Saturday, February 20, 2010

Di Manakah Akhlak Kita Wahai Umat Islam?

Saturday, February 20, 2010

Alhamdullillah, walaupun agak keletihan dalam menelaah pelajaran, saya dapat juga membuat sedikit perkongsiaan untuk diri sendiri terutamanya dan semua sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah.

Menyingkap serba sedikit tentang sirah zaman jahiliah untuk menjadi renungan bersama. Mari kita lihat di mana letaknya akhlak kita jika hendak dibandingkan dengan mereka. Saya tidak menolak bahawa masyarakat jahiliah mempunyai tabiat yang buruk dan perkara yang tidak boleh diterima oleh akal. Walaupun begitu, mereka mempunyai akhlak yang menakjubkan sehingga melahirkan rasa hormat terhadap masyarakat jahiliah ketika itu.

1-Pemurah. Masyarakat jahiliah sering berlumba-lumba untuk menunjukkan sifat pemurah mereka dan merasa megah dengan sifat tersebut. Banyak puji-pujian terhadap sifat ini di dalam syair-syair karangan mereka yang mana menunjukkan bahawa mereka sangat pemurah. Dikisahkan bahawa suatu masa di musin sejuk, ada seorang lelaki di datangi oleh seorang tetamu dalam keadaan yang sangat sejuk dan kelaparan. Ketika itu lelaki itu tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor unta yang merupakan sumber kehidupannya dan keluarganya. Tetapi didorong dengan sifat pemurah, dia sanggup menyembelih untanya untuk tetamunya.

2-Menunaikan janji. Bagi orang arab, perjanjian adalah seperti agama yang perlu dipegang kemas. Demi menunaikan janji, mereka sanggup meremehkan pembunuhan anak pinak dan pemusnahan kampung mereka.

3-Berbangga dengan diri dan tidak sanggup dihina dan dizalimi. Hasil sikap ini menimbulkan keberanian dan kecemburuan yang berlebihan serta terlalu agresif. Mereka pantang mendengar pertuturan yang berbau penghinaan melainkan mereka segera menghunuskan pedang dan tampil untuk berperang. Demi menjaga kemuliaan diri, mereka sanggup mengorbankan jiwa.

4-Tekad serta keazaman yang kuat. Apabila mereka berazam untuk melakukan sesuatu yang baik dan dapat dibanggakan mengikut pandangan mereka, maka tiada yang boleh menghalang keazamannya itu, malah mereka sanggup mengambil risiko demi melaksanakan azam mereka.

Disebabkan nilai akhlak yang berkualiti ini, kita dapat melihat bahawa itulah sebabnya mereka dipilih untuk memikul amanah dakwah dan memimpin umat dan masyarakat keseluruhannya. Walaupun keadaan mereka ketika itu sangat jahil, tetapi dengan datangnya Islam untuk memperbetulkan sikap-sikap jahat mereka ini, akhlak-akhlak tersebut dapat digunakan untuk kemanfaatan dakwah. Terdapat juga akhlak-akhlak lain yang tidak dihuraikan seperti sabar.

Jadi apa yang cuba saya bawakan adalah, di mana akhlak umat Islam terutamanya di Malaysia ini. Jika dilihat semakin ramai daripada kita yang mempunyai sifat kedekut malah ada pula yang cuba merampas atau mengambil harta orang lain sebagai harta dan keselesaan hidup mereka. Sedangkan arab jahiliah mempunyai sifat pemurah, maka boleh disifatkan umat Islam zaman ini lebih teruk dari arab jahiliah. Selain itu, masyarakat Islam sekarang ini hanyalah pandai menabur janji tetapi tidak menunaikannya. Ketika menghampiri malah memasuki pasca pilihan raya, terlalu banyak janji yang ditaburkan tetapi setelah memperolehi kemenangan, janji hanya tinggal janji. Adakah pemimpin kita sekarang lebih teruk dari pemimpin masyarakat jahiliah? Kutuk-mengutuk dan fitnah-menfitnah semakin berleluasa di negara kita. Ada sesetengah pihak sanggup menggadaikan saudara seIslam mereka hanya semata-mata rasa tergugat dengan kehadiran saudara mereka itu. Sedangkan arab jahiliah mempertahankan masyarakat mereka masing-masing sehingga sanggup mengorbankan jiwa. Apakah ini kifarah cinta duniawi?

Marilah bersama-sama ita fikirkan di mana kedudukan umat Islam ketika ini. Adakah lebih rendah dari arab jahiliah. Islam datang untuk membawa cahaya penyatuan setiap umat. Bangsa Cina, India, Melayu dan lain-lain berhak memasuki dan memahami Islam. Tetapi dengan akhlak umat Islam kini menyebabkan mereka menjauhi Islam. Marilah sama-sama kita renung dan fikirkan. Wallahu'alam=>

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates