahnya ia lebih menunjukkan kepada penggerak-penggerak dakwah di medan-medan yang mereka duduki. Kepentingan dakwah ini jika dihurai satu demi satu sudah tentu panjang ceritanya. Jadi secara ringkasnya kepentingan dakwah pada yang memahami adalah WAJIB. Semua ini bermula dari satu titik didikan yang disebut tarbiah. Tarbiah merujuk lebih tepatnya kepada didikan diri dari pelbagai sudut. Ruang lingkup tarbiah ini sangat luas pada yang memahaminya. Ia bukan berkisar pada usrah semata-mata. Tetapi usrahlah medan yang paling berkesan dalam pembentukan tarbiah diri sejak zaman baginda lagi. Tetapi bagi yang lebih bijak, setiap masa dan perkara yang berlaku adalah tarbiah. Jika ingin dibina sebuah negara Islam, wujudkan dalam diri sendiri sebuah kerajaan Islam terlebih dahulu. Insyaallah jika ini dapat diwujudkan, negara Islam yang diinginkan pasti terbentuk. Inilah tugas-tugas utama semua yang bergelar muslim.

2-Pengkaderan : ia merupakan antara teras utama dalam sesebuah gerakan. Pengkaderan penyambung rantai-rantai pejuangan ini amatlah perlu dititik beratkan. Ia bukanlah perkara remeh yang boleh dipandang enteng oleh mana-mana gerakan. Sejak tertubuhnya Ikhwan Muslimin, kader-kader dakwah telah banyak dihasilkan sehinggakan selepas zaman kejatuhan pimpinan khalifah, tanpa gerakan dakwah yang diterajui oleh kader-kader dakwah ini, agak musahil kita di Malaysia akan menerima Islam. Kader dakwah yang berkualiti adalah bermula dari tarbiah yang menyeluruh dan berkualiti. Imam Hassan Al-Banna menyebutkan "berikan aku 120000 pemuda yang imannya 1. Akan aku bentuk sebuah negara Islam". Cuba kita lihat, tidak samakah 120000 yang imannya 1 jika dibandingkan dengan 240000 yang imannya 1/2?? Jawapannya tentu sekali tidak. Sejak dahulu Islam menang dan berkuasa bukan disebabkan kuantiti tetapi sebaliknya adalah kualiti.

3-Siasah Islamiah : banyak pihak yang melihat perkara ini sebagai jijik dan kotor. Malah ada yang memisahkan ia dengan agama. Adakah kita mengerti apa yang dimaksudkan dengan siasah (politik)?? Siasah secara istilahnya adalah urus dan tadbir. Setiap masa kita bermain dengan siasah. Adakah kita sedar. Pada pihak yang menafikan, cuba renung kembali akan perkara ini. Cuma di sini method pada politik pilihan raya adalah salah satu "perang" dalam mentadbir dan memimpin negara. Rasulullah bersabda "perang itu tipu daya". Tidak berkelayakan untuk saya menghuraikan makna hadis itu secara mendalam. Tetapi itulah hakikat realitinya. Dan inilah suatu realiti dakwah yang boleh disifatkan berkesan dan sesuai digunakan di Malaysia. Cuba kita renung sejenak, jika umat Islam yang tidak berkefahaman atau orang yang bukan Islam yang memerintah, bolehkah kita menggerakkan dakwah dan menganjurkan program dakwah di bawahnya. Mungkin ada yang mengatakan ya, ia masih boleh. Tetapi berapa besar kesannya jika kita tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan misi ini?? Sama-sama kita renungkan. Di Malaysia terlalu banyak pertubuhan jemaah Islam yang wujud. Tetapi mengapakah Islam masih berpecah?? Tidak lain dan tidak bukan disebabkan tidak ada "wahdatul fikr" antara mereka. Jadi marilah sama-sama kita mencari persamaan dalam mambawa Islam walaupun cara kita berbeza. Jangan disebabkan cara yang berbeza, kita menikam jemaah lain dari belakang.

Di dalam Islam itu sendiri ada cara pentadbiran dan pemerintahannya. Ketika pemerintahan Umar bin Abd Aziz, beliau pernah menarik semua kuasa gabenor wilayah islam yang memerintah. Tujuannya hanyalah satu, untuk melihat keikhlasan pemimpinnya dalam memperjuangkan Isla. Ketika ditarik semua kuasa yang ada, ada diantara mereka yang marah, ada diantara mereka yang semakin kuat jihad dalam medan dakwahnya dan ada juga yang hanya berdiam diri. Setelah itu khalifah Umar Abd Aziz pun menyerahkan kembali kuasa gabenor kepada mereka. Tetapi ketika itu ada yang menerima dan ada yang menolak. Yang menolak ini dikatakan merasa jihad mereka pada mendan dakwah lebih besar selepas keadaan itu. Tetapi atas kemaslahatan umat, mereka menerima ia. Sifat apa yang ada pada gabenor-gabenor Islam ini?? Tidak lain dan bukan adalah wala' pada pimpinan. Setiap pimpinan ada keberkatannya.

Kita mengambil satu contoh kisah sebuah gerakan Islam di Malaysia. Sebelum ini gerakan ini adalah sebuah gerakan yang sangat kecil. Ia diperjuangkan oleh para ulama'. Tetapi sejak akhir-akhir ini gerakan ini semakin diterima oleh semua golongan masyarakat sehinggakan ada ditubuhkan sebuah kelab untuk masyarakat bukan Islam. Tetapi apa yang hendak diceritakan di sini adalah, bila mana gerakan ini semakin besar kuasanya, wujud pula kemuncup-kemuncup dalam perjuangan gerakan ini. Ada ahli yang menentang dan bermacam-macam lagi. Ketua gerakan ini pernah bermimpi di suatu malam dimana beliau mengimami sebuah solat tetapi semua makmuk solat membelakangi kiblat. Mungkin inilah tanda-tanda yang allah beri pada keberkatan pimpinan ini untuk terus sabar dalam berjuang jika ia benar berlandaskan alQuran dan asSunnah. Terlalu banyak kemuncup-kemuncup dalam perjuangan yang perlu dihadapi.

Dalam gerakan Islam terdapatnya "Aku Janji (baiah)" dan wala' (patuh) pada kepimpinan kita. Tetapi konsep ini semakin lama semakin diketepikan. Pimpinan yang kita amanahkan untuk memimpin kita seperlunya dipatuhi kerana disana terdapat seribu satu keberkatan. Tidak kiralah tindakan ia betul atau salah, tetapi setiap apa yang mereka lakukan pasti ada berkat di sisinya. Ada ahli gerakan yang suka bercakap dibelakang jika mereka tidak berpuas hati, ada pula yang suka mendedahkan kerahsiaan gerakan jika mereka tidak berpuas hati, ada pula yang menceritakan apa yang mereka tidak senangi kepada orang lain tanpa pernah berbincang dengan pimpinan yang sepatunya. Umpama sebuah keluarga yang anaknya mempunyai masalah. Tetapi sang anak tidak menceritakan masalah itu kepada ibu bapa dia sebaliknya menceritakan masalah itu kepada jiran sebelah atau di dalam blog mahupun facebook. Apa perasaan sang ibu bapa dengan tindakan sang anak ini?? Sama-sama kita tepuk dada dan tanya iman. Percayalah pada setiap kepimpinan atau pimpinan itu tersimpan 1001 keberkatan. Tegurlah mereka andai mereka salah, bantulah mereka untuk melaksanakan tugas, patuhlah arahan mereka selagi mana ia tidak melanggar alQuran dan asSunnah. Konsep baiah dan wala' ini perlulah diteliti dan difahami dengan sedalamnya. Wallahu'alam=>

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates