Monday, January 11, 2010

Kata Dakwah Tanpa Roh

Monday, January 11, 2010

Alhamdulillah, dapat juga saya meluangkan masa sedikit untuk membuat perkongsian setelah hari-hari getir yang dilalui. Saya mendoakan semua usaha yang telah dilakukan oleh PERSIAP sesi 09/10 mendapat redha serta keampunan Allah. Doakan kebaikan yang mampu kami bawa pada sesi baru ini. Insyaallah. Terus terang saya katakan yang saya sangat takut, risau dan sedih untuk membawa persatuan kali ini. Perasaan tersebut lahir kerana saya bimbang di bawah pentadbiran saya ini mungkin akan berlaku banyak "kerosakan". Moga itu tidak terjadi. Moga sentiasa di bawah lembayung rahmatNya. Ameen.

Agak sedih melihat sikap-sikap ahli gerakan masa kini. Hebat berkata pada hakikat dakwah tetapi semuanya kata tinggal kata. Banyak slogan yang dilaungkan, kata-kata motivasi yang dihamburkan tetapi pada hakikatnya kata tinggal pada kata-kata sahaja. Saya sendiri tidak mengerti apa sebenarnya yang mereka fikirkan. Ingin melihat Islam tertegak tetapi di mana tindakannya? Pelik tetapi inilah realiti. Apakah ahli gerakan hanya berani mengajak kepada mereka yang sudah baik sahaja tetapi terus membiarkan mereka yang kurang bernasib baik? Tepuk dada dan tanya iman. Jika dilihat, usrah hanya berkisar di sekitar kawan-kawan yang kerap duduk di surau yang boleh disifatkan sudah terdidik dengan agama, tetapi membiarkan orang lain terbiar diluar sana. Setiap peluang untuk mendekati mereka dilepaskan dengan sia-sia.

Pernah saya ceritakan berkenaan satu hal kepada beberapa teman dan adik-adik. Ia berkisar kepada "hak" yang wujud. Setelah beberapa buku dan artikel telah dibaca, saya menyimpulkan bahawa "hak" ini terbahagi kepada 2 iaitu hak kepada diri sendiri dan juga hak kepada orang lain:-

1-Hak kepada diri sendiri

Di sinilah terletaknya hak yang berkisar kepada diri kita sendiri yang penghujungnya adalah mendapat "HASIL". Tersimpan banyak perkara yang berkaitan dengan hak kepada diri sendiri ini antaranya ialah hak kepada Allah dan Rasul (untuk mendapatkan redha dan keampunan daripada Allah serta mendapat syafaat daripada Rasulullah), hak kepada ibu bapa (untuk mendapat redha ibu bapa dalam setiap perkara yang kita lakukan dan juga hak mereka untuk kita jaga suatu masa nanti), hak untuk belajar dan lain-lain perkara lagi yang difikirkan berkaitan untuk diri sendiri. Inilah hak yang perlu kita tunai untuk memetik hasilnya.

2-Hak kepada orang lain

Banyak cabang perkara yang duduk di bawah hak ini. Antaranya adalah dakwah itu sendiri. Dan semuanya ini berkaitan dengan pembentukan "hasil yang dicapai dari hak diri sendiri" yang "diusahakan untuk perkongsian dengan orang lain". Kata kuncinya adalah USAHA dari HASIL. Semua usaha ini akan tercapai melalui "komunikasi". Jika diteliti pada tingkatan ukhwah itu sendiri, tingkatan yang paling tinggi adalah apabila kita sanggup berkorban untuk orang lain. Inilah hak yang perlu kita tunai dan usahakan.

Kadang-kadang sedih melihat penggiat-penggiat dakwah kini. Hanya berkata ingin berdakwah tetapi hanya duduk di dalam bilik masing-masing, tidak terlibat dengan program-program, tidak bijak berkomunikasi dan banyak lagi. Adakah dakwah akan berjaya dengan hanya duduk di dalam bilik sahaja. Allah lebih mengetahui apa yang sepatutnya. Terlalu banyak peluang yang terhidang dilepaskan. Jika dilihat zaman ini, peluang yang paling besar untuk mendekatkan diri dengan mad'u adalah dengan menghadiri program-program yang dianjurkan. Tidak kira apa jenis program sekalipun selagi program tersebut idak bertentangan dengan syara' kita mungkin boleh disifatkan WAJIB untuk hadir bagi merialisasikan gerak kerja dakwah ini. Mengapa begitu? Kerana dengan menghadirkan diri dalam program-program tersebutlah dapat membuatkan kita berinteraksi dengan ramai orang. Bila mana masyarakat sudah mengenali kita dan selesa dengan kita, insyaallah akan mudahlah proses untuk berdakwah itu dilaksanakan.

Berbalik kepada sirah bagaimana Rasulullah sentiasa duduk bersama-sama masyarakat walaupun baginda disakiti. Tetapi atas perihal akhlak yang baik, komunikasi yang berkesan akhirnya ramai yang tertarik dengan Islam. Tidak pernah rasanya saya mendengar cerita bahawa baginda hanya duduk di dalam rumah dan mangharap akan ada orang yang datang dengan sendiri untuk memeluk Islam. Betulkan jika saya silap. Proses dakwah yang berkesan adalah melalui komunikasi yang berkesan. Dakwah ini bukan saja untuk orang baik yang selalu hadir usrah, tetapi ia adalah "hak" untuk semua orang. Ingatlah wahai penggerak-penggerak Islam semua, jangan sampai diakhirat kelak kita diminta dipertanggungjawabkan atas tindakan kita yang tidak mengajak orang lain dekat dengan Islam.

Jangan lepaskan peluang dengan hanya duduk di dalam bilik, keluarlah untuk melibatkan diri dengan program-program yang dianjurkan. Di sanalah kita memperlihatkan akhlak Islam dan komunikasi cara Islam. Moga segala usaha mendapat keberkatannya. Wallahu'alam=>

"Dakwah itu kebijaksanaan dalam menggunakan peluang dan berkomunikasi dengan mad'u"

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates