Sunday, January 31, 2010

Cita-cita

Sunday, January 31, 2010

Alhamdulillah, Allah maha besar yang menjaga hati dan mengetahui hati manusia itu. DIA yang menciptakan manusia dan DIA juga yang akan memperhitungkan segala tindakan manusia. Allah melihat segala apa yang ada dilangit dan dibumi. Hatta sekecil-kecil semut yang bewarna hitam, di atas batu yang berwarna hitam, di malam yang sangat gelap, Allah pasti melihat akan sang semut itu melata. Alhamdulillah baru 3 minggu ditaklifkan suatu jawatan yang tidak pernah diimpi sama sekali sejak dari tahun satu. Sepanjang tempoh itu, terlalu banyak halangan, cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi. Tetapi Allah maha mengetahui apa yang setiap hambanya mampu dan inginkan. Jika direnung kembali, hati tidak pernah meminta untuk dikurangkan ujian sebaliknya hati ini diminta untuk ditambahkan iman dan kesabaran supaya dapat menghadapi semua ini. Sejak tarikh keramat 10 Januari 2010 berlalu, terlalu banyak air mata yang jatuh mengalir kerana takut dan risau akan jawatan yang mungkin membawa diri ini kepada murka dan neraka Allah. Tapi yang pasti masih belum mampu menandingi Umar Abd Aziz yang menagis setiap malam, khalifah Umar yang berjalan di malam hari, dan Rasulullah yang membawa rahmat keseluruh alam.

"sesungguhnya aku memiliki jiwa perindu, jiwa merindui kepimpinan maka aku mendapatkannya, merindukan khalifah maka aku meraihnya, dan sekarang jiwa itu merindui syurga"
Umar Abd Aziz

Di dalam blog ini saya menitipkan kata-kata saya supaya sentiasa dapat memperingati hala tuju saya yang sebenar dan keinginan mendidik jiwa perwakilan PERSIAP sesi 2010 seterusnya jiwa ahli-ahli PERSIAP. Dalam misi membawa PERSIAP ini, ada satu misi besar yang lebih besar daripada sebarang program MEGA iaitu dakwah islamiah. Pernah ada sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan saya yang jarang sekali memarahi orang lain jika orang tersebut melakukan kesilapan. Wahai ikhwan dan akhwat, tindakan yang saya ambil tersebut sudah cukup rasionalnya. Saya memandang semua kawan-kawan perubatan dan kejururawatan sebagai mad'u saya. Kenapa perlu bertegang urat jika kawan tersebut tidak berjaya menjemput menteri untuk merasmikan program? Bagi saya menjaga hati kawan tersebut lebih baik daripada membuatkan dia marah supaya dakwah dapat dijalankan dengan baik. Selagi mana program tersebut dapat berjalan dengan baik, mencapai objektif dan dapat memberi impak kepada orang lain walau sedikit, alhamdulillah saya sudah sangat bersyukur. Berbanding dengan melakukan program yang besar, organisasi menjadi penat, banyak masalah hati, tidak pergi solat berjemaah kerana letih menguruskan program dan inginkan kemasyhuran, bukankah itu tidak dituntut. Kita hidup untuk mencari redha Allah dan keampunannya. Biar kecil asal ikhlas. Allah pasti sayang. Percayalah. Maaf jika ada pihak yang terasa. Tetapi seacra jujur tidak ada niat walau sekecil habuk untuk melukankan hati mana-mana pihak. Ini cuma reflaksi diri saya.

Pada kali ini juga, saya telah menetapkan dan berpesan tentang beberapa perkara dalam mendidik rohani perwakilan.1-Mereka perlu solat berjemaah di surau atau masjid terutama waktu Maghrib dan Isya'. 2-Sekurang-kurangnya perlu melakukan tahajud 2 kali dalam seminggu. 3-Perlu berakhlak dengan akhlak yang mulia. Bagi perwakilan yang bukan Islam, saya telah berpesan kepada mereka supaya menjaga tingkah laku mereka. Jadi dengan mandat yang ada, saya serahkan kepada semua ahli PERSIAP untuk menegur dan mengingatkan kami jika kami lalai melakukan perkara-perkara di atas. Niat hati hanya 1, supaya pentadbiran sesi ini ada keberkatannya. Saya telah mengamanahkan kepada semua untuk memperbetulkan tindakan kami. Jadi secara zahirnya ia telah menjadi amanah untuk semua.

Saya juga berpesan kepada semua ahli PERSIAP atas beberapa perkara. Saya memetik sebuah cerita di zaman sufi. Ada seorang pemuda berjumpa dengan Ibn Adham untuk bertanyakan tentang samada dia boleh membuat dosa atau tidak. Jawap Ibn Adham boleh jika kamu melepasi 5 syarat ini. 1- Jika kamu ingin membuat dosa, jangan kamu makan dari rezeki Allah. 2- Jika kamu ingin membuat dosa, jangan kamu berpijak dibumi Allah. Carilah tempat bukan dari ciptaan Allah. 3- Jika kamu ingin membuat dosa, cari tempat di mana Allah tidak nampak. 4-Jika mana malaikat maut datang, minta pada dia supaya dipanjangkan umur supaya sempat bertaubat. 5-Jika kamu diheret ke neraka, bagi tahu kat malaikat tersebut yang kamu tidak mahu ikut. Dari kisah ini saya ingin mengingatkan diri saya, perwakilan saya dan semua ahli PERSIAP supaya menjauhi dosa. Saya juga mengizinkan untuk semua melakukan dosa jika semua syarat tersebut mampu dituruti. Moga dengan ingatan ini saya akan terlepas dari dipertanggungjawabkan kelak. Insyaallah saya akan sentiasa mengingatkan perkara ini untuk semua.

Apa yang diharapkan hanyalah doa dari semua ahli supaya kita semua dipelihara dari kemurkaan dan azab Allah. Saya ada keinginan untuk menjadikan fakulti kita sebagai fakulti contoh dari pelbagai aspek. Dari aspek akademiknya, dari aspek kebajikannya dan juga dari aspek akhlak ahlinya. Saya mengingatkan perkara ini kepada diri sendiri dan juga perwakilan bahawa amanah yang kita bawa ini amat berat. Ia bukan untuk mencari kemasyhuran dunia sebaliknya mencari kemasyhuran akhirat, Insyaallah. Bantulah kami. Tegurlah kami jika kami silap. Andai ada perwakilan yang tidak boleh menerima teguran, beritahu terus kepada saya. Sentiasalah berpegang kepada kitab suci ajaran agama masing-masing yang inginkan kebaikan. Jangan berpecah untuk maju dan berjaya. Wallahu 'alam=>

Dari Anas B Malik Rasulullah bersabda
"Umat ini akan sentiasa terjaga kebaikannya jika selalu jujur dalam ucapannya, adil dalam keputusan hukumannya, dan saling berkasih sayang diantara mereka"


Selamat Menghadapi Peperiksaan


"ya Allah, jika kejayaan itu lebih bermakna untuk mereka (4th yr), engkau berikanlah ia, dan jika kegagalan itu lebih bermakna untuk mereka, engkau berikanlah ia. Semoga dengan adanya hadiah kejayaan mahupun kegagalan itu, ia akan menambah taqwa dalam jiwa mereka. Ameen"

Yang Di Pertua PERSIAP
Sesi 2010

Monday, January 11, 2010

Kata Dakwah Tanpa Roh

Monday, January 11, 2010

Alhamdulillah, dapat juga saya meluangkan masa sedikit untuk membuat perkongsian setelah hari-hari getir yang dilalui. Saya mendoakan semua usaha yang telah dilakukan oleh PERSIAP sesi 09/10 mendapat redha serta keampunan Allah. Doakan kebaikan yang mampu kami bawa pada sesi baru ini. Insyaallah. Terus terang saya katakan yang saya sangat takut, risau dan sedih untuk membawa persatuan kali ini. Perasaan tersebut lahir kerana saya bimbang di bawah pentadbiran saya ini mungkin akan berlaku banyak "kerosakan". Moga itu tidak terjadi. Moga sentiasa di bawah lembayung rahmatNya. Ameen.

Agak sedih melihat sikap-sikap ahli gerakan masa kini. Hebat berkata pada hakikat dakwah tetapi semuanya kata tinggal kata. Banyak slogan yang dilaungkan, kata-kata motivasi yang dihamburkan tetapi pada hakikatnya kata tinggal pada kata-kata sahaja. Saya sendiri tidak mengerti apa sebenarnya yang mereka fikirkan. Ingin melihat Islam tertegak tetapi di mana tindakannya? Pelik tetapi inilah realiti. Apakah ahli gerakan hanya berani mengajak kepada mereka yang sudah baik sahaja tetapi terus membiarkan mereka yang kurang bernasib baik? Tepuk dada dan tanya iman. Jika dilihat, usrah hanya berkisar di sekitar kawan-kawan yang kerap duduk di surau yang boleh disifatkan sudah terdidik dengan agama, tetapi membiarkan orang lain terbiar diluar sana. Setiap peluang untuk mendekati mereka dilepaskan dengan sia-sia.

Pernah saya ceritakan berkenaan satu hal kepada beberapa teman dan adik-adik. Ia berkisar kepada "hak" yang wujud. Setelah beberapa buku dan artikel telah dibaca, saya menyimpulkan bahawa "hak" ini terbahagi kepada 2 iaitu hak kepada diri sendiri dan juga hak kepada orang lain:-

1-Hak kepada diri sendiri

Di sinilah terletaknya hak yang berkisar kepada diri kita sendiri yang penghujungnya adalah mendapat "HASIL". Tersimpan banyak perkara yang berkaitan dengan hak kepada diri sendiri ini antaranya ialah hak kepada Allah dan Rasul (untuk mendapatkan redha dan keampunan daripada Allah serta mendapat syafaat daripada Rasulullah), hak kepada ibu bapa (untuk mendapat redha ibu bapa dalam setiap perkara yang kita lakukan dan juga hak mereka untuk kita jaga suatu masa nanti), hak untuk belajar dan lain-lain perkara lagi yang difikirkan berkaitan untuk diri sendiri. Inilah hak yang perlu kita tunai untuk memetik hasilnya.

2-Hak kepada orang lain

Banyak cabang perkara yang duduk di bawah hak ini. Antaranya adalah dakwah itu sendiri. Dan semuanya ini berkaitan dengan pembentukan "hasil yang dicapai dari hak diri sendiri" yang "diusahakan untuk perkongsian dengan orang lain". Kata kuncinya adalah USAHA dari HASIL. Semua usaha ini akan tercapai melalui "komunikasi". Jika diteliti pada tingkatan ukhwah itu sendiri, tingkatan yang paling tinggi adalah apabila kita sanggup berkorban untuk orang lain. Inilah hak yang perlu kita tunai dan usahakan.

Kadang-kadang sedih melihat penggiat-penggiat dakwah kini. Hanya berkata ingin berdakwah tetapi hanya duduk di dalam bilik masing-masing, tidak terlibat dengan program-program, tidak bijak berkomunikasi dan banyak lagi. Adakah dakwah akan berjaya dengan hanya duduk di dalam bilik sahaja. Allah lebih mengetahui apa yang sepatutnya. Terlalu banyak peluang yang terhidang dilepaskan. Jika dilihat zaman ini, peluang yang paling besar untuk mendekatkan diri dengan mad'u adalah dengan menghadiri program-program yang dianjurkan. Tidak kira apa jenis program sekalipun selagi program tersebut idak bertentangan dengan syara' kita mungkin boleh disifatkan WAJIB untuk hadir bagi merialisasikan gerak kerja dakwah ini. Mengapa begitu? Kerana dengan menghadirkan diri dalam program-program tersebutlah dapat membuatkan kita berinteraksi dengan ramai orang. Bila mana masyarakat sudah mengenali kita dan selesa dengan kita, insyaallah akan mudahlah proses untuk berdakwah itu dilaksanakan.

Berbalik kepada sirah bagaimana Rasulullah sentiasa duduk bersama-sama masyarakat walaupun baginda disakiti. Tetapi atas perihal akhlak yang baik, komunikasi yang berkesan akhirnya ramai yang tertarik dengan Islam. Tidak pernah rasanya saya mendengar cerita bahawa baginda hanya duduk di dalam rumah dan mangharap akan ada orang yang datang dengan sendiri untuk memeluk Islam. Betulkan jika saya silap. Proses dakwah yang berkesan adalah melalui komunikasi yang berkesan. Dakwah ini bukan saja untuk orang baik yang selalu hadir usrah, tetapi ia adalah "hak" untuk semua orang. Ingatlah wahai penggerak-penggerak Islam semua, jangan sampai diakhirat kelak kita diminta dipertanggungjawabkan atas tindakan kita yang tidak mengajak orang lain dekat dengan Islam.

Jangan lepaskan peluang dengan hanya duduk di dalam bilik, keluarlah untuk melibatkan diri dengan program-program yang dianjurkan. Di sanalah kita memperlihatkan akhlak Islam dan komunikasi cara Islam. Moga segala usaha mendapat keberkatannya. Wallahu'alam=>

"Dakwah itu kebijaksanaan dalam menggunakan peluang dan berkomunikasi dengan mad'u"

Saturday, January 2, 2010

Menerobosi Kekuatan Diri

Saturday, January 2, 2010

Alhamdulillah, walaupun sangat sibuk dengan beberapa urusan akhir-akhir ini, dapat juga saya mencuri sedikit masa untuk membuat perkongsiaan yang selalu saya fikirkan. Dan bagi saya ia amat penting dan terpulanglah pada pembaca untuk menilainya. Kadang-kadang bila kita duduk di dalam arena waktu yang sangat dasyat sibuknya, barulah kita mengerti erti nilai kelapangan, begitu juga dengan kesihatan, dalam keadaan sakitlah baru kita dapat menilai besarnya makna kesihatan. Sabda Rasulullah s.a.w' "dua nikmat yang selalu dilalaikan adalah nikmat sihat dan nikmat lapang". Moga kita tergolong dalam golongan yang bijak menggunakan dua nikmat ini dengan sebaiknya. Insyaallah.

Beberapa minggu yang lalu, saya telah diajukan dengan 1 soalan oleh 3 orang adik tentang perkara mengapa pentingnya proxy dalam berdakwah. Saya juga telah mengajukan soalan yang sama kepada beberapa orang adik dan seorang sahabat tentang perkara tersebut. Bukanlah minta pendapat diri ini diambil sepenuhnya, tetapi jika ia baik dan mampu memberi manfaat, silakan untuk mengamalkannya. Ada 2 perkara yang selalu bermain di dalam kotak fikiran saya mengapa perlunya proxy dalam berdakwah. Satunya, secara individu, orang yang duduk di dalam proxy itu perlulah menjadi "agent of change". Dan yang keduanya, medan dakwah ini terlalu banyak halangan dan cabarannya. Jadi bila mana kita dapat menguasai sesuatu proxy, biiznillah kita dapat mengurangkan halangan-halangan yang dihadapi dalam berdakwah.

Tetapi persoalannya, kenapa masih ada mereka yang berasa takut dan mungkin terlalu merendah diri untuk cuba duduk menguasainya? Malah terlalu banyak alasan yang keluar dari mulut mereka. Mereka berkata pada keinginan melihat dakwah bergerak sehebat halilintar dan dapat melihat Islam tertegak di atas bumi Allah ini. Tetapi mengapa mereka sendiri yang kadang-kadang mengaku faham selalu menolaknya? Terdengar jauh di pelusuk bangunan ada sahabat berkata yang dia takut, dia tidak mempunyai sifat kepimpinan, dia rasa tidak mampu, dia hendak focus pada pelajaran dan bermacam-macam lagi. Jadi kata-kata hanya tinggal kata-kata. Tidak lebih dari itu. Pada hakikatnya semua itu boleh dipupuk dan dilatih.

Benar wahai ikhwan dan akhwat, kita tidak digalakkan meminta-minta untuk suatu kuasa malah dilarang untuk gila kuasa. Zaman sentiasa berubah. Generasi kita (generasi Y) selalu sahaja diperlekehkan. Dimana penggerak-penggerak utama kita? Jauh disudut hati, pada hakikatnya diri ini juga merasa tidak layak bagi memiliki apa yang ada sekarang. Tetapi atas dorongan sahabat, permintaan-permintaan dari orang yang percaya pada kita, maka diri ini sentiasa berusaha untuk "menerobosi apa yang ada dihadapan". Hendakkah kita melihat kuasa yang sepatutnya golongan kita miliki tetapi atas kepentingan peribadi kita sanggup melihat ia jatuh kepada pihak yang "gila kuasa"? Inilah satu hakikat yang perlu kita didik dalam diri kita. Jika diberi sesuatu tugasan atau jawatan, jangan berkata "tidak" dahulu. Terima dan fikirkan kemudian. Insyaallah kalau keinginan kita kuat dan kita ikhlas maka Allah akan membantu.

Kita tidak akan melihat di mana kekuatan kita jika kita tidak menerobosi kekuatan diri sendiri. Hendak atau tidak yakinlah bahawa terlalu banyak "azimat" yang tertanam dalam diri kita ini yang masih kita tidak sedari. Jangan asyik mengeluh dan menyalahkan orang lain jika menghadapi masalah. Dari permasalahan itulah kita akan lebih bijak menangani dilema masa hadapan. Medan dakwah ini cukup luas. Mungkin ketika ini kita duduk dalam gerakan Islam dan masih ada sahabat-sahabat kita yang boleh menampung keperluan dakwah itu. Andai suatu masa kita bersendirian, dan tanggungjawab dakwah itu secara sendirinya jatuh kepada mereka yang faham. Maka wajiblah kita melaksanakannya. Jika kita lihat generasi kita ketika ini, semakin lama semakin liar dengan hidup mereka. Hidup cukup mewah dan asyik dengan dunia berfoya-foya mereka. Siapa yang bertanggungjawa atas mereka kelak? Ingat sahabat sekalian, jangan sampai diakhirat kelak mereka menuduh kita tidak pernah menasihati dan mengajak mereka kearah kebaikan. Maka CELAKALAH kita. Nauzubillah.

Di dalam tapak tangan kita ada biji-biji benih yang subur. Di mana kita berpijak di situlah perlunya kita menanamnya. Kita jaga benih itu sehingga hidup dengan segarnya. Kita beri segala keperluannya. Janganlah kita biarkan tanah yang kita pijak ini gersang tanpa ada kesuburan biji ditangan kita. Jika tanah yang telah kita usahakan itu telah subur, berhati-hatilah dengan tikus-tikus disekeliling yang sentiasa mengintai masa untuk merosakkan. Inilah yang dikatakan medan tempur dakwah. Bukan senang untuk menyemai benih, menjaganya dan terus menjaganya. Di sana tersimpan beribu-ribu halangan, racun, serangga dan tikus-tikus untuk merosakkannya. Tetapi apa yang mampu menyebabkan ia kekal adalah azam yang jitu. Dari mana kita mampu membentuk azam ini dan sekaligus berusaha ke arah kesuburan tanaman kita, ia sama sekali datang dari keinginan kita. Dan dari mana keinginan ini, ia datang dari usaha kita yang mencari kekuatan yang boleh kita semai.

"Ahli gerakan umpama permata dilautan pasir, dari satu sudut kita sama, tetapi kita lebih berharga. Jika mereka tahu bertapa berharganya permata-permata itu, sudah pasti mereka kaya di dunia dan akhirat. Tetapi permata-permata ini semakin lama semakin tenggelamdalam lautan pasir, malah ada yang telah dihanyutkan ombak"

Tidak salah untuk saya katakan bahawa generasi penggerak dakwah tika ini lemah dari pembentukan azam. Mereka tidak berani menerobosi diri sendiri. Hanya berlandaskan pada kemampuan diri yang sedia ada dan diketahui sahaja. Mungkin di sinilah mengapa hilangnya rasa cinta kepada yang hak. Mudah-mudahan kita bukan daripada golongan ini. Yakinlah wahai sahabat sekalian, sesiapa yang berani "menerobosi kekuatan diri" dialah orang yang berjaya. Bantuan Allah sangat dekat dengannya. Yang penting tenang, sabar dan ikhlas kerana Allah sentiasa berbicara tentang erti sabar dan ikhlas. Wallahu'alam=>
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates