Saturday, December 12, 2009

Sirr Hazar: Dimanakah Kedudukannya?

Saturday, December 12, 2009


Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Selawat dan salan atas junjungan Nabi s.a.w yang merupakan manusia yang oaling mulia malah menjadi kekasih Allah. Ketika saya menulis tajuk kali ini, hati saya cukup resah, risau dan takut atas beberapa perkara yang cukup tidak pasti. Terkadang hati mempersoalkan tindakan diri sendiri dan juga orang lain. Betulkah apa yang dilakukan. Mungkin juga terlalu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Wallahu'alam. Moga dalam segala tindakan ada rahmat dan keredhaan. Insyaallah.

Apa itu "sirr & hazar". Sirr bermaksud kerahsiaan dan hazar pula membawa erti berhati-hati. Mengapa perkara ini cukup penting untuk diketengahkan?? Ya, ia cukup penting. Ia merupakan STRATEGI dalam berdakwah dan juga menjaga kelangsungan perjuangan Islam. Tetapi diakhir-akhir ini strategi ini selalu diletakkan pada bukan tempatnya terutama dalam gerakan-gerakan Islam. Bukanlah saya seorang yang berhak berkata-kata pada arena ini, tetapi saya cuba memberi pandangan dengan kekurangan diri yang disedari. Betulkanlah saya jika silap. Ahli gerakan terlalu berahsia dalam menzahirkan dakwah. Adakah mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bakal meruntuhkan medan dakwah itu sendiri?? Maka akan runtuhlah dakwah ditangan daei'. Tetapi ada pula sesetengah gerakan yang terlalu berani menzahirkan pimpinan mereka walhal mereka baru dalam medan pembelajaran dan juga pembentukan. Hanya mereka yang berfikir yang dapat mengenal pasti jawapannya. Saya cuba bawakan serba sedikit sirah Rasul dalam mempertengahkan konsep "sii hazar". Kita lihat daripada sudut sirah hijrah baginda. Di sana penuh dengan strategi, kerahsiaan adn juga berhati-hati.

1-Baginda berangkat meninggalkan Mekah pada waktu malam. Ini kerana fitrah manusia akan berasa letih dan mengantuk pada waktu malam malah pada waktu itu tidak ramai manusia akan melihat pergerakan baginda. Maka dengan rasa ketaqwaan dan bantuaan Allah, Allah telah menghantar perasaan ngantuk kepada "pembunuh-pembunuh upahan" Quraish. Malah Allah telah menghijabkan pandangan mereka dari melihat baginda keluar dari rumah.

2-Baginda dengan bijaksana menyuruh Ali b Abi Talib tidur di tempat baginda selalu tidur dan menggunakan selimut yang banginda gunakan. Tujuannya apabila "pembunuh-pembunuh upahan" ini mengintai ke dalam rumah, maka mereka tetap merasakan bahawa Rasullullah masih ada di dalamnya. Dengan cara ini baginda dapat memanjangkan masa untuk baginda keluar dari Mekah. Ternyata cara ini cukup berkesan kerana sehingga menjelang fajar, barulah orang-orang Quraish sedar bahawa yang tidur di tempat Rasullullah bukanlah baginda tetapi Ali. Ketika itu Rasulullah telah pergi jauh dari Mekah.

3-Rasulullah telah mengambil altenatif jalan yang lain bagi mengelakkan baginda bersama Abu Bakar dikejar dengan tidak menggunakan jalan yang kebiasaan orang gunakan untuk ke Madinah. Jalan untuk ke Madinah adalah menuju ke arah utara, tetapi baginda telah mengubah arah itu dengan menuju ke Selatan untuk bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari.

4-Ketika dalam perjalanan, baginda menggunakan hujung kaki untuk berjalan sehinggakan kaki baginda melecet. Ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kesan tapak kaki mereka dari dijejaki.

5-Kehebatan iman Abu Bakar tidak dapat ditandingi malah konsep ukhwah diperingkat tertinggi diterapkan. Beliau sanggup bekorban demi menjaga Rasulullah. Beliau telah memasuki Gua Thur terlebih dahulu untuk memastikan keadaan di dalamnya selamat untuk baginda Rasulullah. Beliau sanggup dipatuk ular yang berbisa demi Rasulullah. Mampukah dicapai kekuatan ukhwah seperti ini untuk sahabat-sahabatku??

6-Seorang anak muda yang bernama Abdullah b Abu Bakar yang gagah dan pintar juga telah bermalam berdekatan dengan Gua Thur tetapi pulang ke Mekah sebelum terbitnya fajar, seolah-olah sepanjang malam beliau ada di Mekah. Tugasnya adalah bagi mendapatkan berita tentang rancangan jahat Quraish terhadap Rasulullah. Dan di malam harinya pula, beliau akan pergi ke Gua Thur dengan maklumat-maklumat terkini kepada Rasulullah.

7-Abu Bakar telah mengarahkan hambanya yang bernama 'Amri b Fyhayrah untuk mengembala kambing di kawasan berhampiran. Tatkala berlalu waktu Iya', beliau akan menghalau kambing-kambingnya ke Gua Thur bagi membekalkan susu kepada Rasulullah dan kembali membawanya pulang setelah hari jauh malam. Beliau melalui kesan-kesan tapak kaki Rasulullah untuk menutup kesan tersebut supaya tidak dapat dikesan. Beliau melakukannya setiap malam.

8-Dalam penjagaan rahsia pula, Ali b Abi Talib dan 'Asma bt Abu Bakar kerap kali dikasari oleh kaum Quraish kerana keengganan mereka memberitahu ke mana Rasulullah dan Abu Bakar pergi.

9-Selepas 3 hari berselindung di Gua Thur, barulah baginda berangkat menuju ke Madinah. Baginda telah mengupah Abdullah b Urayqit al-Laythi, seorang penunjuk jalan yang mahir dan boleh dipercayai. Mereka menggunakan jalan yang jarang sekali orang lain gunakan. Mereka menggunakan jalan di persisiran pantai untuk sampai ke Madinah. Hasil kebijaksanaan baginda inilah menyebabkan mereka sampai di Madinah dengan selamat


Lihatlah berapa berhati-hatinya baginda dalam mengatur perjalanan hijrah ini. Andai baginda tertangkap, mungkin Islam tidak dapat kita nikmati. Perjalanan hijrah yang penuh dengan kerahsiaan, berhati-hati, ukhwah dan ketaqwaan. Tetapi mana perginya amalan konsep ini pada zaman sekarang?? Adakah konsep hanya tinggal konsep. Tepuk dada tanya iman.


Kesimpulan dari sirah hijrah Rasulullah ini adalah pentingnya memahami dan mangamalkan "sirr dan hazar" dalam gerak kerja Islam untuk menjamin keberlangsungan dakwah itu sendiri, tetapi letaklah ia pada tempat yang sebenarnya. Zahirkan dakwah dan rahsiakan tanzim. Lakukan perancangan yang lebih teliti dalam tindakan supaya tidak memberi kemudaratan kepada gerakan. Kekalkan kebersamaan dalam menjalani dakwah moga lebih tabah. Orang Islam zaman ini terlalu bermain dengan teori tanpa praktikal berbanding orang barat yang belajar dari praktikal. Moga allah memberi keampunan. Wallahu'alam=>

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates