Sunday, November 22, 2009

Taghut???

Sunday, November 22, 2009
Alhamdulillah, Allah adalah teman bagi orang yang bersendirian. Kadang-kadang saya akan berasa keseorangan "dalam ramai". Kadang-kadang terasa diri cukup terasing dan jauh dari cahaya hidayah Illahi. Tetapi hakikatnya Allah sentiasa bersama kita sama ada kita di dalam ramai ataupun berseorangan. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang satu potong ayat Al-Quran:

"Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang kafir penolong-penolong mereka adalah Taghut (syaitan) yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kekufuran. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya"
-alBaqarah: 257-

Ada beberapa riwayat yang menceritakan tentang asbab turunnya ayat tersebut. Terdapat satu riwayat yang menceritakan tentang satu kaum yang beriman kepada Allah ketika bersama Nabi Isa tetapi telah kufur setelah Nabi Muhammad diutuskan. Dan satu kaum pula kufur ketika zaman Nabi Isa tetapi kedatangan Nabi Muhammad membuatkan mereka beriman. Ini menunjukkan Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Moga kita di bawah payung rahmat dan hidayahnya. Insyaallah.

Saya cuba terus merujuk kepada perkataan "Taghut". Ada sesetengah pendapat ulama yang agak masyhur menyatakan "Taghut" itu adalah syaitan atau perkara-perkara yang dapat melalaikan kita (tafsiran moden). Jika dahulu syaitan akan duduk dan bermaharajalela pada berhala-berhala, sembahan-sembahan lain seperti api, pokok dan tuhan, kini syaitan semakin "bijak" mempengaruhi manusia dengan perkara-perkara yang boleh melalaikan. Jika zaman terdahulu sembahan berhala yang menjadi tempat "duduk" syaitan, kini kemodenan teknologi pula menjadi sasarannya.

Cuba kita renung sejenak, berapa bijak syaitan ini mempengaruhi kita dengan kebendaan, keselesaan dan keseronokan dunia. Alat-alat canggih seperti laptop, handphone, DVD dan lain-lain lagi menjadi agenda utama "permainan" syaitan untuk melalaikan kita. Cuba kita lihat, ramai kawan-kawan kita yang semakin lalai jika berhadapan dengan kemewahan ini sehinggakan sanggup meninggalkan atau melewatkan perkara yang sepatutnya seperti solat dan lain-lain lagi. Apakah ini tujuan kita diciptakan?? Ingatlah Allah menjadikan kita di dunia ini untuk beribadat kepadanya dan menegakkan agamanya. Tetapi semakin hari kita semain lalai. Kita tewas dalam menentukan yang mana pilihan utama. Tidak salah untuk kita bermain PES, DOTA, bersembang, dan seumpama dengannya, tetapi janganlah sampai kita meninggalkan atau melengahkan perkara yang lebih utama seperti solat, belajar, dan yang paling susah untuk dilakukan ialah menjalankan dakwah kepada orang lain. Ingatlah wahai semua, setiap detik yang kita lalui akan dipersoalkan.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu kita untuk bermuhasabah tentang siapa kita, apa tugas kita dan apa pengakhiran kita. Janganlah kita mati tanpa meninggalkan jejak "hebat" dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini. Semoga dengan hanya sedikit amalan dapatlah ia membantu kita di akhirat kelak. Ingat semua, jangan kita terlalai ataun tewas dengan gangguan ini sehingga Allah mengeluarkan kita dari cahayanya, buruk padahnya. Wallahu'alam=>


Sunday, November 15, 2009

Bai'ah Manusia.. Sedarkah??

Sunday, November 15, 2009


Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan langit dan bumi dalam masa 6 hari. Kehebatan Allah jugalah yang menciptakan langit tanpa tiang, bintang dan matahari tanpa tali penggantung dan bumi bergerak dan berputar tanpa enjin. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi s.a.w yang bermula dengan seorang tetapi ketika ini telah ramai umatnya. Tulisan kali ni dibuat ketika mana saya sedang berasa sedih atas beberapa perkara. Dan alhamdulillah ayat yang bakal saya kongsikan ini membuatkan saya sentiasa ingat akan janji setia saya (bai'ah) sebagai insan dan membuatkan saya terus bersemangat.. Insyaallah


"sesungguhnya Allah telah membeli dari orang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang dijalan Allah; maka diantara mereka adayang terbunuh dan membunuh. (Balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam kitabNya Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang menyempurnakan janji selain Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, (dan ketahuilah) jual beli seperti itu adalah kemenangan yang besar"

-atTaubah:111-

Asbab turunnya ayat ini adalah ketika mana Abdullah bin Rawahah bertanya kepada Rasullullah: "Apakah kewajipan terhadap Tuhan dan diri tuan menurut kehendak tuan?". Rasullullah menjawab:"Aku telah menetapkan kewajipan terhadap tuhanku untuk beribadat kepadaNya dan tidak menyekutukanNya dan kewajipan terhadapku ialah agar kalian semua menjagaku sepertimana kalian menjaga diri dan harta kalian semua". Mereka berkata:"Apabila kami melakukan itu, apakah bahagian untuk kami?". Nabi menjawab:"Syurga".. Mereka berkata lagi:"Dagangan yang sangat menguntungkan, kami tidak akan membatalkannya dan kami tidak minta untuk dibatalkan".

Jika ayat tersebut hanya "dilihat tanpa berfikir" kita akan dapati hanya janji-janji Allah tertera atas orang yang berjuang. Tetapi pada hakikatnya ayat tersebut merupakan janji kita kepada Allah supaya beribadat dan tidak menyekutukannya. Konsep ibadat sangat meluas tetapi orentalis-orentalis barat telah berjaya menutupinya tanpa kita sedari dengan mengatakan ibadat hanya pada perkara-perkara seperti solat dan puasa sahaja. Hakikatnya ini adalah perkara yang cukup disalah ertikan. Konsep ibadat adalah bermula dengan niat kerana Allah dan perkara yang dilakukan itu tidak melanggar syariat. Janji kita kepada Rasul juga tertera pada ayat tersebut bagi mempertahankan baginda sehinggakan sanggup mengorbankan harta dan jiwa. Tapi apakah yang telah kita lakukan hari ini. Pasakan budaya mengejar dunia sudah terpasak dihati kita. Percayalah dengan izin Allah apa yang kita cita-citakan pasti tercapai walawpun kadang-kadang usaha kita untuk mendapatkannya tidak seberapa, tetapi apakah kita sudah bersedia dengan "bayaran mewah" untuk membeli syurga Allah??. Sedang kita asyik belajar tanpa kita sedari esok ataupun saat seterusnya ajal menjemput kita. Tanpa berbekalkan apa-apa bekalan, mampukah kita mendapatkan trofi syurga Allah?. Agama mulia yang dibawa baginda hanya kita pandang dengan sisi mata sahaja. Hanya sebagai renungan supaya kita mengambil berat atas janji kita tersebut. Bangkitlah wahai pemuda untuk menjaga dan tunaikan janji kita terhadap Allah dan Rasulnya.. Wallahu'alam


"wahai orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan.. sangatlah dibenci disisi Allah jika apa yang kamu katakan tidak kamu kerjakan"
-asSaff:2-3-

Saturday, November 14, 2009

Fenomena Eureka

Saturday, November 14, 2009

S : Abg odin, macam mana nak cari idea-idea yang "hebat" untuk selesaikan masalah eaa??? -21/10/09-

J : Saya dahului dengan ucapan syukur dan puji bagi Allah yang sentiasa melindungi hambanya yang lemah. Selawat dan salam atas junjungan Nabi s.a.w. Insyaallah soalan adik tadi saya cuba jawab di sini melalui pembacaan dan pengamalan yang pernah saya lakukan.. Insyaallah.. Tapi apa yang pasti semuanya datang dari Allah=>

Pemikiran bisosiatif

1- Jadilah orang luar pada masalah yang dihadapi. Ini tidak bermakna kita cuba melihat dari sudut orang luar sahaja, tetapi kita duduk sebagai orang yang menghadapi masalah dan juga orang luar yang dapat melihat masalah itu. Contoh: permasalah pemain bola sepak, kita perlu jadi pemain dan juga penonton pemainan itu secara serentak. Jadi kita dapat melihat dari pelbagai masalah.

2- Melihat gambaran yang utuh ataupun yang menyeluruh. Kebiasaan orang ingin menjadi orang lain untuk mencari jawapan kepada permasalahannya. Ini bagi saya satu kesilapan. Dia sepatutnya perlu berada "di dalam" dan juga "di luar" masalah bagi membolehkannya melihat permasalah dengan lebih menyeluruh.

3- Pendekatan kretif. Perkara ini jarang sekali dilakukan. Contoh: kita pergi bersiar-siar di taman/ keluar makan bersama sahabat-sahabat sambil borak-borak kosong. Sebenarnya ini adalah pendekatan kretif yang sangat efektif sekali. Kita melakukan perkara itu bukanlah kerana ingin "lari" dari masalah tetapi kita cuba "keluar" sebentar dari permasalahan tersebut. Kita merasa tertekan selalunya disebabkan terlalu banyak berfikir dan menerima maklumat. Jadi dengan cara ini, kita memberi peluang kepada "otak bawah sedar" kita menganalisis data yang diterima dan cuba membuat satu susunan jawapan yang lebih baik sementara "otak sedar" kita berehat untuk bersedia menerima arahan "hebat" dari otak bawah sedar

4- Jangan selalu berfikir secara pola atau konsep. Fikirlah dengan hati yang tenang supaya dapat menembusi fikiran yang lebih hebat.

-moga perkongsian ini dapat memberi kebaikan kepada semua. yang pasti, semua ilham datang dari Allah. maaf kepada adik yang bertanya jika tidak dapat memuaskan hati=>-

Aku Diuji Dengan "MEWAH"


Ya Allah..mengapa ujian sebegini menerpa hidupku..

Aku tidak diuji dengan kelemahan mahupun kegagalan..

Aku kerap kali diuji dengan kejayaan, kesenangan dan kelapangan..

Malah bila ujian ini menerpa..aku tewas dan terus tewas..

Sudah 3 bulan ujian sebegini menimpa..

Bukan kehendak hati untuk minta diuji dengan kelemahan mahupun kegagalan..

Tetapi apa yang mampu diperkatakan..aku kerap kali tersungkur dengan ujian dahsyat sebegini..

Aku mohon ya Allah agar istiqamah dalam ibadah dikelapangan dan kesenangan ini..

Jauhkan aku dari kelalaian yang acap kali menjengukku..

Biarlah setiap hela nafasku berzikir mengingatiMu..

Hatiku tenang mendengar dan menyebut namamu..

Tanganku mahabah dalam memberi..

Berikanlah aku kekuatan untuk mengatasi ujian kesenangan, kelapangan dan kejayaan ini..

Engkau maha mengetahui bertapa aku sakit dengan ujian ini..

Ya Allah aku mohon akan ketenangan dan ketabahan dalam menduduki ujian mewah ini..


Rahmat Ujian

Album : Layar Keinsafan


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu


Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran


Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya


Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya


Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi


Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya


Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

Friday, November 13, 2009

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR SEM

Friday, November 13, 2009


Ya Allah, aku mohon atas kebaikanMu.. Jika kejayaan itu lebih bermakna bagi mereka (adik-adik 2nd yr), maka engkat berikanlah.. Dan jika kegagalan itu lebih bermakna bagi mereka, maka engkau berikanlah.. Moga dengan sebarang nikmat yang engkau beri itu dapat membuatkan mereka lebih bertaqwa..amin

Moga Allah Memberi Ketenangan & Mempermudahkan Segala Urusan

-pejabat s/u PERSIAP-


Sunday, November 8, 2009

CONSTANTINOPLE

Sunday, November 8, 2009

fatih

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.

_________________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

rantai merentang teluk horn

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

rantai yang digunakan rantai merentangi teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

"post asal: Ustaz Muhammad Fauzi"

Saturday, November 7, 2009

Ukhwah Itu Indah

Saturday, November 7, 2009

Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga di mana-mana pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin."Apa khabar daun hijau" katanya.

Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang."Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapakah?" tanya daun hijau."Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil."Tentu.. tentu.. dekatlah kemari."

Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Aku hanya akan kelihatan berlubang-lubang saja. Tapi tak apalah". Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat.Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau.

Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Ya Allah, mampukah aku menjadi seperti daun hijau itu... berkorban demi kesenangan dan kegembiraan orang lain. mampukah aku berbuat seperti sedemikian? Mampukah?

Begitulah dalam dakwah dan tarbiyah. Sebenarnya dalam hidup ini kita perlu banyak memberi dari menerima... begitulah kata-kata seorang abang pada aku.

Setakat manakah pengorbanan kita kepada Islam? Adakah kita mampu menjamin keberlangsungan dakwah dan tarbiyyah sedangkan kita sendiri liat untuk berkorban?

Kita tahu, suatu hari nanti kita pasti akan dijemput oleh Allah, sama seperti daun hijau itu, akan gugur ke tanah. Tapi sebelum dipanggil, terfikir apa pengorbanan kita kepada Islam..

InsyaAllah pengorbanan kita yang mungkin terlalu sedikit nilainya di sisi Allah itu, walaupun kita merasakan ia besar, akan menyebabkan generasi-generasi akan datang dapat merasai nikmat iman, nikmat islam dan nikmat tarbiyyah dan dakwah...seperti mana berkembangnya generasi ulat hijau itu...

Adakah kita mahu menjadi seperti daun, yang berkorban dan memberi? atau ulat hijau yang menerima dan menghargai pengorbanan itu? Fikirkanlah....

Sebak di dada ini, adakah aku mampu jadi seperti daun itu?

"meraikan perbezaan dalam mencari persamaan"
 
Design by Pocket
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates