Thursday, December 24, 2009

Kifarah Cinta (3)

Thursday, December 24, 2009

Alhamdulillah dapat juga saya duduk dan menulis serba sedikit apa yang selalu saya fikirkan walaupun minggu ini adalah minggu yang paling getir untuk dihadapi. Berbalik kepada "kifarah cinta". Adakah ia benar-benar telah terjadi atau sebaliknya? Hanya diri sendiri yang tahu. Mungkin terlalu "mahal mahar yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan" ini. Tetapi itulah hakikat orang yang bercinta.

Bukankan cinta itu sebuah erti pengorbanan. Tidak kiralah pengorbanan dari sudut apapun. Tetapi untuk mendapatkan sesuatu perlunya pengorbanan. Ramai pejuang-pejuang Islam yang lerdahulu terkorban bukan saja dari sudut nyawa, tetapi harta, masa, kebahagiaan mereka dan macam-macam lagi semata-mata mengejar kebahagiaan sejati. Jika diteliti dengan mendalam, manusia yang sedang bercinta sesama manusia sering kali melafazkan kata-kata "korban", "aku rela berenang sekalipun dilautan api untuk mendapatkanmu", "segala onak duri sanggup aku redahi asalkan aku memilikimu". Bukankah semua ini sebuah pengorbanan untuk memiliki sesuatu? Mengapa ia ditujukan ke satu arah yang masih tidak pasti? Jawapannya ada dalam diri masing-masing. Orang yang sedang bercinta sanggup bergadai apa saja asalkan apa yang mereka hajati tercapai. Mengapakah ahli gerakan Islam kini tidak mempunyai rasa sedemikian? Adakah mereka telah menerima "kifarah cinta" yang teramat asyik mencintai kehidupan? Apakah ini semua?

Mereka sanggup menjadi pemutus rantai perjuangan. Mungkin ini dinamakan "tarbiah cinta". Bagaimana kita menujukan hala cinta kita kepada yang hak. Tidak salah untuk bercinta atau mencintai, tetapi lihat pula kepada tujuan cinta itu. Jika ia cinta kerana Allah, moga mendapat rahmatnya. Dan jika ia sebaliknya, cepat-cepat kita muhasabah cinta tersebut. Benar, memang mahal mahar yang perlu dibayar untuk erti sebuah perjuangan. Masa, pelajaran, harta hatta keluarga pasti akan terkorban. Jika ingin menikahi perempuan, bukankah kita perlu membayar maharnya? Bukankah maharnya itu terkadang terlalu mahal? Tetapi bila hati sudah teguh untuk mendapatkanya, dengan apa cara sekalipun pasti mahar itu akan dibayar.

Begitu jualah mahar pada erti perjuangan. Perjuangan ini ingin mencari redha Allah dan mengharapkan keampunannya. Maka untuk mendapatkannya memang teramat mahal mahar yang perlu dibayar. Adakah sanggup untuk membayarnya? Mungkin bukan harta yang menjadi taruhan, tetapi masa dan pelajaran. Seringkali ada yang kecundang dalam pelajaran atau tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Tetapi janji Allah pasti, syurga menanti. Lihatlah pada hakikat, ini semua bermula dari "KENAL" akan sesuatu. Dalamilah sesuatu untuk mengenalinya dan fahamilah ia dengan sebaik-baiknya. Mungkin inilah "tarbiah cinta". Biarlah kita menjadi "pengemis cinta" illahi dan jangan kita menjadi "hamba cinta" duniawi yang amat sementara.

Moga dalam berjuang bijak memberi masa dan tenaga. Itu lebih digalakkan. Wallahu'alam=>


Monday, December 21, 2009

Antara Bai'ah Dan Gerakan (2)

Monday, December 21, 2009

2-Al-Ikhlas


“yang saya maksudkan ikhlas itu adalah bahawa seorang al-akh hendaklah mengatur percakapan, perbuatan dan jihadnya hanya kepada Allah untuk mengharapkan keredhaannya, tanpa mengharapkan kebendaan, kedudukan, pangkat, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan begitu dia telah menjadi tentera aqidah, bukan tentera kepentingan yang hanya mencari kemenfaatan dunia”

-Hasan Al Banna-


Umar r.a masuk masjid dan melihat Mu’adz b Jabal sedang menangis di sisi kubur Rasulullah s.a.w. Umar bertanya, “apa yang membuatmu menangis wahai Mu’adz?”. Mu’adz menjawab bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “sesungguhnya sedikit riya’ adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaqwa yang tersembunyi, iaitu orang yang apabila dia tidak ada maka orang merasa kehilangannya dan apabila mereka hadir maka mereka tidak diketahui. Hati mereka bagai sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat”


Di sini saya bawakan 1 contoh daripada kisah sahabat Hasan Al-Banna. Ada sebuah majalah agama di Mesir mengundang Ustaz Umar Tilimisan sebagai salah satu ahli penal bagi suatu seminar. Beliau pun hadir pada hari yang ditetapkan untuk memberi ilmu seperti yang diminta. Setelah selesai program, maka seorang pegawai pun datang menyerahkan kertas dan meminta beliau menandatanganinya. Ustaz Umar bertanya, "apa ini? untuk apa?". Pegawai itu berkata, "ini adalah bayaran untuk anda pada kali ini". Umar berkata, "andai aku mengetahui bahawa dakwah kepada Allah dibayar, aku tidak akan hadir". Pegawai berkata lagi, "ini sebagai ganti pembiayaan kenderaan untuk hadir". Ustaz Umar berkata, "ikhwan telah menyediakan kenderaan khusus untuk keperluan seperti ini". Pegawai berkata, "tetapi semua pegawai menerima bayaran". Ustaz Umar berkata, "saya tidak sama dengan mereka dan mereka tidak sama dengan saya". Lalu beliau pun pergi tanpa mengambil sedikit pun bayaran.

Dari sini dapatlah kita lihat bahawa keikhlasan dalam berdakwah itu tidak mampu dibayar dengan harga wang ringgit. Hanya redha dan keampunan Allah sahaja yang diharapkan. Ikhlas bermula dari kefahaman erti hakikat perjuangan. Alaupun terlalu mahal mahar yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan akidah, tetapi dengan hati yang ikhlas insyaallah imbuhan yang lumayan menanti.

Wallahu'alam..bersambung=>

Sunday, December 20, 2009

Aku Lihat Permata Yang Bersinar

Sunday, December 20, 2009

Alhamdulillah, sempat juga saya bersama dengan seorang sahabat saya menjalankan satu usrah bersama mujahid/ah sebelum bercuti. Hati cukup tersentuh melihat mereka. Ada yang tersenyum, ada yang menangis, dan ada yang hanya menundukkan diri. Tetapi diri ini cukup mengerti isi hati mereka walaupun tidak sepenuhnya. Setiap kata yang mereka katakan cukup memberi kekuatan kepada diri sendiri sebenarnya. Mereka lebih tahu siapa mereka. Kami cuma menjalankan tanggungjawab yang tidak pernah selesai ini atas dasar ukhwah, rasa sayang kepada mereka dan mengharap keampunan serta keredhaan Allah.

"mereka umpama permata dilautan pepasir"

Mereka lebih mengerti apa yang mereka perlu lakukan. Mereka bukanlah da'ei yang meruntuhkan medan dakwah, malah merekalah rantai emas dalam perjuangan ini. Percaya atau tidak, mereka lebih tahu siapa mereka. Kehebatan mereka tidak dapat dibendung. Mungkin sedikit rasa rendah diri menyebabkan mereka terdiam membisu. Tetapi pada hakikatnya, merekalah penyumbang serta penyambung warisan ummah gemilang ini. Tidak layak diri ini untuk menafikan mereka. Andai erti ukhwah menjalar lebih laju dalam tubuh mereka, Insyaallah mereka lebih hebat dari yang ada sekarang.

Setelah selesai berusrah, saya menyampaikan cerita hati ini kepada seorang sahabat lain. Sahabat itu berkata' "benar, mereka boleh jadi lebih hebat dari aku". MasyaAllah tinggi sungguh nilai permata ini. Tidak sabar rasanya ingin menyambut mereka datang ke sini. Moga permata-permata ini akan bersinar lebih terang lagi. Wallahu'alam=>

Saturday, December 12, 2009

Antara Bai'ah Dan Gerakan (1)

Saturday, December 12, 2009

Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kekuatan untuk saya menulis serba sedikit perkara yang saya rasakan cukup penting. Walaupun badan terasa cukup pedih dan letih, tetapi saya cuba perkuatkan juga untuk memberi sedikit perkongsian supaya "bai'ah tidak menjadi fitnah kepada diri". Seorang sahabat saya pernah menulis tentang satu artikel bertajuk "jangan jadikan bai'ah itu fitnah kepada diri". Apa yang diperkatakannya itu adalah benar. Mungkin perkongsian saya pada kali ini lebih menjurus kepada permasalahan ahli gerakan yang pernah berbai'ah. Andai ada kesilapan harap diperbetulkan. Moga Allah mengampunkan kita semua.

Sebelum ini saya pernah menulis tentang "kifarah cinta" di mana pada perkongsian tersebut saya cuba manafikan faktor kefahaman adalah punca permasalahan ahli gerakan. Tetapi setelah saya meneliti dan juga berbincang dengan lebih mendalam akan hal ini, memang tidak dinafikan bahawa kefahamanlah antara faktor utama yang perlu diberi perhatian. Mengapakah sedemikian rupa?? Wahai ahli gerakan, tepuklah dada dan lihat ke dalam diri, insyaallah jawapan yang dicari pasti ditemui. Kali ini saya lebih menjurus kepada perbincangan mengenai "Arkanul Bai'ah (Rukun bai'ah)". Ada 10 rukun yang perlu kita teliti dan hadam sebelum kita melafazkan kata bai'ah tersebut. Tidak bermaksud bila mana kita tidak berbai'ah, kita bukanlah ahli gerakan Islam. Persepsi yang agak serong ini perlulah diperbetulkan secepat mungkin. Bai'ah ini bertujuan supaya ahli gerakan lebih solid atau memberi komitmen terhadap gerak kerja Islam kerana kita telah berjanji bersaksikan Allah tuhan sekalian alam. Oleh yang demikian, ahli gerakan yang berbai'ah atas nama Allah untuk Islam, perlulah berwaspada, bersungguh-sungguh, berhati-hati serta memberi komitmen yang tinggi dalam gerakan ini. Manakala ahli yang tidak berbai'ah tetap perlu menegakkan agama ini kerana tujuan manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menyampaikan mesej dakwahnya. Kita akan cuba melihat setiap arkanul bai'ah ini satu-persatu supaya lebih jelas.

1-Al FahmuBold
"maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah"
(Muhammad:19)


-->ayat tersebut menunjukkan bahawa kita perlulah jelas dan faham tanpa ragu bahawa Tuhan kita adalah Allah yang esa.

"dan janganlah kamu mengikuti apa yang tidak kamu mempunyai pengetahuan. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan diminta pertanggungjawabannya"
(Al-Israa':36)

-->ayat ini menunjukkan pentingnya mengetahui sesuatu sebelum kita mengikutinya

"yang kami maksudkan al-fahmu adalah anda yakin bahawa fikrah (pandangan) kami adalah fikrah Islamiah yang solid serta teguh, serta anda memahami Islam sepertimana yang kami fahami dalam 20 prinsip"
(Hasan Al-Banna)

-->kata-kata pengasas ikhwan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya mempunyai kefahaman yang sama dalam perjuangan

Saya cuba bawakan sedikit contoh daripada sirah Rasullullah ketika perjanjian Hudaybiah. Atas kefahaman dan kebijaksanaan baginda, baginda mampu membuka "tirai hijab" masa hadapan dalam berdakwah dan juga jihad. Jelas menunjukkan bahawa isi kandungan perjanjian itu berat sebelah sehinggakan Umar sendiri tidak menyetujuinya. Hatta ketika perjanjian ini termenterai, hampir sahaja ada perpecahan besar berlaku pada umat Islam. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan tindakan Rasulullah. Tetapi atas kefahaman yang tinggi yang lebih terkehadapan, perjanjian yang berat sebelah ini akhirnya menyebelahi umat islam. Manakan tidak, dakwah Islam dapat disebarkan secara aman tanpa gangguan kerana genjatan sejata selama 10 tahun. Tetapi perjanjian ini telah dikianati oleh Quraish itu sendiri kerana mereka telah menyerang satu sekutu kabilah umat Islam. Maka akhirnya berlakulah Fathul Mekah.

Sebelum perjanjian itu juga, berlaku peristiwa "bai'atul ridwan". Bai'ah ini terjadi disebabkan sampainya berita atas kematian Uthman b 'Afan. Maka umat Islam telah berbai'ah dengan Rasulullah. Tujuan bai'ah tersebut bukanlah semata-mata mahu membalas dendam terhadap kematian sahabat Rasulullah, tetapi lebih dari itu supaya ikatan kebersamaan antara umat Islam dapat dibentuk dan juga bersama-sama baginda untuk berjihad mempertahankan Islam jika Islam ditindas. Atas kefahaman yang tinggi untuk berjihad inilah maka mereka berbai'ah dengan yakin.

Justeru dari itu, biarlah kefahaman mendahului segala perbuatan supaya tindakan kita lebih tepat. Jangan disebabkan keterpaksaan untuk berbai'ah menyebabkan kita mengikat janji tersebut.

Wallahu'alam..bersambung=>

Sirr Hazar: Dimanakah Kedudukannya?


Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Selawat dan salan atas junjungan Nabi s.a.w yang merupakan manusia yang oaling mulia malah menjadi kekasih Allah. Ketika saya menulis tajuk kali ini, hati saya cukup resah, risau dan takut atas beberapa perkara yang cukup tidak pasti. Terkadang hati mempersoalkan tindakan diri sendiri dan juga orang lain. Betulkah apa yang dilakukan. Mungkin juga terlalu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Wallahu'alam. Moga dalam segala tindakan ada rahmat dan keredhaan. Insyaallah.

Apa itu "sirr & hazar". Sirr bermaksud kerahsiaan dan hazar pula membawa erti berhati-hati. Mengapa perkara ini cukup penting untuk diketengahkan?? Ya, ia cukup penting. Ia merupakan STRATEGI dalam berdakwah dan juga menjaga kelangsungan perjuangan Islam. Tetapi diakhir-akhir ini strategi ini selalu diletakkan pada bukan tempatnya terutama dalam gerakan-gerakan Islam. Bukanlah saya seorang yang berhak berkata-kata pada arena ini, tetapi saya cuba memberi pandangan dengan kekurangan diri yang disedari. Betulkanlah saya jika silap. Ahli gerakan terlalu berahsia dalam menzahirkan dakwah. Adakah mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bakal meruntuhkan medan dakwah itu sendiri?? Maka akan runtuhlah dakwah ditangan daei'. Tetapi ada pula sesetengah gerakan yang terlalu berani menzahirkan pimpinan mereka walhal mereka baru dalam medan pembelajaran dan juga pembentukan. Hanya mereka yang berfikir yang dapat mengenal pasti jawapannya. Saya cuba bawakan serba sedikit sirah Rasul dalam mempertengahkan konsep "sii hazar". Kita lihat daripada sudut sirah hijrah baginda. Di sana penuh dengan strategi, kerahsiaan adn juga berhati-hati.

1-Baginda berangkat meninggalkan Mekah pada waktu malam. Ini kerana fitrah manusia akan berasa letih dan mengantuk pada waktu malam malah pada waktu itu tidak ramai manusia akan melihat pergerakan baginda. Maka dengan rasa ketaqwaan dan bantuaan Allah, Allah telah menghantar perasaan ngantuk kepada "pembunuh-pembunuh upahan" Quraish. Malah Allah telah menghijabkan pandangan mereka dari melihat baginda keluar dari rumah.

2-Baginda dengan bijaksana menyuruh Ali b Abi Talib tidur di tempat baginda selalu tidur dan menggunakan selimut yang banginda gunakan. Tujuannya apabila "pembunuh-pembunuh upahan" ini mengintai ke dalam rumah, maka mereka tetap merasakan bahawa Rasullullah masih ada di dalamnya. Dengan cara ini baginda dapat memanjangkan masa untuk baginda keluar dari Mekah. Ternyata cara ini cukup berkesan kerana sehingga menjelang fajar, barulah orang-orang Quraish sedar bahawa yang tidur di tempat Rasullullah bukanlah baginda tetapi Ali. Ketika itu Rasulullah telah pergi jauh dari Mekah.

3-Rasulullah telah mengambil altenatif jalan yang lain bagi mengelakkan baginda bersama Abu Bakar dikejar dengan tidak menggunakan jalan yang kebiasaan orang gunakan untuk ke Madinah. Jalan untuk ke Madinah adalah menuju ke arah utara, tetapi baginda telah mengubah arah itu dengan menuju ke Selatan untuk bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari.

4-Ketika dalam perjalanan, baginda menggunakan hujung kaki untuk berjalan sehinggakan kaki baginda melecet. Ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kesan tapak kaki mereka dari dijejaki.

5-Kehebatan iman Abu Bakar tidak dapat ditandingi malah konsep ukhwah diperingkat tertinggi diterapkan. Beliau sanggup bekorban demi menjaga Rasulullah. Beliau telah memasuki Gua Thur terlebih dahulu untuk memastikan keadaan di dalamnya selamat untuk baginda Rasulullah. Beliau sanggup dipatuk ular yang berbisa demi Rasulullah. Mampukah dicapai kekuatan ukhwah seperti ini untuk sahabat-sahabatku??

6-Seorang anak muda yang bernama Abdullah b Abu Bakar yang gagah dan pintar juga telah bermalam berdekatan dengan Gua Thur tetapi pulang ke Mekah sebelum terbitnya fajar, seolah-olah sepanjang malam beliau ada di Mekah. Tugasnya adalah bagi mendapatkan berita tentang rancangan jahat Quraish terhadap Rasulullah. Dan di malam harinya pula, beliau akan pergi ke Gua Thur dengan maklumat-maklumat terkini kepada Rasulullah.

7-Abu Bakar telah mengarahkan hambanya yang bernama 'Amri b Fyhayrah untuk mengembala kambing di kawasan berhampiran. Tatkala berlalu waktu Iya', beliau akan menghalau kambing-kambingnya ke Gua Thur bagi membekalkan susu kepada Rasulullah dan kembali membawanya pulang setelah hari jauh malam. Beliau melalui kesan-kesan tapak kaki Rasulullah untuk menutup kesan tersebut supaya tidak dapat dikesan. Beliau melakukannya setiap malam.

8-Dalam penjagaan rahsia pula, Ali b Abi Talib dan 'Asma bt Abu Bakar kerap kali dikasari oleh kaum Quraish kerana keengganan mereka memberitahu ke mana Rasulullah dan Abu Bakar pergi.

9-Selepas 3 hari berselindung di Gua Thur, barulah baginda berangkat menuju ke Madinah. Baginda telah mengupah Abdullah b Urayqit al-Laythi, seorang penunjuk jalan yang mahir dan boleh dipercayai. Mereka menggunakan jalan yang jarang sekali orang lain gunakan. Mereka menggunakan jalan di persisiran pantai untuk sampai ke Madinah. Hasil kebijaksanaan baginda inilah menyebabkan mereka sampai di Madinah dengan selamat


Lihatlah berapa berhati-hatinya baginda dalam mengatur perjalanan hijrah ini. Andai baginda tertangkap, mungkin Islam tidak dapat kita nikmati. Perjalanan hijrah yang penuh dengan kerahsiaan, berhati-hati, ukhwah dan ketaqwaan. Tetapi mana perginya amalan konsep ini pada zaman sekarang?? Adakah konsep hanya tinggal konsep. Tepuk dada tanya iman.


Kesimpulan dari sirah hijrah Rasulullah ini adalah pentingnya memahami dan mangamalkan "sirr dan hazar" dalam gerak kerja Islam untuk menjamin keberlangsungan dakwah itu sendiri, tetapi letaklah ia pada tempat yang sebenarnya. Zahirkan dakwah dan rahsiakan tanzim. Lakukan perancangan yang lebih teliti dalam tindakan supaya tidak memberi kemudaratan kepada gerakan. Kekalkan kebersamaan dalam menjalani dakwah moga lebih tabah. Orang Islam zaman ini terlalu bermain dengan teori tanpa praktikal berbanding orang barat yang belajar dari praktikal. Moga allah memberi keampunan. Wallahu'alam=>

Thursday, December 10, 2009

Kifarah Cinta (2)

Thursday, December 10, 2009

Kaadng-kadang berat rasa hati untuk berkata, tetapi itulah hakikat cerita yang perlu ditempuhi. Semakin hari semakin hilanglah pengertian "pejuang" di dalam jiwa ahli gerakan. Benar atau tidak hanya jiwa individu dan sang penciptanya sahaja yang tahu. Apa yang kita dapat lihat dewasa ini, sifat "keutamaan" dalam sesuatu perkara tidak bijak ditafsir oleh ahli gerakkan. Mereka lebih "mementingkan yang remeh dan meremehkan yang penting". Takut-takut suatu masa nanti Allah tarik berkat pada gerakan tersebut dan menghancurkan gerakan tersebut.

Antara perkara yang mungkin boleh menarik keberkatan Allah dalam suatu gerakan adalah:
1-Tidak tahu membezakan yang mana perlu diutamakan dan yang mana dikemudiankan
2-Berlakunya terlalu banyak masalah yang mampu menimbulkan "masalah hati" dikalangan ahli gerakan
3-Terlalu banyak rahsia antara ahli gerakan yang sepatutnya perlu dikongsi bersama
4-Mangagungkan sifat "SEPATUTNYA" dalam diri ahli gerakan. Contoh: kerja tarbiah hanya tarbiah yang melakukan manakala ahli lain hanya tunggu dan lihat
5-Sifat tuduh menuduh, salah menyalahi, fitnah menfitnah dikalangan ahli gerakan
6-Tidak menjaga batasan akhlak yang sepatutnya
7-Mendahulukan emosi dan ego dalam tindakan
8-dll

Terkadang hati bertanya, mengapa ahli gerakan yang disifatkan "faham" ini boleh tergolong dalam kumpulan seperti di atas?? Apakah terlalu mengikutkan emosi?? Apakah mereka terlalu ego sehinggakan tidak boleh ditegur?? Apakah mereka merasakan merekalah yang terbaik dan terhebat?? Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu sentiasa ditanya dan dijawab oleh ahli gerakan. Mungkinkah ini "kifarah cinta" sang pencipta??

"ya Allah jika ini kifarah cintaMu kepada kami, engkau bukakanlah hati kami kepada jalan yang sepatutnya, hanya engkau sahaja yang mampu memberi hidayah itu kepada kami. ya Allah jangan enkau larikan hati kami kepada cinta pada perkara yang tidak sepatutnya kami cintai"


Dalam jiwa ahli gerakan perlunya ada rasa "berani menghadapi takut". Jika rasa takut untuk ditegur, maka ubahlah kepada seorang yang lebih terbuka. Jika takut untuk mencuba, maka rasailah kenikmatan mencuba itu dahulu. Buanglah segala perkara yang boleh menyebabkan murka Allah kepada kita, moga dengan itu kita beroleh keberkatan dan redhanya.

Jangan sampai disebabkan seorang ahli gerakan yang melakukan "jenayah cinta" ini, menyebabkan semua ahli dan gerakan tersebut terkena azab dan murka dari Allah. Nauzubillah. Moga hati kita duduk dalam cinta yang sebenar.

"Kifarah Cinta Allah itu dekat"


Tuesday, December 8, 2009

BidadariKu

Tuesday, December 8, 2009

mas kahwin untuk bidadariKu
adalah sekuntum bunga melati
yang aku petik
dari sujud solatku
setiap hari

buah cintaku
dengan bidadariKu
adalah lahirnya sejuta generasi teladan
yang menggendong tempayan-tempayan kemanfaatan
bagi manusia dan kemanusiaan
pada setiap tempat, pada setiap zaman

mereka lahir demi kesejatian sebuah pengabdian
dalam abad-abad yang susah
abad-abad tidak mengenal tuhan
abad-abad hilang naluri kemanusiaan
abad-abad berkuasa rejim-rejim kemungkaran
dan mereka tetap tegar dan setia
membela keadilan
dan kebenaran

perjuangan kami berterusan
sambung-menyambung setiap generasi
tak berpenghabisan
terus bergerak
mengalir ladang-ladang peradaban
seperti cintaku
pada bidadariKu
yang terus tumbuh
semakin subur
dari hari ke hari
laksana kalimat-kalimat cinta
dihati para solihin
dihati para nabi

"ya Allah, jika hatiku terpaut kepada kecantikan dunianya, engkau jauhkanlah ia..jika hatiku terikat pada darjat ketuanannya, engkau pisahkanlah..jika hatiku terpaut pada harta miliknya, engkau padamkanlah..tetapi jika hatiku terpaut pada indah agamanya disamping akhlaknya, engkau kekalkanlah..ya Allah, engkau tahu hati-hati ini berhimpun dalam cinta padaMu, telah berjumpa dalam taat padaMu, telah bersatu dalam dakwah padaMu, telah berpadu dalam membela syariatMu, teguhkanlah ya Allah ikatannya..tunjukkanlah jalan-jalannya..penuhilah hati-hati tersebut dengan cahayaMu yang tidak pernah hilang..lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan iman kepadaMu dan indahnya bertawakal kepadaMu..hidupkanlah hati ini dengan ma'rifat kepadaMu..matikanlah ia dalam syahid di jalanMu..sungguh engkau sebaik-baik pelindung dan penolong..ya Allah kabulkanlah"

Monday, December 7, 2009

Kifarah Cinta

Monday, December 7, 2009

Alhamdulillah dapat juga saya mengirimkan sedikit perkongsian pada kali ini. Saban waktu, manusia semakin lemas ditenggelami oleh arus perdana. Di sana-sini dapat dilihat kemungkaran yang amat berleluasa. Terkadang hati yang melihat cukup sayu dan menagis melihat suasana zaman ini. Di mana pemimpin-pemimpin yang sepatutnya melindungi kami dan membawa kami ke jalan yang benar dan diredhai?? Apakah mereka sentiasa mengejar kemasyhuran pembangunan zahir sahaja dan melupakan pembangunan rohani rakyatnya?? Salah siapa sebenarnya?? Adakah salah rakyat yang memilih atau salah pemimpin yang memimpin?? Hati tidak tega untuk menceritakan kerosakan yang semakin menjadi-jadi, tetapi jika tidak didedahkan maka semakin parahlah luka sehingga bernanah.

Jika disebut berkaitan cinta, maka terlalu banyak jawapannya. Ramai manusia yang semakin hanyut dalam dunia cinta sesama manusia bahkan cinta kepada "mewahnya dunia" sehinggakan ada yang lemas. Di sana-sini dapat dilihat manusia yang "belum halal" berdua-duaan. Apakah ini "kifarah cinta"?? Lebih mudah difahami bahawa kifarah itu adalah denda. Mengapa perlu ada denda cinta. Mungkin dibangkitkan kata-kata kifarah ini adalah atas kesilapan diri manusia itu yang perlu dihukum atas perbuatannya. Tetapi apakah itu "kifarah cinta"?? Tepuk dada dan tanya iman. Terlalu cinta kepada perkara yang tidak sepatutnya menyebabkan perkara yang sepatutnya terabai.

Lewat malam semalam, saya dan dua lagi sahabat asyik berbincang mengenai permasalahan ahli gerakan islam sekarang. Sambil berbincang, kadang-kadang ada juga gurauan-gurauan yang menghiburkan kedengaran. Saya memetik kata-kata salah seorang sahabat saya, "bolehkah kita membuat sesuatu atas dasar tanggungjawab tanpa cinta??". Secara ringkasnya, bila kami berbincang mengenai permasalahan ahli gerakan, berat kata menjurus kepada permasalahan kefahaman ahli. Tetapi entah mengapa dan dari mana ilham ini diterima, secara tidak sengaja saya mempertikaikan pandangan tersebut. Hendak berkata kepada kefahaman ahli, rasanya sudah terlalu banyak usaha ke atas permasalahan itu dianjurkan. Malah usrah-usrah, ceramah, forum dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pemberian dan pembentukan kefahaman ahli telah dilakukan. Adakah ahli masih tidak faham?? Sekali lagi, tepuk dada dan tanya hati. Benar hidayah milik Allah bukan kita. Tetapi dimana usaha individu yang bergelar ahli gerakan untuk mencari hidayah Allah tersebut.

Dari pengisian-pengisian yang telah dianjurkan, kebanyakan ahli tahu akan tanggungjawab mereka. Jika ditanya kepada mereka, apakah tujuan kamu diciptakan?? Maka sudah pasti akan kedengaran jawapan, kami dicipta dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah dan menegakkan agama Allah. Bukankan di sana kedengaran kata-kata tanggungjawab secara zahir dilafazkan. Tetapi bila diminta untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut maka terdengar pula kata-kata, kami belum bersedia, kami tidak mampu, kami takut, kami tidak layak. Apakah semuanya ini?? Dan dari situlah saya cuba menyimpulkan bahawa tiada rasa cinta di dalam diri ahli gerakan sekarang untuk membantu agama Allah. Tanggungjawab tanpa rasa cinta adalah beban, cinta tanpa rasa tanggungjawab adalah bohong, tetapi tanggungjawab bersama rasa cinta adalah kuasa synergistik. Sekali lagi, tepuklah dada tanya iman. Jika ditimbang telek apa yang saya katakan tadi, mungkin kita dapat melihat permasalah mengapa dunia masa kini sedemikian rupa.

Inilah yang disebut "kifarah cinta" bila cinta yang sebenarnya tidak dihalakan pada tempat sepatutnya. Mungkin tulisan saya ini terlalu berkias. Tetapi ini memang sengaja dilakukan supaya kita dapat berfikir tentang hakikat sebenar, insyaallah. Wallahu'alam=>

Thursday, December 3, 2009

Permainan Politik Yang Menarik

Thursday, December 3, 2009

Alhamdulillah Allah masih memberi kelapangan dalam penulisan kali ini. Mungkin 2 minggu ini saya mempunyai masa lapang yang agak banyak. Moga masa-masa itu dapat saya gunakan dengan sebaiknya. Kali ini saya ingin menulis serba sedikit tentang politik tanah air walaupun tidak berapa tahu. Ini hanyalah pandangan saya, harap tidak disalah anggap. Akhir-akhir ini, perang politik negara semakin rancak sejak berakhirnya PRU 12 lepas. Kadang-kadang rasa geram ada, rasa marah ada, rasa seronok pun ada. Kadang-kadang cuma mampu melihat dan mengharap pada yang terbaik sahaja.

Saya ingin berkongsi tentang pandangan saya terhadap strategi yang digunakan oleh pihak kerajaan (BN) dan lawannya (PR) sebelum, semasa dan selepas PRU 12. Setakat ini telah 4 strategi yang diketengahkan oleh pihak yang mentadbir. Dan masih satu cara yang belum mereka gunakan. Dari pembacaan yang saya cuba adaptasikan pada "perang politik" sekarang adalah seperti berikut:

1) Ketika menghampiri PRU 12, antara strategi yang digunakan oleh pihak kerajaan adalah menggunakan semua kekuatan yang ada samada kekuatan media, kekuatan kewangan, pengaruh individual, serangan terhadap parti lawan dan sebagainya, tetapi mereka lupa untuk menggunakan kekuatan ahli yang ada untuk "menyerang". Mereka terlalu bergantung kepada proksi-proksi yang mereka kuasai sahaja. Pihak lawan boleh disifatkan tidak mempunyai apa-apa langsung. Tetapi apa yang menariknya strategi kali ini memang jelas-jelas tidak berhasil. Pihak lawan telah menggunakan kekuatan ahli yang sedia ada dengan semaksimum mungkin. Mereka mengerah semua ahli yang disifatkan cukup "ikhlas" membantu untuk berkempen dan hasilnya adalah 2/3 kerusi parlimen tidak dapat dikuasai oleh kerajaan. Apa yang dapat disimpulkan, pihak lawan dapat memintas strategi kerajaan yang disifatkan sudah lama itu. Alhamdulillah rakyat sekarang sudah bijak menilai.

2) Selepas "gagal dalam kemenangan" pada PRU 12, pihak kerajaan telah menggunakan strategi kedua iaitu kuasa wang. Mungkin tidak dapat dibuktikan dengan jelas akan strategi ini tetapi ia masih masuk akal untuk diketengahkan. Caranya mudah, mereka membeli beberapa ahli pihak lawan yang tidak mempunyai visi yang jelas, jiwa yang tidak kental, dan berani mengkhianati rakyat yang menyokong. Strategi ini disifatkan berjaya untuk membeli individual dari PKR dan DAP tetapi bukan PAS. Maka hakikat sebenar kekuatan lawan adalah terletak pada PAS itu sendiri. Maka kucar-kacirlah pihak lawan sehinggakan tumbang kerajaan PR negeri Perak. Moga Allah membukakan hati mereka yang berbuat kejahatan untuk kembali bertaubat.

3) Seterusnya bila mana tidak berjaya mengganggu gugat PAS, mereka menggunakan pendekatan "perang saraf". Mereka tahu yang ahli PAS ini baik dan sangat bertoleransi. Jadi permainan saraf mula di lancarkan. Sesetengah ahli PAS mula masuk perangkap "kerajaan perpaduan". Maka sekali lagi pihak lawan kucar-kacir sehinggakan hampir "bercerai". Mereka tahu ahli PAS tidak menang dibeli dengan wang dan juga kemewahan, justeru mereka melancarkan strategi saraf ini. Kita singkap sirah Nabi s.a.w, ketika perang khandak Rasullullah telah menghantar beberapa SB ke tempat musuh untuk mengganggu kekuatan musuh. Antara strategi SB ini adalah membuat-buat cerita supaya ada timbul rasa tidak puas hati antara gabungan puak di dalam kem musuh tersebut. Dengan cara ini akhirnya musuh cukup lemah kerana berpecah. Mungkin cara ini jugalah yang cuba diadaptasi oleh pihak kerajaan. Apabila musuh telah lemah dan tidak bersatu, maka mudahlah ia menguasai permainan ini semula. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah ahli PAS terjerumus dalam perangkap samar ini. Tetapi ALLAH maha mengetahui dan berkuasa, wujud satu susuk tubuh kecil yang digelar TGNA dalam permainan ini yang bijak mematahkan strategi kerajaan. Teguran kepada ahli yang terpengaruh atau hampir terjerumus umpama "teguran ayah kepada anak" telah diperaktikkan. Dan alhamdulillah sekali lagi pihak lawan selamat.

4) Menyedari kekuatan sebenar lawan ada pada TGNA, maka strategi keempat digunakan. Saya pernah terbaca tentang strategi ini di dalam buku perang Jepun zaman samurai. Serangan terhadap "think tangker" adalah strateginya. Ketika satu puak ini terlalu sedikit ahlinya untuk bertempur secara berhadapan dengan puak yang lain, maka ketua puak itu sendiri menawarkan diri untuk menerajui strategi ini. Apa strateginya??. Mudah saja, setelah risikan mengenal pasti siapa "think tangker" musuh yang sebenar, maka sasaran dalam pertempuran itu adalah "think tangker" musuh. Ini kerana dengan menumpaskan "think tangker" musuh, maka musuh akan lemah secara keseluruhannya kerana mereka tidak mempunyai ketua yang hebat. Strategi ini juga telah digunakan oleh Israel dalam menyerang Palastien. Mereka tahu yang mereka tidak mampu untuk menandingi mujahid-mujahid Islam, maka mereka membunuh ketua-ketua mujahid tersebut seperti syeikh syahid Ahmad Yasin. Mungkin strategi ini sedang diadaptasi oleh pihak kerajaan. Jika TGNA berundur, maka semakin kuranglah orang yang "istiqamah" dalam sesuatu perkara dalam pihak lawan. Mungkin bila mana TGNA berundur pihak lawan akan berpecah semula. Moga Allah tunjukkan yang mana benar.

5) Strategi kelima ini belum lagi dilancarkan tetapi cuma andaian saya sahaja. Jika TGNA masih tidak berundur, mungkin strategi ini akan dilancarkan. Jadi kita tunggu dan lihat apakah permainan politik antara "tentera Allah" dan "tentera Taghut" seterusnya. Wallahu'alam=>
"Ya Allah engkau tunjukkanlah kami yang mana benar dan yang mana batil. Tabahkanlah hati mereka yang berjuang atas agamaMu dan bantulah mereka"

Aku ingin melihat Islam tertegak sebelum aku menutupkan mata selama-lamaya

Wednesday, December 2, 2009

Warkah Buat Adikku

Wednesday, December 2, 2009

"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon keredhaanMu serta jannah, dan kami berlindung dari kemurkaanMu dan dari panasnya siksa neraka"

Salam tahniah dan takziah buat adik-adik (2nd yr) yang baru menerima keputusan peperiksaan akhir semesta lepas. Tahniah dan takziah buat yang berjaya dan begitu juga kepada yang kurang bernasib baik. "Kejayaan" itu ujian dan "Kegagalan" itu juga ujian. Pada saya ujian kejayaan itu lebih berat daripada ujian kegagalan. Saya juga pernah mengalami kedua-dua ujian tersebut tetapi saya tewas dalam menghadapi ujian kejayaan. Bila mana mendapat kejayaan, manusia ini mulalah hilang dari petunjuk yang sebenar. Kadang-kadang mereka lupa siapa yang memberikan kejayaan kepada mereka hatta mereka lupa untuk bersyukur atas kejayaan mereka. Mungkin kejayaan yang kita raih ini merupakan "hadiah murka" Allah kepada kita. Tidak perlu dihuraikan lebih panjang akan hakikat ujian ini, memadai supaya saya dan semua yang mendapat kejayaan merenung sejenak atas kejayaan yang dimiliki. Pasti semua sudah matang untuk mentafsir ujian Allah ini.

Tahniah dan takziah juga kepada adik-adik yang menerima tamparan kegagalan. Hakikatnya Allah terlalu sayang kepada kita hinggakan DIA memberi ujian ini kepada kita. Mulut mudah untuk berkata sabar, telinga mudah untuk menerima nasihat dan sokongan semangat, tetapi "rahsia hati" hanya sang pencipta yang mengetahui. Kadang-kala bila berlaku kegagalan dalam kehidupan kita, akan hadir sahabat atau mana-mana kawan yang mendapat "hadiah kejayaan" mengucapkan erti "zahir" sabar kepada kita. Bosan mendengar kata-kata manis tanpa roh itu. Memupuk erti sabar ini bukanlah boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Sejak dari awal lagi ia perlu dipupuk. Emotional Quotient (EQ) perlulah diajar untuk sentiasa bertenang dan menerima hakikat walau dalam apa juga keadaan. Pembentukan Spirituallity dalam diri perlulah diasah sejak dari awal lagi supaya diri tidak lupa kepada sang pencipta walau dalam apa juga "hadiah" yang kita terima. Abu Bakar As-Siddiq "mengetuk" jiwanya untuk mendidik dirinya dengan zikir-zikir yang lembut dan mendayu-dayu kerana dia merupakan insan yang lembut jiwanya, sedangkan Saidina Ali "memukul" jiwanya dengan zikir-zikir yang bernada keras untuk melatih jiwanya kerana dia seorang yang "keras". Jadi bagaimanakah cara kita membentuk jiwa kita??. EQ dan SQ adalah 2 elemen utama dalam pembentukan nilai jati diri, akhlak, dan juga kejayaan dalam diri kita. IQ manusia adalah hadiah kekal Allah kepada semua manusia yang tidak boleh diubah walau dengan sebarang latihan, tetapi EQ dan SQ boleh dilatih dan dipertingkatkan. Boleh saya sifatkan bahawa sistem pendidikan negara kita ketika ini lebih tertumpu kepada kejayaan IQ. Ini tidak adil. Dunia kita rosak atas kejayaan manusia yang mempunyai IQ diri yang rosak. Insyaallah saya akan menulis berkaitan "Rosaknya Dunia" yang menjurus kepada kaitan IQ, EQ dan SQ dalam tulisan akan datang.

Jadi pesan saya untuk diri saya sendiri, sahabat dan adik-adik saya, sentiasalah bersabar kerana sabar itu permulaan bagi redha. Untuk mengejar redha Allah, perlulah didahului dengan redha kita terhadap segala pemberian dan perancangan Allah.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan segala "kejayaan" mahupun "kegagalan" yang diberikan oleh Allah kepada kita. Mungkin kedua-duanya tanda murka Allah kepada kita, mungkin juga ujian bagi keimanan kita, dan mungkin jua hadiah kasih Allah kepada kita atas segala pengorbanan kita untuk agamanya sebelum ini. Jangan terlalu bersedih atas kegagalan dan jangan terlalu gembira atas kejayaan. Kita akan dipertanggungjawabkan atas segala apa yang kita telah dapat. Kejayaan dunia bukan satu jaminan yang pasti untuk membeli "trofi" syurga Allah. Wallahu'alam=>

Ya Allah, aku mohon atas kebaikanMu.. Jika kejayaan itu lebih bermakna bagi mereka, maka engkau berikanlah.. Dan jika kegagalan itu lebih bermakna bagi mereka, maka engkau berikanlah.. Moga dengan sebarang nikmat yang engkau beri itu dapat membuatkan mereka lebih bertaqwa..amin
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates